Berjimat Membawa Berkat, Membazir Mengundang Musibah, Ingat Sebelum Kena (Krisis Air) Berjimat Sebelum Habis (bekalan air)

 



Malaysia amat beruntung kerana terletak di garisan khatulistiwa dan menerima jumlah hujan yang banyak iaitu 2,940mm setahun dan dapat digunakan samada untuk bekalan air minum, pengairan tanaman, hidroelektrik ataupun untuk rekreasi. Sebagai umat Islam kita wajar bersyukur dengan nikmat air yang dikurniakan oleh Allah Taala.



Firman Allah dalam surah Al Waqiah ayat 68-70 yang bermaksud :
“ Selain dari itu, tidakkah kamu melihat air yang kamu minum? Kamukah yang menurunkannya dari awan (sebagai hujan), atau Kami yang menurunkannya? Kalau Kami kehendaki, Kami akan jadikan ia masin, maka ada baiknya kamu bersyukur.

Air merupakan keperluan asas manusia dan kehidupan di dunia ini. Berdasarkan fakta saintifik dan perubatan, tubuh manusia terdiri daripada 50-60% komponen air. Tanpa makanan manusia boleh bertahan sehingga beberapa hari namun tanpa air dalam waktu yang singkat manusia akan mati akibat faktor dehidrasi.



Firman Allah dalam surah Al Anbiya ayat 30.. yang bermaksud :
“Dan daripada air kami jadikan sesuatu yang hidup”
Justeru air sangat penting dalam kehidupan dan kemajuan sesebuah ketamadunan di dunia ini misalnya kebanyakan tamaddun muncul dan bermula berhampiran sumber air, misalnya Kota Kaherah terletak berhampiran Sg Nil di Mesir manakala Kota Kuala Lumpur terletak berhampiran Sg Gombak dan Sg Klang.

Kita juga bersyukur dengan kemajuan dan kemakmuran negara maka kini 97.2% penduduk di bandar mendapat bekalan air bersih manakala kawasan luar bandar sebanyak 93.9%. Di zaman awal merdeka hingga sekitar tahun 80 an mungkin ramai antara kita pernah merasai pengalaman menggunakan air dari sungai, parit dan perigi serta air hujan yang ditadah tanpa dirawat. Waktu itu kita terdedah kepada risiko penyakit bawaan air seperti taun dan lain lain.

Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dianggarkan seramai 1.8 juta orang mati akibat penyakit cirit birit di seluruh dunia setiap tahun kebanyakannya di negara miskin dan sedang membangun disebabkan faktor bekalan air yang tidak bersih dan sistem kumbahan yang tidak sempurna.

Mungkin masih ramai diantara kita membayangkan air yang keluar dari paip dialirkan terus dari empangan air yang bersih dan jernih tanpa perlu kepada proses rawatan air yang intensif dan kurang menghargai air yang dibekalkan dengan melakukan pembaziran disebabkan harganya yang agak murah.

Sebenarnya air paip yang sampai kerumah kita melalui berbagai proses sebelum ianya boleh digunakan dan selamat untuk diminum. Antara proses utama ialah penjernihan, penapisan dan pembasmian kuman sebelum dialirkan kepada pengguna melalui sistem agihan yang terdiri dari paip dan tangki simpanan yang berbagai saiz. Semua proses ini memerlukan pemantauan yang berterusan dan kos yang bukan sedikit dan berjumlah berbillion ringgit.

Bekalan Air merupakan suatu keperluan asas untuk rakyat dalam sesuatu negara. Setiap pembangunan dan kemajuan negara bergantung kepada bekalan air dan bekalan elektrik. Justeru pemerintah dan rakyat perlu saling bantu membantu dalam memastikan bekalan air dapat dinikmati oleh semua.

Antara tanggungjawab kerajaan ialah membangunkan infrastruktur air seperti empangan, loji rawatan air dan sistem agihan air. Rakyat pula berperanan untuk sama sama menyumbang dalam bentuk tarif air bagi menampung sebahagian perbelanjaan operasi dan perbelanjaan modal yang semakin meningkat. Ia bertepatan dengan kehendak Islam dalam konsep takaful dan ta’awun iaitu saling lengkap melengkapi dan bantu membantu dalam perkara kebaikan.

Firman Allah dalam Surah Al Maidah, ayat 2 yang bermaksud :
“Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan saling tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya”.

Selain itu kita sebagai pengguna perlu mengelakkan pembaziran dalam penggunaan air kerana kajian menunjukkan pengguna di Malaysia menggunakan air lebih dari kadar yang sepatutnya iaitu sebanyak 201 liter/kapita/sehari berbanding yangdicadangkan oleh PBB iaitu sebanyak 165 liter bagi setiap individu setiap hari. Kita sewajarnya tidak mengamalkan tabiat pembaziran kerana ia adalah tabiat yang buruk dan dikaitkan dengan amalan syaitan.

Firman Allah dalam surah Al Isra’ ayat 27 bermaksud
“Sesungguhnya orang orang yang membazir itu adalah saudara saudara Syaitan, sedang syaitan itu sangat kufur kepada tuhannya”

Mungkin ramai tidak menyedari apabila kita membazir maka sumber air digunakan secara berlebihan justeru infrastruktur air juga perlu dibina dengan lebih banyak dan memerlukan kos yang tinggi. Bagi negeri yang penduduknya padat seperti Selangor dan Lembah Klang, sumber air semakin berkurangan disebabkan permintaan yang tinggi sehingga terpaksa membeli dari negeri lain. Gangguan bekalan air juga akan mudah berlaku di musim kemarau apabila sumber air berkurangan sedangkan permintaan sentiasa tinggi.

Antara amalan penjimatan air yang boleh dilakukan ialah memastikan pili air ditutup semasa memberus gigi atau bercukur, mengurangkan tempoh mandian, menggunakan peralatan cekap air di rumah, masjid dan surau, membaiki paip dan tangki dalaman yang bocor dan lain lain lagi.
Pembaziran juga berlaku ketika berwudhu yakni menggunakan air secara berlebih-lebihan atau menambahkan bilangan basuhan melebihi kadar maksima yang disunatkan iaitu tiga kali.

Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa membasuh melebihi tiga kali sesungguhnya ia melakukan kesalahan dan melampaui batas”. (Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah).

Jika mengambil wudhu melalui tadahan air paip, seelok-eloknya kecilkan bukaan paip untuk mengelak air berlebihan ketika mengambil wudhu.
Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. berjalan melalui Sa’ad r.a. yang sedang mengambil wudhu (dengan menggunakan air yang banyak). Lalu baginda berkata kepadanya; “Pembaziran apakah ini wahai Sa’ad?”. Lalu Sa’ad menjawab; “Adakah dalam menggunakan air juga terdapat pembaziran?”. Rasulullah menjawab; “Ya! Sekalipun engkau berada di tepi sungai yang mengalir airnya”. (Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah).

Selain itu rakyat dan pemimpin negeri juga wajar prihatin dan menjaga sumber air dan tidak mencemarkan sungai kerana ia merupakan talian hayat kita sepertimana motto oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ‘Sungaiku Hidupku’.

[embed]https://youtu.be/M684Zg1pFDA[/embed]

Elakkan membuang sampah merata rata kerana akhirnya ia akan terbuang ke dalam parit seterusnya ke sungai. Kawasan tadahan air juga perlu diwartakan agar pembangunan dan aktiviti sepanjang sungai dapat dikawal dan tidak mencemarkan sungai.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan di darat dan di laut disebabkan tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah ar-Rum, ayat 41)

Jika kita terus lalai dan leka dengan sikap membazir dan mengabaikan pemeliharaan alam sekitar terutama kawasan tadahan air, maka tidak mustahil suatu hari nanti ia akan menyusahkan diri kita dan generasi akan datang apabila bekalan air berkurangan dan terpaksa dicatu sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini di musim kemarau atau ketika berlaku pencemaran sumber air yang menyebabkan loji rawatan air terpaksa ditutup kerana tidak mampu merawat bahan pencemaran tersebut.

Marilah kita mengambil pengajaran dari krisis air yang pernah berlaku di Malaysia sebelum ini dan beberapa negara lain di dunia yang sering mengalami krisis air yang berterusan samada disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu akibat perubahan iklim dan pembangunan yang tidak terkawal serta pembaziran air oleh pengguna. Pepatah Melayu ada mengingatkan kita antaranya ialah ‘beringat sebelum kena;  berjimat sebelum habis’, atau ‘sesal dahulu pendapatan ; sesal kemudian tidak berguna’ dan ‘jangan sampai nasi menjadi bubur’.

 

Kesimpulan  :

1. Kita perlu bersyukur dengan nikmat air yang berterusan di Negara ini dan sebagai tanda kesyukuran kita hendaklah sentiasa mematuhi perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya bagi mengelakkan kemurkaan dan bala dari Allah seperti bencana kemarau.

2. Kita perlu mengelakkan pembaziran air terutama dimusim kemarau, kerana ia adalah sumber yang amat berharga dan terhad terutama di negeri yang penduduknya padat dan terdedah kepada catuan dan gangguan bekalan air akibat pencemaran air atau kerosakan infrastruktur air.

3. Rakyat dan pemerintah perlu saling bantu membantu dalam memastikan sumber air dan bekalan air sentiasa lestari dan dapat digunakan demi keselesaan hidup kita semua dan juga generasi akan datang khasnya serta kemajuan Negara amnya.

Firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu; Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan tambahi nikmatKu kepadamu, Dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku sangat keras”

(Alhamdulillah artikel ini telah diterbitkan dalam ruangan Surat Pembaca, Berita Harian bertarikh 7 Mac 2019 dan Buletin Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Edisi 4, Oktober - Disember 2018)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan