Pencemaran Air Sungai Dan Kesannya Kepada Bekalan Air

Pernahkah kita mengalami gangguan bekalan air di rumah secara tiba-tiba tanpa sebarang notis dari pihak pembekal air. Apakah reaksi kita bila menghadapi situasi sebegini. Sudah pasti ramai yang berasa kecewa kerana air merupakan keperluan asas yang diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian. Tanpa bekalan air yang mencukupi, aktiviti harian akan tergendala.

Tahukah anda bahawa antara punca gangguan bekalan air tidak berjadual biasanya disebabkan oleh penutupan loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran sumber air sungai di kawasan tadahan. Ini kerana kebanyakan loji rawatan air di Selangor adalah loji konvensional dan tidak mampu merawat air yang tercemar melebihi piawaian dan garispanduan kualiti air mentah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kesannya bekalan air tidak dapat disalurkan ke rangkaian paip agihan untuk dibekalkan kepada pengguna.

Sistem bekalan air minum terdiri dari beberapa komponen utama iaitu sumber air mentah (air sungai dan empangan), loji rawatan air dan rangkaian paip agihan air. Jika salah satu komponen menghadapi masalah, bekalan air kepada pengguna akan terganggu.

Negeri Selangor misalnya sangat bergantung kepada sumber air permukaan (air sungai dan empangan) untuk diproses bagi menghasilkan air bersih iaitu sebanyak 4,432 juta liter sehari (JLH) atau 32.2% berbanding jumlah keseluruhan iaitu 13,753 JLH di Malaysia. Selangor juga amat kritikal dari segi sumber air kerana ia perlu mengeluarkan 4,563 juta liter sehari (JLH) atau 29.3% bekalan air bersih berbanding jumlah pengeluaran air di Malaysia iaitu sebanyak 15,536 JLH. (Rujukan : Statistik  Majalah Malaysia Water Industry Guide 2014).

Punca Pencemaran Sumber Air Di Kawasan Tadahan

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa air yang dibekalkan kepada pengguna berpunca dari air sungai. Lembangan sungai terdedah kepada risiko pencemaran sekiranya pembangunan di kawasan tadahan tidak dikawal dengan baik oleh pihak kerajaan negeri.

Selain itu kesedaran semua pihak tentang kepentingan sungai sebagai sumber air minum dapat membantu dalam memastikan sungai sentiasa bersih dan tidak tercemar.

Pencemaran air sungai biasanya disebabkan oleh pelepasan efluen tidak terawat/separa terawat dari kawasan industri, loji rawatan kumbahan dan ladang ternakan haiwan serta tapak pelupusan sampah. Selain itu pencemaran juga disebabkan kelodakan akibat aktiviti pembalakan, pengorekan pasir, kerja kuari dan pembukaan tanah untuk pembangunan dan pertanian.

Pencemaran sumber air juga boleh berlaku disebabkan kemalangan jalanraya berhampiran jambatan yang merentasi sungai yang melibatkan lori tangki yang membawa muatan minyak diesel atau minyak sawit mentah



Antara punca-punca pencemaran dan parameter yang berkaitan diringkaskan seperti  di bawah :

1. Efluen Industri - Bahan bukan organik  (air berasid dan berbau)
2. Efluen loji rawatan kumbahan - Ammonia (air berbau)
3. Efluen ladang ternakan - Ammonia (air berbau)
4. Air kurasan (leachate) dari tapak pelupusan sampah - Ammonia (air berbau)
5. Pengorekan dan pencucian pasir sungai - Pepejal terampai/kekeruhan/tumpahan minyak diesel.
6. Pembalakan dan pembukaan tanah - Pepejal terampai/kekeruhan.



Pemantauan dan penguatkuasaan oleh berbagai agensi dalam menangani masalah pencemaran air.

Bagi membendung masalah pencemaran air di kawasan tadahan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertanggungjawab dalam memantau pencemaran yang dikenalpasti punca (point sources) manakala pencemaran yang tidak dikenalpasti punca (non point source) adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Selain itu operator loji rawatan air di Selangor di bawah Pengurusan Air Selangor, turut mengambil inisiatif memantau pencemaran air di kawasan tadahan secara berkala.

Bagi memantau pencemaran secara berterusan, stesen pemantauan sungai (online river monitoring station (RMS)) juga telah dipasang di beberapa lokasi strategik di sepanjang sungai. RMS berfungsi memberi amaran awal kepada pihak Operator loji rawatan air jika terdapat pencemaran air. Justeru tindakan bagi menangani pencemaran dapat dilakukan lebih awal seperti menutup sementara operasi loji bagi mengelakkan air yang tercemar memasuki loji rawatan air.



Langkah-Langkah bagi mengurangkan kes pencemaran

Kes-kes pencemaran biasanya berlaku pada musim kemarau disebabkan kadar pencairan yang kurang (less dilution factor) di dalam sungai disebabkan isipadu air yang berkurang berbanding pada musim biasa. Antara langkah-langkah pemantauan dan penguatkuasaan oleh agensi berkaitan ialah seperti berikut :

1) Pihak Kerajaan Negeri mewartakan kawasan tadahan air bagi mengurangkan risiko pencemaran air.

2) Pihak JAS dan LUAS menjalankan penguatkuasaan secara lebih intensif semasa musim kemarau kerana fenomena kurangnya aliran air sungai (low river flow) menyebabkan kurangnya faktor pencairan (less dilution factor) dan kesan pencemaran akan lebih ketara disebabkan kepekatan bahan cemar yang meningkat.

3) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari semasa ke semasa mengenalpasti kilang haram berhampiran kawasan tadahan dan melakukan proses penyitaan bagi mengelakkan ‘non point sources pollution’ yang mencemarkan sungai.

4) Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan kerjasama IWK mengadakan kempen pengosongan tangki septik komunal (Communal Septic Tank - CST) dan individu (Individual Septic Tank - IST) di kawasan perumahan terutama di musim panas dan kemarau bagi mengurangkan aliran effluen kumbahan tidak terawat ke dalam longkang yang seterusnya memasuki parit dan sungai.

5) Pihak Indah Water Konsortium (IWK) dan institusi awam seperti universiti dan kuarters kerajaan sentiasa memastikan loji rawatan kumbahan di asrama pelajar/ rumah kakitangan sentiasa berfungsi dengan baik sepanjang masa bagi mengelakkan limpahan dan pelepasan effluen kumbahan tidak terawat ke dalam longkang/alur air seterusnya mengalir ke kawasan tadahan air.

Penilaian Risiko Pencemaran Air Melalui Pelan Keselamatan Air/ Water Safety Plan (PKA/ WSP).

Dalam pada itu pihak KKM dengan kerjasama SPAN telah meminta Operator Air mewujudkan Pelan Keselamatan Air (PKA). Penekanan kepada mewujudkan PKA ini adalah berdasarkan kepada saranan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam memastikan kualiti air yang dibekalkan kepada pengguna sentiasa selamat.

PKA merupakan pendekatan baru yang bersifat lebih proaktif dengan menekankan kepada pengurangan risiko berlakunya kemerosotan kualiti air dengan cara mengenalpasti risiko pencemaran air bermula dari kawasan tadahan hingga ke pili pengguna di rumah.

Pihak Operator Air perlu mengenalpasti risiko pencemaran air di kawasan tadahan, loji rawatan air dan juga di kawasan rangkaian agihan kepada pengguna. Langkah-langkah proaktif dalam mengurangkan risiko perlu diambil oleh Operator Air dengan kerjasama agensi penguatkuasaan dan kawal selia yang berkaitan.



Kesimpulan

Kesimpulannya, sumber air mentah terutama di negeri yang mempunyai penduduk yang ramai seperti Selangor amat penting dan ibarat talian hayat (‘lifeline’) kepada pengguna domestik, komersil dan industri di Selangor Kuala Lumpur dan Putrajaya. Justeru pewartaan kawasan tadahan dan sepanjang tebing sungai perlu disegerakan dan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

Kerjasama dan tindakan bersepadu antara berbagai agensi yang diamanahkan dalam memantau dan memulihara sumber air diharap dapat mengurangkan kes-kes pencemaran air di kawasan tadahan seterusnya dapat mengurangkan kejadian gangguan bekalan air tidak berjadual kepada pengguna.

Selain itu aspek pendidikan kepada generasi muda tentang kepentingan menjaga kebersihan sungai perlu diadakan secara berterusan agar mereka menghargai dan bersama memulihara sungai.

Bersama Menjaga Alam Sekitar, Cintai Sungai Kita, Sumber Bekalan Air Yang Amat Berharga.

(Nota disclaimer : Tulisan ini adalah suatu perkongsian penulis berdasarkan pengalaman kerja dalam bidang rawatan air dan bekalan air selama lebih 24 tahun. Tulisan ini tidak mewakili mana-mana pihak atau agensi)

 

1 ulasan: