Abah Pergi Tak Kembali - Kenangan Sedekad Lalu



Jazakumullahu khairan kathira buat saudara mara dan sahabat handai sekalian yang telah mengucapkan takziah dan memberi kata-kata semangat samada melalui emel, sms mahupun telefon ketika saya menghadapi saat-saat  paling sedih dalam usia kehidupan ini iaitu kehilangan ayahanda tercinta. Walau apa pun saya bersyukur kepada Allah kerana dapat bersama abah di saat-saat hembusan nafas terakhir beliau.

Abah dimasukkan kembali ke hospital Taiping iaitu wad C6/Bunga Raya pada pagi khamis jam 3.30 kerana mengadu sesak nafas dan pening akibat penyakit asthma dan tekanan darah yang meningkat . Ini merupakan kali ketiga abah dimasukan ke wad yang sama sejak akhir tahun lalu.

Menurut kaklang, abah juga telah mengalami lumpuh sebelah badan ketika tengaharinya dan butir-butir bicaranya sukar difahami. Abah cuma mampu berhubung dengan kami melalui isyarat tangan sebelah kiri. Makanan dan ubat juga hanya boleh disalurkan melalui tiub yang dimasukkan melalui saluran hidung. Selain itu bantuan udara beroksigen juga terpaksa disalurkan melalui hidung bagi membantu pernafasan abah

Ketika saya tiba jam 9.30 malam keadaan abah tidak banyak berubah. Mulai jam 12.00 malam, saya dan adik lelaki (Kamaruddin) menemani abah yang semakin sukar bernafas. Emak kami nasihatkan sepaya berehat di ruang rehat yang disediakan oleh pihak hospital kerana sudah keletihan seharian menemani abah. Saya dan adik perlu membetulkan kedudukan abah dari semasa ke semasa bagi memastikan abah duduk selesa kerana beliau tidak boleh berbaring. Abah juga mengadu melalui isyarat tangan dan mulut bahawa pinggangnya semakin lenguh.

Jam 12.30 malam, jururawat bertugas memberi ubat kepada abah melalui tiub. Jam 1.00 pagi jururawat memberi gas ‘nebulizer’ mengurangkan masalah lelah/asthma abah. Jam 2.00 abah makin sukar bernafas. Jururawat terpaksa menyedut kahak yang menyumbat salur pernafasan abah. Selepas itu abah mampu bernafas seketika tetapi sebentar cuma. Rupa-rupanya itulah detik terakhir abah menarik nafas lalu rebah di pembaringan. Doktor dan beberapa jururawat mencuba sedaya upaya untuk memulihkan pernafasan abah secara kaedah ‘CPR’ selama 30 minit namun abah terus kaku.

Jam 2.30, di malam Jumaat yang mulia dan hening itu, ketua jururawat memeluk emak sambil membisikkan agar tenang menghadapi saat-saat perpisahan itu.

Emak kelihatan tenang tetapi sayu, saya dan adik tidak mampu menahan air mata. Kami terus mencium wajah dan dahi abah yang kami kasihi. Terlukis ketenangan dan senyuman pada wajah dan bibir abah seolah-seolah sudah bersedia meninggalkan kami untuk berkelana menemui Allah Rabbul Jalil.

Jam 3.30 pagi Doktor mengesahkan bahawa abah telah ‘pergi’ kerana 2 kemungkinan iaitu kerana paru-paru yang dipenuhi cecair/kahak serta saluran darah yang tersumbat di otak (melalui keputusan CT Scan) pada sebelah siang.

Akhirnya saya juga rasa bersyukur kerana berjaya menunaikan pesanan terakhir abah kepada ibu yang meminta saya mengimami solat jenazah selepas solat Jumaat di Masjid Baru Assam Kumbang Taiping. Seterusnya jenazah Abah selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Assam Kumbang Taiping yang terletak berhampiran Masjid.

Hari ini saya masih bercuti..sesekali airmata saya akan mengalir bila mengenangkan jasa serta kasih sayang abah yang tidak ternilai harganya. Semoga roh abah  tenang dan damai serta berada di antara taman-taman syurga di alam sana.

(Arkib tahun 2007)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan