Doa Ibu Bapa Untuk Anak-Anak Menghadapi Peperiksaan & Kejayaan Di Dunia dan Akhirat

 



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Selawat dan Salam Buat Rasulullah S.A.W, ahli keluarga baginda dan para sekalian Sahabat baginda yang mulia.



 

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Kami mohon keampunan Mu, kami mohon kerahmatan Mu, kami mohon taufik dan hidayah Mu ya Allah.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Kau ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, dosa anak anak kami, dosa saudara mara kami, dosa ahli keluarga kami, dosa guru guru kami dan dosa semua kaum muslimin dan muslimat.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Permudahkan urusan kami di dunia dan urusan kami di akhirat. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa bersyukur kepada Mu. Jadikanlah kami manusia yang sentiasa mencintai Mu ya Allah. Ya Allah, jadikanlah apa yang kami lakukan ini sebagai suatu amal ibadah yang diterima Mu.

Ya Allah, Ya Tuhan Kami,

Ikhlaskan hati anak anak kami untuk mempelajari ilmu Mu. Tetapkan niat di hati mereka agar apa yang mereka lakukan ini semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah. Semata mata kerana Mu ya Allah.

Ya Allah,

Kami mohon kepada Mu, permudahkanlah mereka faham apa yang diajar oleh guru-guru mereka ketika mereka berada di dalam kelas. Lapangkanlah dada mereka untuk menerima ilmu Mu ya Allah.

Ya Allah,

Tidak lama lagi, anak anak kami akan menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan peperiksaan-peperiksaan lain ya Allah. Kami mohon kepada Mu Ya Allah, bantulah anak anak kami dalam peperiksaan yang akan mereka hadapi ya Allah.

Ya Allah,

Peliharalah kesihatan anak anak kami dihari peperiksaan nanti. Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan, jauhilah mereka daripada perasaan resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan. Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,

Lembutkanlah hati pemeriksa yang memeriksa kertas jawapan anak kami nanti. Dorongkanlah hati dia untuk memberi markah yang lebih kepada anak anak kami.

Ya Allah,

Berilah keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan anak anak kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini, mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan menghampirkan diri mereka kepada Mu.

Jadikanlah anak anak kami pelajar yang cemerlang ya Allah, cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat. Kami mohon kepada Mu, Kau perbaikilah akhlak anak anak kami. Jadikanlah mereka pelajar yang cemerlang dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Tanamlah sifat mahmudah dalam diri mereka dan buanglah sifat mazmumah dalam diri mereka.

Ya Allah, jadikanlah anak anak kami seorang pemimpin di kalangan orang yang bertakwa.

Ya Allah,

Apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak anak kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak anak sahabat kami ya Allah. Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Ya Allah,

Sesungguhnya, anak kami inilah harapan kami. Kami mahu mereka berjaya ya Allah. Kami mahu mereka mengubah nasib keluarga kami ya Allah. Berikanlah taufik dan hidayah Mu yang berkekalan ya Allah.

Ya Allah,

Jadikanlah anak kami anak yang soleh ya Allah. Yang menyejukkan mata kami memandangnya ya Allah. Jadikanlah anak kami ahli syurga ya Allah. Dorongkanlah hati mereka untuk melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke syurga Mu ya Allah.

Jauhkanlah hati mereka daripada melakukan amalan amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah. Tetapkan lah hati mereka untuk menunaikan solat. Janganlah Kau melalaikan mereka dengan perkara perkara yang tidak berfaedah ya Allah.

Ya Allah,

Kami tidak mampu untuk mengawasi anak anak kami setiap waktu ya Allah. Kami serahkan anak kami untuk berada dibawah penjagaan Mu ketika mereka tidak bersama kami ya Allah. Gerakkanlah hati mereka untuk berada di tempat tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat tempat yang Engkau murkai.

Ya Allah,

Perkenankanlah doa doa kami ini. Kami memohon kepada Mu kerana Engkaulah tuhan kami. Kami meminta kepada Mu kerana Engkaulah yang menciptakan kami. Kami merayu kepada Mu kerana Engkaulah yang Maha Mengkabulkan doa doa kami ini.

Jika Engkau tidak memakbulkan doa kami ini, siapa lagi yang akan memakbulkannya. Jika Kau tidak mendengar doa kami ini, siapa lagi yang akan mendengarnya. Bantulah kami ya Allah. Ya Rahman. Ya Rabbul Alamin.

(Doa ini ditulis oleh Mohd Firdaus Mat Saad, bekas pelajar terbaik Department Electrical Engineering, University of Sheffield. United Kingdom.)

Pencemaran Air Sungai Dan Kesannya Kepada Bekalan Air

Pernahkah kita mengalami gangguan bekalan air di rumah secara tiba-tiba tanpa sebarang notis dari pihak pembekal air. Apakah reaksi kita bila menghadapi situasi sebegini. Sudah pasti ramai yang berasa kecewa kerana air merupakan keperluan asas yang diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian. Tanpa bekalan air yang mencukupi, aktiviti harian akan tergendala.

Tahukah anda bahawa antara punca gangguan bekalan air tidak berjadual biasanya disebabkan oleh penutupan loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran sumber air sungai di kawasan tadahan. Ini kerana kebanyakan loji rawatan air di Selangor adalah loji konvensional dan tidak mampu merawat air yang tercemar melebihi piawaian dan garispanduan kualiti air mentah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kesannya bekalan air tidak dapat disalurkan ke rangkaian paip agihan untuk dibekalkan kepada pengguna.

Sistem bekalan air minum terdiri dari beberapa komponen utama iaitu sumber air mentah (air sungai dan empangan), loji rawatan air dan rangkaian paip agihan air. Jika salah satu komponen menghadapi masalah, bekalan air kepada pengguna akan terganggu.

Negeri Selangor misalnya sangat bergantung kepada sumber air permukaan (air sungai dan empangan) untuk diproses bagi menghasilkan air bersih iaitu sebanyak 4,432 juta liter sehari (JLH) atau 32.2% berbanding jumlah keseluruhan iaitu 13,753 JLH di Malaysia. Selangor juga amat kritikal dari segi sumber air kerana ia perlu mengeluarkan 4,563 juta liter sehari (JLH) atau 29.3% bekalan air bersih berbanding jumlah pengeluaran air di Malaysia iaitu sebanyak 15,536 JLH. (Rujukan : Statistik  Majalah Malaysia Water Industry Guide 2014).

Punca Pencemaran Sumber Air Di Kawasan Tadahan

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa air yang dibekalkan kepada pengguna berpunca dari air sungai. Lembangan sungai terdedah kepada risiko pencemaran sekiranya pembangunan di kawasan tadahan tidak dikawal dengan baik oleh pihak kerajaan negeri.

Selain itu kesedaran semua pihak tentang kepentingan sungai sebagai sumber air minum dapat membantu dalam memastikan sungai sentiasa bersih dan tidak tercemar.

Pencemaran air sungai biasanya disebabkan oleh pelepasan efluen tidak terawat/separa terawat dari kawasan industri, loji rawatan kumbahan dan ladang ternakan haiwan serta tapak pelupusan sampah. Selain itu pencemaran juga disebabkan kelodakan akibat aktiviti pembalakan, pengorekan pasir, kerja kuari dan pembukaan tanah untuk pembangunan dan pertanian.

Pencemaran sumber air juga boleh berlaku disebabkan kemalangan jalanraya berhampiran jambatan yang merentasi sungai yang melibatkan lori tangki yang membawa muatan minyak diesel atau minyak sawit mentah



Antara punca-punca pencemaran dan parameter yang berkaitan diringkaskan seperti  di bawah :

1. Efluen Industri - Bahan bukan organik  (air berasid dan berbau)
2. Efluen loji rawatan kumbahan - Ammonia (air berbau)
3. Efluen ladang ternakan - Ammonia (air berbau)
4. Air kurasan (leachate) dari tapak pelupusan sampah - Ammonia (air berbau)
5. Pengorekan dan pencucian pasir sungai - Pepejal terampai/kekeruhan/tumpahan minyak diesel.
6. Pembalakan dan pembukaan tanah - Pepejal terampai/kekeruhan.



Pemantauan dan penguatkuasaan oleh berbagai agensi dalam menangani masalah pencemaran air.

Bagi membendung masalah pencemaran air di kawasan tadahan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertanggungjawab dalam memantau pencemaran yang dikenalpasti punca (point sources) manakala pencemaran yang tidak dikenalpasti punca (non point source) adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Selain itu operator loji rawatan air di Selangor di bawah Pengurusan Air Selangor, turut mengambil inisiatif memantau pencemaran air di kawasan tadahan secara berkala.

Bagi memantau pencemaran secara berterusan, stesen pemantauan sungai (online river monitoring station (RMS)) juga telah dipasang di beberapa lokasi strategik di sepanjang sungai. RMS berfungsi memberi amaran awal kepada pihak Operator loji rawatan air jika terdapat pencemaran air. Justeru tindakan bagi menangani pencemaran dapat dilakukan lebih awal seperti menutup sementara operasi loji bagi mengelakkan air yang tercemar memasuki loji rawatan air.



Langkah-Langkah bagi mengurangkan kes pencemaran

Kes-kes pencemaran biasanya berlaku pada musim kemarau disebabkan kadar pencairan yang kurang (less dilution factor) di dalam sungai disebabkan isipadu air yang berkurang berbanding pada musim biasa. Antara langkah-langkah pemantauan dan penguatkuasaan oleh agensi berkaitan ialah seperti berikut :

1) Pihak Kerajaan Negeri mewartakan kawasan tadahan air bagi mengurangkan risiko pencemaran air.

2) Pihak JAS dan LUAS menjalankan penguatkuasaan secara lebih intensif semasa musim kemarau kerana fenomena kurangnya aliran air sungai (low river flow) menyebabkan kurangnya faktor pencairan (less dilution factor) dan kesan pencemaran akan lebih ketara disebabkan kepekatan bahan cemar yang meningkat.

3) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari semasa ke semasa mengenalpasti kilang haram berhampiran kawasan tadahan dan melakukan proses penyitaan bagi mengelakkan ‘non point sources pollution’ yang mencemarkan sungai.

4) Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan kerjasama IWK mengadakan kempen pengosongan tangki septik komunal (Communal Septic Tank - CST) dan individu (Individual Septic Tank - IST) di kawasan perumahan terutama di musim panas dan kemarau bagi mengurangkan aliran effluen kumbahan tidak terawat ke dalam longkang yang seterusnya memasuki parit dan sungai.

5) Pihak Indah Water Konsortium (IWK) dan institusi awam seperti universiti dan kuarters kerajaan sentiasa memastikan loji rawatan kumbahan di asrama pelajar/ rumah kakitangan sentiasa berfungsi dengan baik sepanjang masa bagi mengelakkan limpahan dan pelepasan effluen kumbahan tidak terawat ke dalam longkang/alur air seterusnya mengalir ke kawasan tadahan air.

Penilaian Risiko Pencemaran Air Melalui Pelan Keselamatan Air/ Water Safety Plan (PKA/ WSP).

Dalam pada itu pihak KKM dengan kerjasama SPAN telah meminta Operator Air mewujudkan Pelan Keselamatan Air (PKA). Penekanan kepada mewujudkan PKA ini adalah berdasarkan kepada saranan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam memastikan kualiti air yang dibekalkan kepada pengguna sentiasa selamat.

PKA merupakan pendekatan baru yang bersifat lebih proaktif dengan menekankan kepada pengurangan risiko berlakunya kemerosotan kualiti air dengan cara mengenalpasti risiko pencemaran air bermula dari kawasan tadahan hingga ke pili pengguna di rumah.

Pihak Operator Air perlu mengenalpasti risiko pencemaran air di kawasan tadahan, loji rawatan air dan juga di kawasan rangkaian agihan kepada pengguna. Langkah-langkah proaktif dalam mengurangkan risiko perlu diambil oleh Operator Air dengan kerjasama agensi penguatkuasaan dan kawal selia yang berkaitan.



Kesimpulan

Kesimpulannya, sumber air mentah terutama di negeri yang mempunyai penduduk yang ramai seperti Selangor amat penting dan ibarat talian hayat (‘lifeline’) kepada pengguna domestik, komersil dan industri di Selangor Kuala Lumpur dan Putrajaya. Justeru pewartaan kawasan tadahan dan sepanjang tebing sungai perlu disegerakan dan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

Kerjasama dan tindakan bersepadu antara berbagai agensi yang diamanahkan dalam memantau dan memulihara sumber air diharap dapat mengurangkan kes-kes pencemaran air di kawasan tadahan seterusnya dapat mengurangkan kejadian gangguan bekalan air tidak berjadual kepada pengguna.

Selain itu aspek pendidikan kepada generasi muda tentang kepentingan menjaga kebersihan sungai perlu diadakan secara berterusan agar mereka menghargai dan bersama memulihara sungai.

Bersama Menjaga Alam Sekitar, Cintai Sungai Kita, Sumber Bekalan Air Yang Amat Berharga.

(Nota disclaimer : Tulisan ini adalah suatu perkongsian penulis berdasarkan pengalaman kerja dalam bidang rawatan air dan bekalan air selama lebih 24 tahun. Tulisan ini tidak mewakili mana-mana pihak atau agensi)

 

Tafsir Ringkas Surah Al Qiyamah



1.0 Latar Belakang Surah

Sebagaimana Surah Makkiyah yang lain, Surah al Qiyamah juga memfokuskan kepada salah satu aspek dalam agama dan kepercayaannya iaitu kepercayaan kepada hari kiamat dan perkara yang berkaitan dengannnya.

Ia bermula dari permulaan kematian manusia dan kejadian mereka. Surah ini dimulakan dengan sumpah kewujudan hari kiamat. Kemudian disusuli dengan buktinya. Allah melarang Rasulullah SAW menghafal wahyu ketika penurunannya, dan menegaskan Dia yang akan menyabitkannnya dalam minda dan ingatan Rasulullah SAW secara menyeluruh.

Dalam surah ini juga diceritakan tentang pembahagian/pengkategorian manusia pada hari kiamat kepada dua kategori, golongan yang bahagia (beruntung), dan golongan yang celaka (rugi):

Golongan pertama iaitu orang orang yang bergemerlapan muka dan wajah mereka dengan cahaya keimanan. Keseronokan yang mereka kecapi dengan memandang kepada Tuhan mereka secara berterusan

Golongan kedua ialah orang orang yang hitam dan kelam muka dan wajah mereka lantaran menunggu azab yang menimpa mereka.

Surah ini diakhiri dengan mengemukakan bukti berbentuk realiti tentang penyabitan pembalasan pada hari kiamat dengan kejadian manusia. Hal ini membuktikan kebangkitan manusia untuk diadili pada hari kiamat lebih mudah daripada menjadikan mereka.

2.0 Huraian Tafsir ayat 1-6

Pada permulaan surah ini, Allah SWT bersumpah dengan hari kiamat dan nafsu lawwamah, iaitu nafsu yang sentiasa mencerca tuannya diatas kelemahan dirinya. Apabila Allah Taala menggabungkan dua perkara ini dalam sumpahnya, ia dapat disimpulkan bahawa orang orang yang dapat menjaga rasa sesal dalam dirinya, dan dapat memikirkan sebelum terlanjur melakukan dosa, dia akan terselamat dari mara bahaya pada hari kiamat nanti.

Keimanan kepada hari kiamat adalah salah satu daripada rukun iman yang enam, yang terdapat dalam ajaran para Nabi yang diturunkan oleh Allah SWT sebelum Rasululullah SAW. Kebenaran dan kepercayaan terhadap balasan Allah Taala pada suatu hari nanti menjadi tunggak keimanan kepada hari kiamat. Kepercayaan ini menyusuli keimanan kepada Allah Taala Yang Maha Berkuasa. Idealisme pembalasan Allah membawa kepada kepastian hari kiamat.

Justeru dapat disimpulkan di sini, konsep keimanan dan kepercayaan di atas berasaskan kepada beberapa perkara berikut:

i) Kajian alam, kehidupan dan manusia menjadi petunjuk kepada kekuasaan, keadilan dan kebijaksanaan Allah Taala.

ii) Kajian matlamat kejadian yang membawa kepada pemerhatian alam, peristiwa yang berlaku, serta tabiat semulajadi yang terdapat didalamnya, tidak meninggalkan mana mana ruang untuk bermain main dan melakukan perkara yang sia sia. Bahkan kesemuanya perlu diberi perhatian serius.

iii) Kajian hubungan bersifat akhlak dan semulajadi antara Allah SWT dan manusia merupakan petunjuk yang jelas bahawa manusia dicipta dan dijadikan di dunia ini untuk diuji dan diberi balasan berasaskan kanun yang ditentukan oleh Allah Taala serta kebijaksanaanNya.

iv) Kajian fenomena pembalasan Allah SWT nanti menunjukkan kemuncak keadilan dan kebijaksanaan Allah Taala yang belum dibuktikan ketika di dunia.

Berdasarkan perkara yang dinyatakan di atas, kewujudan hari kiamat serta kepercayaan kepadanya amat penting untuk direalisasikan. Menurut Said bin Jubair, lawwamah adalah penyesalan keatas diri sendiri rentetan dari dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan, serta menyesali diri yang kurang melakukan kebaikan dan kebajikan. Manakala Burhan al Din al Biqa’ie pula berpandangan lawwamah adalah nafsu yang mencerca serta mencela tuannya di atas perbuatan yang dilakukan, samada baik mahupun buruk. Kebaikan akan menjadi penyebab kebahagiaannya nanti, manakala keburukan menjadi penyebab kepada kecelakaan nanti.

Maka kecelaan terhadap kejahatan atau dorongan kepada kebaikan dapat membawa kebahagiaan kepadanya. Kecelaan terhadap kebaikan dan dorongan kepada kejahatan dapat membawa kebinasaan kepadanya pula.

Justeru Allah SWT bersumpah dengan hari kiamat dan demi nafsu yang menyesal itu, kita akan dibangkitkan pada suatu hari nanti. Sumpah yang berangkai dua ini merupakan bukti kepastian hari kiamat. Terdapat dalam jiwa manusia, nafsu dan keinginan untuk sampai ke tahap yang lebih tinggi dengan tiada batasan.

Keinginan tersebut sebenarnya membuktikan terdapat kehidupan lain disebalik kehidupan dunia ini. Adakah keinginan yang tiada batasan ini tidak berguna kepada manusia? Bukan? Keinginan ini mengandungi rahsia yang hanya diketahui oleh manusia setelah kematiannnya, iaitu pada hari kiamat. Seandainya manusia hidup dengan tidak mempunyai keinginan tadi, maka kehidupannya tiada ertinya.

Segala kekuatan yang terdapat dalam diri kita mahupun binatang sekalipun mempunyai tujuan masing masing. Justeru sumpah dengan hari kiamat dan nafsu lawwamah disini untuk dijadikan petunjuk dan bukti.

Keinginan nafsu yang tidak terbatas menjadi bukti bahawa kehidupan selepas mati adalah destinasi yang ditujui dan tercapainya keinginan tersebut. Hal ini dinyatakan pada ayat berikut (Maksud ayat 3 dan 4)

Ayat 3 : "Adakah patut manusia (yang kafir) menyangka bahawa kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang tulangnya (dan menghidupkannya semula)?"

Ayat 4: "Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang), jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain)"

Maksudnya orang orang yang beriman bertanya tanya dalam hati mereka, adakah mungkin manusia mati beratus atau beribu tahun lamanya, setelah hancur tulang belulang, dapat dikumpul dan dibangkitkan kembali. Mereka yang mengingkarinya, tidak mempercayai serta merasa ragu ragu tentangnya. Kesemua ini adalah sangkaan yang salah dan tidak tepat. Jawapan ini dinyatakan oleh Allah taala pada ayat ke 4 seperti di atas. Dia maha berkuasa menyusun segala tulang jari dengan sempurnanya (serta tulang yang lebih halus dari yang lain).

Perkataan insan dalam ayat di atas ditujukan kepada kebanyakan manusia kerana kebanyakan mereka tidak mempercayai kebangkitan manusia selepas kematian. Frasa ungkapan (Allan najmaa) adalah konsep penegasan yang digunakan dalam menzahirkan keingkaran manusia.

Namun begitu kedegilan manusia berterusan dengan melakukan dosa dan menangguhkan taubat. Perkara ini dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam maksud ayat 5 dan 6

Ayat 5 : "(Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya) bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga dia tidak mengakui adanya hari kiamat)"

Ayat 6 : "Dia bertanya (secara mengejek) “bilakah datangnya hari kiamat itu”.

Ayat di atas menunjukkan keinginan manusia untuk melakukan kejahatan dan kemaksiatan dalam menempuh hari yang mendatang dalam kehidupannya. Meskipun nafsu dan jiwanya sentiasa menyesali di atas perbuatan yang salah, tetapi tetap mempunyai keinginan untuk melakukannya akibat desakan hawa nafsu yang tiada batasannya. Seolah olah hari mendatang yang akan dilalui, segala penderhakaan, selagi kesempatan masih ada baginya. “Di hadapannya” iaitu umur yang disediakan oleh Allah SWT kepadanya dalam kehidupan, dihabiskan dengan melakukan segala yang dikehendakinya, samada baik ataupun sebaliknya.

Ayat di atas juga menunjukkan keinginan dan nafsu manusia dikawal oleh tabiat dan syahwat, meskipun dia mengetahui perkara itu adalah salah. Menurut Hasan Al Basri, seorang mukmin sentiasa mencerca nafsunya. Orang yang jahat pula tidak akan memuhasabahkan nafsunya serta mencercanya. Kategori soalan yang dikemukakan dalam ayat di atas mengikut kesusateraan Arab berbentuk ejekan atau ingkar.
Justeru, dapat difahami dari kenyataan di atas, keingkaran terhadap hari kebangkitan manusia pada hari kiamat kelak berasaskan kepada dua alasan iaitu :

1) Manusia tidak dapat menerima pengumpulan serta pencantuman semula anggota tubuh badan selepas kehancuran dan kepupusannya.

2) Sikap yang menjadikan hawa nafsu sebagai ikutan serta kecenderungan melakukan maksiat.

Keimanan dan kepercayaan kepada Allah Taala tidak dapat dipisahkan dengan keimanan dan kepercayaan kepada hari kiamat. Hal ini kerana setengah daripada tuntutan keimanan kepada Allah Taala ialah membenarkan apa yang diceritakanNya. Allah SWT menyebut tentang perihal hari kiamat dalam janji dan amaranNya. Dia juga menentukan erti sebenar kehidupan selepas mati dengan bercirikan pengadilan yang saksama serta pembalasannya.

Bagi orang orang yang membaca dan mendengar Al Quran, terdapat pelbagai ayat yang memperkatakan tentang hari kiamat dalam pelbagai dimensi antaranya dalam ayat 136 Surah An Nisa :

“Wahai orang orang yang beriman, tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada kitab Al Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya(Muhammad SAW) dan juga kepada kitab kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu, dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan malaikat malaikatnya, dan kitab kitabnya dan rasul rasulnya dan juga hari akhirat maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh”.

Iktikad keimanan kepada hari kiamat dan perkara yang berkaitan dengannya seperti kebangkitan selepas mati, pembalasan baik atau sebaliknya, syurga serta neraka dan sebagainya adalah iktikad yang dimaklumi dalam Islam.

Justeru seseorang muslim sentiasa menzahirkan keimanannya berasaskan kepercayaan kepada hari kiamat, dan tidak mengingkari sedikitpun daripada perkara yang berlaku pada hari tersebut mengikut fakta dan dalil yang berkaitan dengannya secara yakin.

Terdapat beberapa nama yang diberikan kepada hari kiamat berdasarkan petunjuk serta situasi yang berlaku pada hari tersebut seperti yang disebutkan dalam AlQuran, antaranya:

1) Hari Kebangkitan kerana berlaku kebangkitan tubuh badan selepas kematian pada hari itu.

2) Hari Keluar kerana manusia akan keluar dari kubur masing masing untuk kehidupan lain.

3) Hari Kiamat kerana manusia akan berdiri untuk diadili

4) Hari Agama kerana makhluk akan dibalas berdasarkan amalan yang dilakukan.

5) Hari Penyelesaian kerana manusia diadili dengan penyelesaian yang adil.

6) Hari Perhimpunan kerana manusia akan dihimpunkan untuk dihisab.

7) Hari Hisab kerana manusia akan dihitung amalan yang mereka lakukan di dunia.

8) Hari Perjanjian kerana janji Allah SWT kepada orang kafir akan tercapai di sana.

9) Hari Penyesalan kerana orang kafir dan yang menderhakai Allah SWT akan menyesali perbuatan mereka.

10) Hari Kekal kerana ia adalah permulaan hari yang kekal abadi.

 

3.0  Rujukan :

Surah Al Qiyamah Tafsir dan Huraian – Terbitan Eksklusif Siri ke 13, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.

(Nota : Artikel ini adalah salah satu tugasan saya semasa sesi pengajian Diploma Siswazah Pengajian Islam di USIM)

Majlis Tadarus Al Qur'an Di Luar Bulan Ramadan

Arkib April 2009

Kebiasaannya majlis tadarus Al Qur’an diadakan dalam bulan Ramadhan, namun kini ia diadakan pada setiap bulan di Bandar Baru Bangi. Usaha ini telah digerakkan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi antara lain bertujuan bagi mengeratkan hubungan antara ahli kariah surau-surau di Bandar Baru Bangi.

Program Tadarus Al Quran ini diadakan pada hari Jumaat malam Sabtu minggu ketiga setiap bulan di surau yang berbeza. Untuk bulan April 2009 (17 April 2009) Surau Al Amin Seksyen 8 menjadi tuan rumah untuk program yang mulia ini. Alhamdulillah sambutan begitu meriah dengan lebih 120 orang menghadiri program ini termasuk kanak-kanak dan remaja. Pihak penganjur menganggarkan sekurang-kurangnya 60 orang hadir bagi memastikan setiap juzuk Al Qur'an dibaca oleh dua orang peserta.

Menurut Penyelaras Program Tuan Haji Ghazali Abas, program kali ini paling meriah dengan kehadiran peserta/ahli kariah paling ramai dan berharap program seterusnya yang akan diadakan di Surau Jubli Perak, Seksyen 4 Tambahan turut meriah.

Saya telah diamanahkan untuk mengetuai Majlis Khatam Al Quran pada malam tersebut seterusnya mengimami solat Isyak. Selepas itu semua ahli jemaah dihidangkan dengan nasi Arab yang disediakan oleh Ustaz Ehsan, Saudara Bahrim dan rakan-rakan dari Seksyen 8. Sungguh enak rasanya nasi Arab tersebut dan mendapat pujian para ahli jemaah.

Alhamdulillah program berjalan lancar dan penuh meriah. Semoga program seumpama ini akan terus berjalan dengan lancar di masa depan dan menghasilkan natijah yang diharapkan iaitu untuk memartabatkan Al Quran dan mengeratkan ukhuwwah di kalangan para ahli kariah surau sekitar Bandar Baru Bangi.

Bagaimana merancang dan menambah bekal pahala untuk akhirat kita..

Arkib April 2009

Ramai antara kita lebih teruja untuk merancang kehidupan di dunia. Bagaimana untuk menambah harta bagaimana mahu berjaya dalam kerjaya, bagaimana untuk hebat dalam rumahtangga, bagaimana untuk disegani oleh ahli masyarakat dan rakyat jelata.

Dalam kesibukan memburu dunia kita terlupa bahawa dunia ini hanyalah sementara. Hakikat kita di dunia ini umpama seorang pengembara atau pedagang yang menuju destinasi akhirat. Dunia ini adalah tempat untuk mengumpul bekal menuju hari akhirat.

Lantas bagaimana untuk memaksimumkan bekalan akhirat sedangkan tuntutan dunia seakan tiada akhirnya. Dari kecil kita sibuk belajar lalu sibuk berkerjaya, membina keluarga seterusnya mencipta nama demi kemegahan dunia.

Islam ada jalan keluarnya untuk memastikan kita beruntung di dunia mahupun akhirat. Caranya ialah dengan sentiasa mematuhi syariat Allah taala dan mengikuti sunnah Rasulullah dalam kehidupan seharian.

Setiap perbuatan yang kita lakukan mestilah sentiasa mendahulukan dan membesarkan Allah. Mulakan sesuatu pekerjaan dengan niat kerana Allah, demi Allah dan Rasulullah sebagai contoh ikutan.

Contohnya..

Jika kita menuntut ilmu..asas ilmu fardhu ain mestilah mantap.. ilmu fardhu kifayah demi maslahah ummah.

Jika kita berpakaian..pastikan kemas dan bersih kerana Allah dan Rasul mencintai keindahan.

Jika kita bersenam untuk kesihatan..jangan lupa niatkan kerana Allah untuk membina kekuatan badan dan sentiasa bersedia jika diseru untuk berjihad di jalanNya.

Jika kita bekerja..niatkan untuk mencari nafkah yang halal untuk menyara keluarga.

Jika kita berkeluarga..niat kerana Allah untuk menambah zuriat dan menghindarkan maksiat.

Jika berpolitik..pastikan matlamat akhirnya adalah untuk membina Daulah Islamiyyah demi kebaikan sekalian manusia dan ummah.

Begitulah indahnya jika kita meletakkan Allah dan Rasul sebagai matlamat dan ikutan dalam kehidupan. InsyaAllah kita akan beruntung di dunia dan akhirat.

Semoga kita dapat mengisi kehidupan dunia ini dengan bijaksana (akhirat) dan juga secara bijak sini (dunia) lalu kita tidak tergolong dalam kalangan yang rugi dan alpa dengan hakikat kehidupan dunia yang sementara.

Tajuk Puisi : Pemburu Yang Di Buru

Kita adalah pemburu

Pemburu cinta yang sementara,
Pemburu harta dan takhta
Pemburu nikmat, rasa dan bahagia

Kita juga diburu..

Diburu kecewa, gundah gulana
Diburu derita, duka dan nestapa
Diburu bebayang dosa dan noda
Diburu rantaian hutang yang berjela
Diburu bebanan tugas yang perlu dilaksana

Bukankah pemburu itu ada..
Iman dan taqwa
sebagai peluru dan bekalnya
buat membawa pulang
hasil pemburuan
atas redhaNya..

Bukankah yang diburu..
Punya tawakkal dan taubat
sebagai pendindingnya
Usaha dan terus berusaha..
Selagi nafas masih mampu dihela
Jangan mudah kecewa..

Kita adalah pemburu
yang juga diburu
hingga bertemu noktahnya
yang entah bila kapan tiba
bersedialah menghadapinya

Abu Aslam

Putrajaya
30 Julai 2008

Bangi Bandar Ilmu

Arkib Jun 2008

Perisytiharan Bangi sebagai Bandar Ilmu telah dilakukan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada 23 Jun 2008 baru-baru ini di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Sebagai warga Bandar Baru Bangi (BBB) saya turut gembira dan bersyukur atas gelaran tersebut.

Saya memulakan kehidupan di Bangi sejak tahun 1990 apabila mula menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia UKM). Ketika itu Bandar Baru Bangi merupakan pekan kecil tanpa prasarana hebat dan kami hanya akan ke Kajang untuk membeli belah jika perlu. Setelah tamat belajar saya memulakan kerja di Loji Air Sg Semenyih pada tahun 1995 yang terletak di ‘Prang Besar Estate’, Dengkil, tidak jauh dari Bangi (Kini  Estet Prang Besar telah bertukar menjadi Putrajaya). Saya menetap di kuarters Loji selama sepuluh tahun dan mula berpindah ke rumah sendiri di Seksyen 8 Bandar Baru Bangi pada tahun 2005.

Kini Bandar Baru Bangi begitu pesat membangun sebagai pusat ilmu dan komersial. Kawasan perumahan kelas sederhana wujud bagaikan cendawan tumbuh kerana lokasinya yang strategik iaitu tidak jauh dari Putrajaya, Kuala Lumpur dan KLIA. Namun begitu pembangunannya agak terancang dan masalah sosial juga masih terkawal kerana kurangnya pusat hiburan di sini.



Saya juga bersyukur kerana rumah yang dibeli terletak di kawasan yang agak strategik iaitu berhampiran dengan Kompleks PKNS, Taman Tasik Cempaka, Masjid Jamek Bangi, Perpustakaan Awam dan Pejabat Pentadbiran Daerah Hulu Langat. Walaupun nilai rumah yang saya beli meningkat dengan mendadak (hampir 70%) namun buat masa ini saya tidak berhasrat untuk menjualnya.

Di sini saya ingin menulis sedikit maklumat mengenai sejarah Bandar Baru Bangi yang dipetik dari Buletin Bangi Bil 1. Tahun 1: Jan-April 2008 keluaran PKNS Bangi.

Berasal daripada sebuah Estate (West Country Estate) yang berkeluasan 5,118 ekar, Bandar Baru Bangi mula dibangunkan pada tahun 1974 setelah proses pengambilan tanah dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor mulai tahun 1972-1978. Proses pengambilannya dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula dengan seksyen 1 yang melibatkan pembinaan rumah kos rendah, sederhana dan tinggi yang berjumlah 200 unit.

Perancangan bandar satelit ini yang juga merupakan bandar kedua terbesar selepas Shah Alam, adalah berdasarkan 'perancangan bersepadu' atau 'integrated development' yang dijangka mampu meneruskan ’sustainable growth’ yang bukan sahaja dapat menampung kediaman 60,000 orang penduduk, tetapi juga menyediakan aktiviti komersil , perindustrian, institusi latihan, rekreasi dan pendidikan.

Berkonsepkan Bandar Taman, kawasan lapang seluas 82 ekar dilengkapi dengan sistem dua lengkongan jalan besar dan lorong-lorong jalan kaki dan berbasikal yang menyambungkan aktiviti-aktiviti di antara satu sektor dengan yang lain. Bandar Baru Bangi telah dibahagikan kepada 16 Seksyen.

Di antara Pusat pengajian Tinggi yang terdapat di BBB ialah UKM, UNITEN, KLIUC, MFI, Institut Perguruan Islam (IPI) dan Kolej Polytech Mara. Antara Pusat Latihan pula ialah INSPEN, NIOSH, ILIM, MPOB, Pusat Latihan Petronas (PERMATA), Pusat Latihan Maybank, Public Bank, CIMB Bank, RHB Bank, BSN, Pusat Latihan Pos dan Institut Latihan kehakiman (ILKAP).

Tajuk Puisi : Kita Belum Merdeka Lagi



Arkib 2008

Kita belum Merdeka Lagi
Walau Penjajah sudah pergi
Kita ketepi tulisan jawi
Kita pinggirkan bahasa sendiri

Kita belum Merdeka lagi
Minda terjajah di bumi sendiri
Agungkan budaya yang tidak suci
Terkinja-kinja di sana sini

Kita belum merdeka lagi
Jiwa terjajah dek nafsu sendiri
Zina terus menjadi-jadi
Bayi dibuang di sana sini
Jahiliah moden masa kini

Kita belum merdeka lagi
Menagih dadah tak henti-henti
Keluar masuk pusat serenti
Penjara juga banyak dihuni

Jika mahu merdeka
Bebaskan diri dari dijajah manusia
Bebaskan jiwa dari nafsu dan hawa
Bangga dengan jatidiri bangsa
Bangga dengan Deenul Islam tercinta
Barulah kita Merdeka..
Di dunia dan akhirat sana

Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Biarlah mengandung makna

Abu Aslam
Putrajaya
25.08.08

Berita Kematian - Peringatan Buat Yang Hidup

Arkib September 2008

Di pagi Jumaat dalam bulan Ramadhan yang mulia ini saya menerima tiga berita kematian

Pertama ialah kematian Tan Sri Samad Ismail, seorang pengarang terkenal dan juga turut sama memperjuangkan kemerdekaan. Allahyarham meninggal dunia pada usia 84 tahun di sebuah hospital di Kuala Lumpur akibat jangkitan paru-paru.

Kedua ialah kematian bapa kepada sahabat se alumni (Kolej Islam Klang) Saudara Abdullah Haron yang berasal dari Sarawak.

Ketiga ialah kematian rakan matrikulasi (Sekolah Alam Shah) dan juga se jabatan dan fakulti semasa di UKM iaitu Saudara Azli Ahmad yang bekerja di Lembaga Pelabuhan Johor. Allahyarham meninggal dunia akibat sakit jantung dalam pertengahan usia 38 tahun.

Saya hanya mampu mengucapkan salam takziah buat keluarga ketiga-tiga allahyarham dan berdoa semoga ruh mereka ditempatkan di kalangan hamba Allah yang beriman serta tenang dan damai di alam sana.

Semoga dengan berita kematian demi kematian yang diterima akan memberi keinsafan kepada saya dan pembaca semua agar sentiasa bersedia untuk menghadapi saat-saat yang pasti akan tiba..detik kematian..detik meninggalkan dunia yang fana..meninggalkan segalanya..yang boleh dibawa sebagai bekalan hanyalah iman dan taqwa, curahan ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah serta anak-anak soleh yang bakal berdoa buat kita.

Antara El Nino, La Nina dan Newater, Mana Satu Pilihan Kita

Arkib Februari 2007

“Fenomena El nino yang diramalkan berlaku tahun ini kemungkinan besar tidak ‘jadi’ berdasarkan data-data terbaru dari Jabatan Kajicuaca Malaysia” begitulah kenyataan akhbar Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi di muka depan sebuah akhbar arus perdana pada awal minggu ini.

“Di Selangor ni kita dah minum newater” begitulah kata-kata ‘jenaka sinis’ seorang pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar ketika kami ingin sama-sama menaiki lif selepas menghadiri Mesyuarat ‘Persediaan Menghadapi El nino’ di Lembaga Urus Air Selangor(LUAS) Shah Alam minggu lepas.

Hampir sebulan tanda-tanda kemarau atau nama barunya ‘el nino’ menjelma menyebabkan air sungai berkurang lalu menyebabkan proses pencairan (dilution factor) turut berkurang. Air dari loji kumbahan dan longkang yang mengalir ke sungai akan mengotorkan sungai yang merupakan sumber utama air minum di Negara kita.

Mungkin ramai masih merasakan bahawa ‘ayor dalam bosi’ yang diminum datang terus dari kawasan empangan, jernih bersih dan segar. Mungkin 10-20 tahun dahulu fenomena itu benar tetapi kini semua itu hanya tinggal kenangan.

Dengan kemajuan pesat di Negeri Selangor maka banyak kawasan perumahan, perbandaran dan industri kecil di bangunkan di sepanjang sungai. Air kumbahan dan efluen dari kawasan tersebut mengalir ke sungai dan diproses kembali di loji pembersihan air yang terletak di ‘downstream’.

‘Newater’ singkatan nama dari ’new water’ telah diperkenalkan di Singapura beberapa tahun yang lalu bagi mengatasi kekurangan sumber air di Negara tersebut. Saya berkesempatan melawat sebuah loji Newater di ‘Kota Singa’ itu dua tahun lalu.

Sebelum itu saya agak ‘geli’ dengan newater tetapi setelah melihat sendiri proses di loji tersebut maka saya dapat simpulkan newater tersebut adalah lebih bersih berbanding ‘newater’ di Selangor. Semasa pulang saya telah menerima cenderahati sebotol air ‘newater’ sebagai kenangan yang kini masih ada tersimpan dalam ‘muzium’ di tempat kerja saya.

Ini adalah kerana air kumbahan di sana diproses sehingga peringkat ‘ultra filtration’ atau ‘reverse osmosis’ sebelum dilepaskan ke kolam semulajadi seperti tasik dan empangan sebelum diproses semula di loji pembersihan air. Sedangkan kita di sini hanya melalui beberapa peringkat ‘biological treatment’ di IWK lalu dilepaskan kembali ke sungai.
Maka dapat saya simpulkan memang benar kata-kata Pegawai JAS tersebut tetapi benar bersyarat iaitu jika ‘el nino’ melanda.
Alhamdulillah dua tiga hari ini nampaknya El nino seperti malu untuk menjelma dengan kehadiran hujan atau nama barunya ‘La nina’.

Bila hujan kembali membasahi bumi setelah sebulan merajuk pergi suasana kembali segar dan nyaman menggantikan panas yang membahang. Lalu dalam kesempatan cuti panjang tahun baru cina itu saya dan anak-anak sempat menikmati curahan ‘air dari langit’ dengan ‘bermain hujan’ sambil membersihkan halaman dan longkang.

[caption id="attachment_92" align="alignnone" width="300"] River[/caption]

Akhirnya sempat juga saya melihat titis-titis hujan yang ditinggalkan di dedaunan dan ranting bagaikan mutiara seperti lirik lagu allahyarham Sudirman.. “ hujan yang turun bagaikan mutiara..”

Tajuk Puisi : Hidup Penuh Ujian

Arkib 2007

Hidup ini
Bermula dengan tangisan
Juga air mata kegembiraan
Bertatih lalu laju berjalan
Bermain dan bergaduh
adalah rencam harian

Melalui alam persekolahan
adalah kemestian
Demi mengenal bacaan dan tulisan
Berlumba dalam peperiksaan
Memburu ‘A’ tiada kesudahan
Mendaki menara gading
adalah kebanggaan setiap insan
Lalu dianugerahkan segulung ijazah
buat memulakan sebuah perjalanan

Menempuh alam perkahwinan
itu yang dinantikan
Seolah segala nikmat dunia
telah dirasakan
Rupanya alam perkahwinan
bukan sebuah pengakhiran
Tetapi sebuah permulaan fasa baru
menempuh ujian kehidupan

Seiring dengannya
adalah alam pekerjaan
Penuh persaingan, penuh tekanan
demi pangkat dan kedudukan

Dunia ini penuh ujian

Hingga bertemu sebuah kematian
Moga nanti kita peroleh
markah tertinggi di sisi tuhan
Biarpun diiringi dengan tangisan..

Abu Aslam

19 Mac 2007

Putrajaya

Kisah Terperangkap Dalam Terowong SMART

Posted 01 June 2007CE | 16 Jumada al-Ula 1428AH by Abu Aslam
Arkib Jun 2007

14 Mei 2007, Kuala Lumpur , Terowong SMART sepanjang 3.8 km antara kem TUDM Sg Besi ke bulatan Bulatan Kpg Pandan mula dibuka kepada orang ramai secara percuma selama sebulan. Menteri Kerja Raya memaklumkan kadar tol yang bakal dikenakan adalah lebih tinggi berbanding kadar biasa kerana kos pembinaannya yang agak tinggi.

15 Mei 2007, Saya telah menghadiri Pameran ‘Water Malaysia 2007’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Semasa bertolak dari Putrajaya bersama 3 rakan sekerja kami bercadang untuk merasai laluan terowong yang merupakan yang pertama seumpamanya di dunia (bersifat dwifungsi – laluan kenderaan dan air banjir). Walaubagaimanapun hajat tersebut tidak tercapai akibat terlepas kedua-dua laluan masuk ( laluan paling kanan atau paling kiri).

Semasa bertolak pulang, kami berkesempatan memasuki terowong SMART yang mana laluan masuknya ialah sebelum bulatan Kpg Pandan. Walaubagaimanapun kenderaan Perodua Kembara (milik syarikat) yang kami naiki telah mencipta sejarah tersendiri kerana mengalami kerosakan radiator ketika hampir keluar dari terowong berhampiran Kem TUDM Sg Besi.

Peronda SMART memaklumkan bahawa kenderaan kami merupakan kenderaan kedua yang mengalami kerosakan dalam terowong tersebut. Pihak Smart terpaksa menarik kenderaan kami ke tempat lebih selamat iaitu berhampiran Stesen Minyak Esso Sg Besi untuk dibaiki.

Ia merupakan pengalaman pertama saya mengalami kerosakan kenderaan dan ianya berlaku di terowong SMART yang baru dibuka. Walaubagaimanapun ciri-ciri keselamatannya dikira baik kerana mempunyai lorong kecemasan serta telefon kecemasan (SOS). Pihak SMART juga menyediakan kereta tunda percuma bagi menarik kereta yang rosak keluar dari terowong.

Laluan terowong tersebut hanya membenarkan kenderaan ringan iaitu tidak melebihi tinggi 2 meter. Motosikal tidak dibenarkan melalui terowong berkenaan.

Terowong tersebut sebenarnya biasa sahaja, macam terowong memasuki tempat letak kereta‘basement’ dan terowong lebuhraya Utara Selatan berhampiran tol Jelapang, Ipoh, mungkin kelainannya adalah kerana ia bersifat dwifungsi iaitu semasa hujan lebat (banjir) maka terowong tersebut akan mengalirkan air banjir dari ibu kota ke Sg Besi dan ditutup kepada kenderaan.

Nota : SMART – Stormwater Management And Road Tunnel Project

Tajuk Puisi : Sementara




Selepas Aidilfitri
Kampungku termenung lesu
Setelah kasih surut
Dan rindu pun pasang
Membasahi wajah

Selepas Aidilfitri
Bendang dilukis sepi
Ladang ditulis sunyi
Kampungku termenung lagi
Sayang dan kasihnya terpaksa pergi
Tak tahu bila akan kembali lagi

Salihin Osman
MSU, Shah Alam
Dipetik dari Utusan Melayu Jawi 12 Oktober 2009

Berjimat Membawa Berkat, Membazir Mengundang Musibah, Ingat Sebelum Kena (Krisis Air) Berjimat Sebelum Habis (bekalan air)

 



Malaysia amat beruntung kerana terletak di garisan khatulistiwa dan menerima jumlah hujan yang banyak iaitu 2,940mm setahun dan dapat digunakan samada untuk bekalan air minum, pengairan tanaman, hidroelektrik ataupun untuk rekreasi. Sebagai umat Islam kita wajar bersyukur dengan nikmat air yang dikurniakan oleh Allah Taala.



Firman Allah dalam surah Al Waqiah ayat 68-70 yang bermaksud :
“ Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka ada baiknya kamu bersyukur.

Air merupakan keperluan asas manusia dan kehidupan di dunia ini. Berdasarkan fakta saintifik dan perubatan, tubuh manusia terdiri daripada 50-60% komponen air. Tanpa makanan manusia boleh bertahan sehingga beberapa hari namun tanpa air dalam waktu yang singkat manusia akan mati akibat faktor dehidrasi.



Firman Allah dalam surah Al Anbiya ayat 30.. yang bermaksud :
“Dan daripada air kami jadikan sesuatu yang hidup”
Justeru air sangat penting dalam kehidupan dan kemajuan sesebuah ketamadunan di dunia ini misalnya kebanyakan tamaddun muncul dan bermula berhampiran sumber air, misalnya Kota Kaherah terletak berhampiran Sg Nil di Mesir manakala Kota Kuala Lumpur terletak berhampiran Sg Gombak dan Sg Klang.

Kita juga bersyukur dengan kemajuan dan kemakmuran negara maka kini 97.2% penduduk di bandar mendapat bekalan air bersih manakala kawasan luar bandar sebanyak 93.9%. Di zaman awal merdeka hingga sekitar tahun 80 an mungkin ramai antara kita pernah merasai pengalaman menggunakan air dari sungai, parit dan perigi serta air hujan yang ditadah tanpa dirawat. Waktu itu kita terdedah kepada risiko penyakit bawaan air seperti taun dan lain lain.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dianggarkan seramai 1.8 juta orang mati akibat penyakit cirit birit di seluruh dunia setiap tahun kebanyakannya di negara miskin dan sedang membangun disebabkan faktor bekalan air yang tidak bersih dan sistem kumbahan yang tidak sempurna.

Mungkin masih ramai diantara kita membayangkan air yang keluar dari paip dialirkan terus dari empangan air yang bersih dan jernih tanpa perlu kepada proses rawatan air yang intensif dan kurang menghargai air yang dibekalkan dengan melakukan pembaziran disebabkan harganya yang agak murah.

Sebenarnya air paip yang sampai kerumah kita melalui berbagai proses sebelum ianya boleh digunakan dan selamat untuk diminum. Antara proses utama ialah penjernihan, penapisan dan pembasmian kuman sebelum dialirkan kepada pengguna melalui sistem agihan yang terdiri dari paip dan tangki simpanan yang berbagai saiz. Semua proses ini memerlukan pemantauan yang berterusan dan kos yang bukan sedikit dan berjumlah berbillion ringgit.

Bekalan Air merupakan suatu keperluan asas untuk rakyat dalam sesuatu negara. Setiap pembangunan dan kemajuan negara bergantung kepada bekalan air dan bekalan elektrik. Justeru pemerintah dan rakyat perlu saling bantu membantu dalam memastikan bekalan air dapat dinikmati oleh semua.

Antara tanggungjawab kerajaan ialah membangunkan infrastruktur air seperti empangan, loji rawatan air dan sistem agihan air. Rakyat pula berperanan untuk sama sama menyumbang dalam bentuk tarif air bagi menampung sebahagian perbelanjaan operasi dan perbelanjaan modal yang semakin meningkat. Ia bertepatan dengan kehendak Islam dalam konsep takaful dan ta’awun iaitu saling lengkap melengkapi dan bantu membantu dalam perkara kebaikan.

Firman Allah dalam Surah Al Maidah, ayat 2 yang bermaksud :
“Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan saling tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya”.

Selain itu kita sebagai pengguna perlu mengelakkan pembaziran dalam penggunaan air kerana kajian menunjukkan pengguna di Malaysia menggunakan air lebih dari kadar yang sepatutnya iaitu sebanyak 201 liter/kapita/sehari berbanding yangdicadangkan oleh PBB iaitu sebanyak 165 liter bagi setiap individu setiap hari. Kita sewajarnya tidak mengamalkan tabiat pembaziran kerana ia adalah tabiat yang buruk dan dikaitkan dengan amalan syaitan.

Firman Allah dalam surah Al Isra’ ayat 27 bermaksud
“Sesungguhnya orang orang yang membazir itu adalah saudara saudara Syaitan, sedang syaitan itu sangat kufur kepada tuhannya”

Mungkin ramai tidak menyedari apabila kita membazir maka sumber air digunakan secara berlebihan justeru infrastruktur air juga perlu dibina dengan lebih banyak dan memerlukan kos yang tinggi. Bagi negeri yang penduduknya padat seperti Selangor dan Lembah Klang, sumber air semakin berkurangan disebabkan permintaan yang tinggi sehingga terpaksa membeli dari negeri lain. Gangguan bekalan air juga akan mudah berlaku di musim kemarau apabila sumber air berkurangan sedangkan permintaan sentiasa tinggi.

Antara amalan penjimatan air yang boleh dilakukan ialah memastikan pili air ditutup semasa memberus gigi atau bercukur, mengurangkan tempoh mandian, menggunakan peralatan cekap air di rumah, masjid dan surau, membaiki paip dan tangki dalaman yang bocor dan lain lain lagi.
Pembaziran juga berlaku ketika berwudhu yakni menggunakan air secara berlebih-lebihan atau menambahkan bilangan basuhan melebihi kadar maksima yang disunatkan iaitu tiga kali.

Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa membasuh melebihi tiga kali sesungguhnya ia melakukan kesalahan dan melampaui batas”. (Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah).

Jika mengambil wudhu melalui tadahan air paip, seelok-eloknya kecilkan bukaan paip untuk mengelak air berlebihan ketika mengambil wudhu.
Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. berjalan melalui Sa’ad r.a. yang sedang mengambil wudhu (dengan menggunakan air yang banyak). Lalu baginda berkata kepadanya; “Pembaziran apakah ini wahai Sa’ad?”. Lalu Sa’ad menjawab; “Adakah dalam menggunakan air juga terdapat pembaziran?”. Rasulullah menjawab; “Ya! Sekalipun engkau berada di tepi sungai yang mengalir airnya”. (Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah).

Selain itu rakyat dan pemimpin negeri juga wajar prihatin dan menjaga sumber air dan tidak mencemarkan sungai kerana ia merupakan talian hayat kita sepertimana motto oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ‘Sungaiku Hidupku’.

[embed]https://youtu.be/M684Zg1pFDA[/embed]

Elakkan membuang sampah merata rata kerana akhirnya ia akan terbuang ke dalam parit seterusnya ke sungai. Kawasan tadahan air juga perlu diwartakan agar pembangunan dan aktiviti sepanjang sungai dapat dikawal dan tidak mencemarkan sungai.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan di darat dan di laut disebabkan tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah ar-Rum, ayat 41)

Jika kita terus lalai dan leka dengan sikap membazir dan mengabaikan pemeliharaan alam sekitar terutama kawasan tadahan air, maka tidak mustahil suatu hari nanti ia akan menyusahkan diri kita dan generasi akan datang apabila bekalan air berkurangan dan terpaksa dicatu sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini di musim kemarau atau ketika berlaku pencemaran sumber air yang menyebabkan loji rawatan air terpaksa ditutup kerana tidak mampu merawat bahan pencemaran tersebut.

Marilah kita mengambil pengajaran dari krisis air yang pernah berlaku di Malaysia sebelum ini dan beberapa negara lain di dunia yang sering mengalami krisis air yang berterusan samada disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu akibat perubahan iklim dan pembangunan yang tidak terkawal serta pembaziran air oleh pengguna. Pepatah Melayu ada mengingatkan kita antaranya ialah ‘beringat sebelum kena;  berjimat sebelum habis’, atau ‘sesal dahulu pendapatan ; sesal kemudian tidak berguna’ dan ‘jangan sampai nasi menjadi bubur’.

 

Kesimpulan  :

1. Kita perlu bersyukur dengan nikmat air yang berterusan di Negara ini dan sebagai tanda kesyukuran kita hendaklah sentiasa mematuhi perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya bagi mengelakkan kemurkaan dan bala dari Allah seperti bencana kemarau.

2. Kita perlu mengelakkan pembaziran air terutama dimusim kemarau, kerana ia adalah sumber yang amat berharga dan terhad terutama di negeri yang penduduknya padat dan terdedah kepada catuan dan gangguan bekalan air akibat pencemaran air atau kerosakan infrastruktur air.

3. Rakyat dan pemerintah perlu saling bantu membantu dalam memastikan sumber air dan bekalan air sentiasa lestari dan dapat digunakan demi keselesaan hidup kita semua dan juga generasi akan datang khasnya serta kemajuan Negara amnya.

Firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu; Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan tambahi nikmatKu kepadamu, Dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku sangat keras”

(Alhamdulillah artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan Surat Pembaca, Berita Harian bertarikh 7 Mac 2019 dan Buletin Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Edisi 4, Oktober - Disember 2018)

10 Cadangan Urus Alam Sekitar


Arkib dari April, 2004





Saudara Pengarang,





Akhir - akhir ini masalah pencemaran sumber air mula mendapat tempat di akhbar-akhbar utama dan ‘mainstream’ media.





Tahniah diucapkan kepada akhbar-akhbar terbabit yang turut prihatin tentang masalah pencemaran sumber air yang merupakan sebahagian dari unsur alam sekitar yang wajar dipelihara.





Semoga isu-isu sebegini terus dipaparkan sehingga mungkin suatu hari nanti menjadi tajuk utama muka hadapan akhbar.





Manusia diciptakan sebagai khalifah/pemimpin alam sejagat atau dalam istilah moden ‘alam sekitar’. Sebagai seorang pemimpin manusia sewajarnya memimpin alam sekitar dengan penuh amanah dan bijaksana kerana manusia dan alam sekitar saling memerlukan.





Jika manusia terus rakus mengejar pembangunan material dan meminggirkan aspek pemeliharaan alam sekitar, akibat yang buruk akan melanda manusia jua akhirnya.





Firman Allah yang bermaksud “Makan dan minumlah rezeki
(yang diberikan) Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat kerosakan (2:60).





Dalam ayat yang lain Allah juga berfirman “ Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan
tangan manusia…(30:41)





Malaysia bercita-cita menuju sebuah negara maju. Majunya sesebuah negara bukan hanya diukur dari aspek tertentu sahaja tetapi dalam semua aspek termasuk pemeliharaan alam sekitar. Jika kita terus meminggirkan aspek pengurusan dan pemeliharaan alam sekitar maka kesan secara langsung akan menimpa kita semula contohnya seperti pencemaran sumber air yang berlaku di Selangor dan Johor baru – baru ini.





Tiada gunanya kita saling tuding menuding dan menyalahkan satu sama lain bila sesuatu musibah datang menimpa.





Semua pihak tidak kira rakyat atau pemimpin harus segera sedar dan bangun bersama-sama berganding bahu dalam menangani masalah pencemaran alam sekitar sehingga suatu ketika nanti negara kita mungkin menjadi model terbaik sebuah negara maju yang mapan atau seimbang
dalam segala aspek termasuk alam sekitar.





Untuk itu berikut adalah beberapa cadangan yang ingin diutarakan yang mungkin sesuai dipraktikkan kearah mengutamakan alam sekitar demi kesejahteraan kita dan generasi rakyat Malaysia akan datang.






  1. Meletakkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai antara jabatan tertinggi dalam kepimpinan negara, mungkin sebaris dengan badan kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) jika perlu.

  2. Menubuhkan Pasukan Sukarelawan Alam Sekitar seperti ‘Pasukan Rela’ dan ‘Askar Wataniah’ bagi membantu memantau dan penguatkuasaan Akta Alam Sekitar yang sentiasa up to date’.

  3. Menggalakkan atau mungkin sampai ke tahap mewajibkan ‘kitar semula’ seperti negara Jepun bagi memastikan sampah yang dihasilkan mudah diproses dan tidak mencemarkan alam sekitar.

  4. JAS wajar mencontohi LPKP dengan mewajibkan semua kilang dan premis yang berpotensi mencemarkan alam sekitar memasang papan tanda ‘No. Aduan JAS’ dan ‘Utamakan Alam sekitar’ di pintu utama premis tersebut.

  5. Mewajibkan semua sekolah, institusi pendidikan tinggi, jabatan kerajaan serta swasta mengadakan ‘minggu alam sekitar’ atau ‘bulan alam sekitar’ secara tahunan.

  6. Mewajibkan semua Pengarah / CEO Kilang dan industri berkaitan menghadiri kursus alam sekitar di Institut Alam Sekitar Malaysia supaya mereka lebih ‘celik alam sekitar’.

  7. Mewajibkan semua kilang dan industri berkaitan mengamalkan Sistem Pengurusan Alam Sekitar (ISO 14000) dalam masa setahun dari tarikh mula beroperasi.

  8. Sebagai permulaan, insentif dalam bentuk pengurangan cukai perlu diberikan kepada syarikat yang komited terhadap alam sekitar yang
    melupuskan sisa industri dengan cara yang selamat dan betul atau mempunyai loji rawatan sisa industri yang ‘zero discharge’.

  9. Menggalakkan penciptaan (R&D) dan penggunaan teknologi ‘mesra alam’ dengan memberi insentif tertentu kepada syarikat, para penyelidik dan individu yang terbabit.

  10. Mewujudkan ‘Anugerah Alam Sekitar Nasional’ secara tahunan kepada jabatan kerajaan mahupun sektor swasta atau individu sebagai menghargai dan mengiktiraf jasa mereka ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Sekian terima kasih





Reduce = Kurangkan penggunaan bahan bahan yang diperbuat dari bahan plastik yang sukar mereput. [Non-biodegradable]





Reuse = Guna semula - seperti menggunakan semula beg beg plastik yang diterima semasa membeli barang2 keperluan dari pasaraya dan kedai kedai lain.





Recycle = Kitar semula. Bahan bahan seperti kertas, plastik, besi atau logam tertentu.

















Daripada membuang sisa sisa minyak masak yang sudah di gunakan, bukankah lebih afdal kumpulkan ia dan bawa pergi jual kepada Alam Flora dan dapatkan sejumlah wang tunai mengikut jumlah bahan sisa yang mahu di kitar semula itu?





Hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih.








Pencemar Sumber Air Pengkhianat Negara




Air merupakan keperluan asas yang amat penting bagi kesinambungan kehidupan  di dunia ini. Tanpa air, muka bumi yang indah ini tidak akan ‘relevant’ lagi buat semua makhluk yang bernyawa di dalamnya. 





Negara Malaysia amat bertuah kerana dilimpahkan dengan sumber air yang begitu banyak dan mencukupi untuk penduduknya bukan sekadar sebagai sumber air minum tetapi juga dapat digunakan untuk pengairan pertanian dan juga penjanaan tenaga elektrik.





Air merupakan aset yang amat berharga bagi Malaysia untuk menuju sebuah negara maju yang cemerlang, gemilang dan terbilang.





Tahniah diucapkan kepada PM yang baru dilantik di atas keprihatinan mengenai pengurusan sumber air sehingga diwujudkan dua buah kementerian iaitu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan juga Kementerian Tenaga, komunikasi dan Air.





Selain itu cadangan penubuhan Suruhanjaya Air Negara juga merupakan satu langkah yang amat tepat dan bijak sebagai sebuah badan penilai bebas yang akan menilai semua aspek berkaitan pengurusan sumber air dan perkhidmatan perbekalan air di negara kita.





Walaupun secara keseluruhannya Malaysia mempunyai sumber air yang mencukupi namun disebabkan kepadatan penduduk yang tinggi di Lembah Klang maka Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya mempunyai sumber air yang semakin terhad atau dalam istilah lain hanya ‘cukup-cukup’ sahaja.





Adalah dijangkakan untuk unjuran tahun 2007 Selangor memerlukan bekalan sumber air mentah dari Pahang bagi menampung permintaan yang semakin bertambah. 





Selain masalah sumber air yang semakin terhad serta masalah ‘Non Revenue Water’ yang dikatakan mencecah sehingga 40%, akhir-akhir ini timbul pula masalah pencemaran sumber air sungai di negeri Selangor. 





Baru-baru ini iaitu pada 26 Mac 2004, penduduk di sekitar selatan Negeri Selangor seperti  Bangi, Puchong dan Sepang sekali lagi dikejutkan dengan masalah ketiadaan bekalan air paip.





Pihak Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) telah memaklumkan bahawa ianya berpunca dari masalah pencemaran sumber air mentah dari Sungai Semenyih yang membekalkan air kepada Loji Air Sg. Semenyih.







Pelbagai punca pencemaran air.






Air mentah dari sungai tersebut tidak dapat dirawat dengan sempurna kerana masalah pencemaran bau yang tidak diketahui sumbernya. Kejadian yang sama pernah berlaku pada bulan Mei tahun 2003 yang lalu.





Akibat dari kejadian pencemaran tersebut, Loji berkenaan yang membekalkan air bersih kepada lebih sejuta penduduk dan juga kawasan industri di kawasan Selatan Selangor terpaksa ditutup hampir 12 jam. 





Dalam hal ini siapa yang perlu dipersalahkan ?











Pada pandangan saya pihak yang bersalah ialah pihak yang telah mencemarkan sungai tersebut. Pihak berkenaan boleh dianggap sebagai pengkhianat negara amnya dan negeri Selangor khasnya. Mereka yang terbabit perlu dihukum dengan hukuman yang sewajarnya.





Tanpa kerjasama semua pihak dan agensi berkaitan seperti maka pengkhianat negara ini amat sukar dikesan dan dibawa ke muka pengadilan.





Berikut adalah beberapa cadangan yang mungkin sesuai untuk menangani masalah pencemaran air sungai yang semakin kritikal :






  1. Pihak kerajaan negeri dengan bantuan pihak media perlu meletakkan masalah pencemaran sumber air sebagai isu utama yang perlu ditangani segera sebagaimana masalah kecurian pasir di  Selangor baru-baru ini.

  2. Teknologi Rawatan Air di Loji tersebut perlu dipertingkatkan bagi membolehkannya terus beroperasi biarpun terdapat pencemaran sumber air.

  3. Takungan simpanan air mentah dengan isipadu air yang mencukupi sehingga 2 hari perlu diwujudkan berhampiran loji berkenaan supaya dapat menampung permintaan air ketika berlaku masalah pencemaran sumber air sungai. 

  4. Jabatan Alam Sekitar dan pihak Pengendali Loji boleh dihubungi melalui talian hotline dan SMS dengan cara meletakkan papan tanda ‘Aduan Pencemaran Sungai’ di kawasan yang strategik di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai utama.

  5. Pihak Pengendali Loji perlu menggalakkan orang ramai memberi maklumat mengenai pencemaran sungai dengan cara memberi sedikit insentif samada dalam bentuk pemberian wang dan sebagainya.

  6. Kempen yang berterusan  perlu dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama pihak Pengendali Loji. Dengan cara tersebut pihak industri dan orang ramai yang tinggal d sepanjang sungai akan lebih prihatin tentang masalah pencemaran sungai serta hukuman bagi mereka yang mencemarkan sungai dengan sewenang-wenangnya.

  7. Kilang yang beroperasi di kawasan tadahan Sungai Semenyih termasuk dari kawasan perindustrian Semenyih, Beranang dan Nilai hendaklah mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1979. Jika mereka gagal berbuat demikian maka lesen mereka hendaklah ditarik balik dalam masa 24 jam. 

  8. Semua Loji Kumbahan Indah Water (IWK) yang terletak di kawasan tadahan perlu disenggara dengan baik agar tidak mencemarkan sumber air.

  9. Penternak binatang samada ayam, lembu, kambing atau khinzir berhampiran sungai semenyih perlu memastikan air kumbahan dari ladang ternakan mereka sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam sekeliling 1979. Jika mereka gagal mematuhi undang-undang tersebut ladang ternakan mereka boleh ditutup atau dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai.

  10. Akta Kualiti Alam Sekeliling 1979 hendaklah dikaji semula supaya semua parameter kimia yang boleh mencemarkan  sungai disenaraikan di dalam akta tersebut.

  11. Tapak pelupusan sampah berhampiran Sungai Beranang perlu dipindahkan segera bagi mengelakkan aliran ‘leachate’ kedalam sungai tersebut yang merupakan anak sungai utama kepada Sungai Semenyih.





Abu Aslam 


Catatan Malaikat


Catatan Malaikat





Posted 09 April 2007CE | 22 Rabbi al-Awwal 1428AH by Abu Aslam 
Categories: Tazkirah





Apakah perasaan anda jika sewaktu anda ingin memulakan sesuatu perbuatan yang ‘tidak baik’ anda berasa dua malaikat sedang memerhati dan bersedia untuk mencatat perbuatan yang anda ingin lakukan itu?





Jawapannya mungkin “ohh tidak.. saya malu dan tidak akan lakukan perbuatan ‘tidak baik’ itu”.





Jika semua umat Islam mengimani dan menghayati rukun iman tentang ‘kepercayaan kepada malaikat’ maka segala perbuatan dosa dan maksiat serta kejahatan sukar untuk dilakukan di dunia ini.





Lalu tiada lagi masalah rasuah, zina, dan seumpamanya yang biasanya dilakukan secara sembunyi-sembunyi.





Tidak perlu lagi penguatkuasa agama ‘mengintip’ dan ‘mengganggu’ mereka. Tidak timbul masalah pembuangan bayi, bertambahnya anak luar nikah, bohsia bohjan dan lain-lain.





Persoalannya kini ialah tahap keimanan umat Islam itu sendiri. Berapa ramai yang menjadikan Al Quran sebagai ‘petunjuk sepanjang jalan’?. Apabila Alquran hanya menjadi perhiasan maka masalah sosial akan terus menghantui umat Islam.





Allah telah memberi formula terbaik dalam menangani isu sosial yang makin meruncing lebih-lebih lagi dengan ujian ‘maklumat dihujung jari’ dan ‘dunia yang tiada sempadan’ ini. Cuma kita yang tidak menggunakan formula tersebut dalam kehidupan harian





Wahai diriku dan saudara-saudariku Ingatlah sentiasa bahawa ada dua malaikat yang sentiasa menjadi saksi dan pencatat segala amalan kita. Moga dengan itu kita akan sentiasa malu untuk melakukan perbuatan ‘tidak baik’ itu.





Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi(perbuatanmu),





Yang mulia (di sisi Allah), dan yang mencatat (perbuatan-perbuatanmu itu)





Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan





Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada dalam syurga yang penuh kenikmatan





Dan sesungguhnya orang-orang yang durhaka benar-benar berada dalam neraka





Surah Al Infithaar (10-14)











 


Rumah Di sini dan Rumah Di sana


Imbas semula kenangan terbitan 21hb Jun 2007





Posted 08 June 2007CE | 23 Jumada al-Ula 1428AH by Abu Aslam 
Categories:Tazkirah





Dah tempah ke belum..itulah antara soalan yang sering dilontarkan dalam kehidupan seharian..biasanya dikaitkan dengan tempahan kereta baru..baju baru…rumah baru..





Bagi yang beringat biasanya sudah menempah keperluan asas tersebut (rumah), yang bakal dihuni rata-rata paling lama sekitar 60 hingga 70 tahun.





Sebaliknya ramai yang masih terlupa untuk menempah rumah di sana..di alam kubur..di alam barzah..yang bakal disinggahi lebih lama sementara menunggu ‘yaumul mahsyar’.





Cuma jika ada pun masing-masing ‘mengimpikan’ untuk dikuburkan di bumi anbia Makkah atau Madinah (meninggal dunia ketika menunaikan haji).





Keadaan ini berbeza sekali dengan kaum Cina.. mereka sudah menempah/merancang di mana bakal rumah mereka di alam sana..Siapa tidak tahu Nirvana Memorial Park, Nilai Memorial Park..itulah antara tanah perkuburan termoden dan termahal di Malaysia..





Semakin baik ‘Feng Shui’nya maka semakin mahal harga yang perlu dibayar..itu semua tidak mengapa asalkan mereka ‘bahagia dan selesa’ sama seperti di dunia???.





Fenomena menempah/merancang tanah perkuburan mula timbul dalam benak saya ketika menguruskan pengebumian ayahanda tercinta pada 4 Mei 2007 yang lalu.





Hasil perbincangan keluarga memutuskan untuk menyemadikan jasad Abah di tanah perkuburan Kampung Assam Kumbang, Taiping yang terletak tidak jauh dari rumah adik perempuan saya Norhayati dan suaminya Rosli.





Ini kerana Abah tidak meninggalkan sebarang pesan/wasiat untuk disemadikan di Kampung Ijok, Batu Kurau yang terletak 50 km dari Taiping.Antara sebab kami bersetuju adalah kerana :





1) Abah banyak menghabiskan masa dirumah adik ketika mula jatuh sakit.





2) Ketika Abah sihat, Abah sering berjamaah di masjid tersebut.





3) Tanah perkuburan berhampiran masjid baru Assam Kumbang





4) Tanah perkuburan tersebut merupakan antara tanah perkuburan terbaik di negeri Perak dari segi penyusunan, kekemasan, kebersihan.





5) Tanah perkuburan di kampung agak jauh dari masjid, semak, sunyi dan berbukit





6) Mudah diziarahi anak-anak yang kebanyakannya tinggal di Taiping dan Kuala Lumpur.





Beberapa persoalan mula bermain di fikiranku..aku harus mula menempah/merancang..rumahku di sana..











Sudahkah aku bersedia..aku masih serba salah..adakah di sini..atau di sana sama seperti abah..di samping berharap jika ada rezeki.. disemadikan di bumi anbia..namun sekurang-kurangnya biarlah rumahku di sana nanti.. berhampiran masjid..rumah Allah..yang meriah dengan hambanya yang beribadah..Sudahkah anda menempah rumah di sana?





Jika belum, bersegeralah..sertailah khairat kematian..berwasiatlah..kerana sedetik waktu berlalu..kita semakin hampir untuk memasukinya.. tidak semua kita diberi notis oleh Allah untuk bersedia..





Rumah di sana tidak semahal di dunia..keluasannya secara zahir muat untuk kita berbaring sahaja..tetapi biarlah secara batinnya ibarat berada di antara taman-taman kecil syurga insyaAllah..






Menulis dan terus menulis

Blogging

Moga bisa kembali aktif setelah lama tinggalkan blog disebabkan wujudnya FB dan WA.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh!




Alhamdulillah! Abu Aslam hadir kembali menyambung usaha perkongsian Ilmu Ad Deenul Islam sesudah ghaib seketika dari Alam Maya.