Aliran Aqidah : Sejarah dan Pandangan Aliran Asy’ariyah



1.0 Sejarah Aliran Asy’ariyah

Asy'ariyah adalah aliran akidah yang moderat dan bersederhana dinisbahkan kepada pendirinya iaitu imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari. Majoriti muslim di Negara-Negara Arab dan Islam menganut aliran ini. Salah satu penyebab diterimanya secara luas aliran ini kerana adanya pendekatan dan pembaharuan pemikiran dalam memahami persoalan akidah melalui penekanan integrasi antara dalil naqli (wahyu) dan dalil aqli (akal).

Asy'ariyah mempergunakan kedua hujjah dalil naqli dan dalil aqli sebagai medium untuk memahami secarah menyeluruh persoalan-persoalan akidah, di samping itu bertujuan mengkritik musuhnya yang terdiri dari aliran Mu'tazilah, golongan ahli falsafah, dan sekaligus menyelesaikan pertikaian antara pandangan Jabariyah dan Qadariyah mengenai hakikat perbuatan manusia. Sehingga pemahaman akidah yang dibawa oleh Abu Hasan Al-Asy'ari sangat moderat dan sederhana serta dengan mudah diterima oleh majoriti umat Islam di seluruh dunia.

Abu Hasan Al-Asy'ari dilahirkan di Basrah (260 H). Namun Ibnu Khalkan menyatakan bahawa dia dilahirkan pada tahun 270H dan tinggal di Baghdad pada tahun 324H. Abu al-Hasan Al-Asy'ari selalu menemani ayah tirinya Abu Ali Al-Jubbaiy yang merupakan ulama besar Mu'tazilah pada masa itu, darinya ia mendapatkan pemikiran-pemikiran Mu'tazilah yang selalu mengutamakan dalil aqli (logik akal), sehingga pengetahuan Abu Hasan Al-Asy'ari amat mendalam tentang Mu'tazilah dan ianya menjadi salah seorang pendakwah dan pembela fahaman Mu'tazilah ketika itu.

Namun setelah menguasai pemikiran-pemikiran Mu'tazilah, ia berubah haluan dan meragui pandangan-pandangan Mu'tazilah yang didalamnya terdapat beberapa pemikiran yang sesat dan tidak sesuai dengan ajaran Al-Qur'an dan Al-Sunnah.

Para sejarawan teologi Islam yang membincangkan tentang kehidupan Abu Al-Hasan Al-Asy'ari sepakat mengenai perubahan pertama dalam hidupnya, iaitu keluarnya ia dari aliran Mu'tazilah yang merupakan pegangan akidah ayat tirinya.

Ibnu Asakir meriwayatkan bahawa Abu Al-Hasan Al-Asy'ari keluar dari Mu'tazilah dengan cara menyendiri, menyepi dari masyarakat selama lima belas hari hari. Ia kekal selama itu untuk merenung dan mengkaji pemikiran akidah dalam rumahnya untuk mencari kebenaran yang jernih tentang akidah sebenar. Selepas lima belas hari, kemudian ia keluar bertemu dengan masyarakat di masjid. Beliau memberitahu mereka bahawa dirinya telah membuang dan menanggalkan apa yang selama ini ia yakini daripada ajaran dan pemikiran Mu'tazilah, seperti halnya ia tanggalkan bajunya. Kemudian ia tanggalkan pakaian yang tengah dipakai, selepas itu ia memperlihatkan sebuah karya kitab yang baharu selesai dikarangnya kepada orang-orang yang ada di dalam mesjid.

Para pengkaji sepakat mengenai keluarnya Abu Hasan Al-Asy'ari dari Mu'tazilah, dan umur beliau ketika itu mencapai empat puluh tahun, namun mereka berselisih pendapat mengenai penyebab keluarnya dari Mu'tazilah, seperti tiga hal berikut:

Pertama:

Abu Hasan Al-Asy'ari menemukan beberapa kelemahan dalam pemikiran Mu'tazilah, terlebih lagi ketika ulama Mu'tazilah tidak dapat memberikan jawapan yang tepat dari pertanyaan-pertanyaan orang awam. Seperti yang dikisahkan bahawa suatu ketika ada seorang lelaki yang datang menemui Ali Al-Jubba`iy untuk menanyakan satu persoalan agama yang berkaitan dengan akidah, dan saat itu Abu Hasan Al-Asy'ari bersama dengan ayah tirinya. Pertanyaan orang tersebut: "Apakah boleh menamakan Allah sebagai Al-'Aqil (Yang berakal)?

Ali-Al-Jubba`iy menjawab: Tidak boleh, kerana asal perkataan Al-'Aql (akal) diambil dari kalimat al-'Iqaal dan bermaksud mencegah, dan Allah tidak layak mencegah, sebab ianya mustahil bagi Allah. Abu Hasan Al-Asy'ari tidak setuju mendengar jawaban Ali Al-Juba'iy, dan ia menyatakan bahawa jika sekiranya perbandingan yang anda katakan tadi betul, maka tentu tidak boleh pula bagi kita namakan Allah sebagai Al-Hakim (Yang bijaksana), kerana asal perkataan Al-Hakim daripada Hakamat Al-Lijam (tali kekang atau kendali) yang terbuat dari besi dan berfungsi sebagai alat untuk mengekang dan mengendalikan kuda ketika bergerak.

Abu Hasan Al-Asy'ari berterusan buat pendalilan contoh dari sya'ir untuk menguatkan pendapatnya. Dan menyatakan dengan tegas bahawa sekiranya anda tidak setuju Allah dinamakan sebagai Al-'Aqil maka tentu tidak boleh juga Allah dinamakan sebagai Al-Hakim. Abu Ali Al-Juba'i diam dan tidak dapat membantahnya sama sekali, namun justeru berbalik bertanya kepada Abu Hasan Al-Asy'ari: "Kenapa pula anda melarang penamaan bagi Allah sebagai Al-'Aqil, dan disisi lain anda bolehkan penamaan bagi Allah sebagai Al-Hakim?". Abu Hasan Al-Asy'ari menjawab: "kerana cara yang saya pergunakan untuk memberikan nama Allah berdasarkan apa yang dipaparkan oleh syari'at dan bukan seperti cara anda yang berdasarkan kepada perbandingan bahasa. Di atas sebab ini saya menamakan Allah sebagai Al-Hakim kerana syari'ah menyatakan nama ini. Dan saya tidak mau menamakan Allah sebagai Al-'Aqil kerana syari'at tidak membolehkannya. Jadi saya mengikut apa-apa penamaan Allah yang sesuai dan disebutkan dalam syariat".

Demikian debat dan diskusi yang terjadi di antara keduanya sehingga Abu Hasan Al-Asy`ari tidak berpuas hati dengan pandangan Mu'tazilah yang selalu mendahulukan pendalilan aqli (logika akal).

- Kedua :

Sebuah debat berlangsung antara Abu Hasan Al-Asy'ari dengan Abu Ali Al-Juba'iy. dan dianggap oleh pengkaji adalah penyebab utama ia keluar dari aliran Mu'tazilah, hikayahnya seperti berikut:

Tatkala Abu Hasan Al-Asy'ari bertanya kepada Abu Ali Al-Juba'iy: “Bagaimana pendapatmu tentang nasib tiga orang yang meninggal di akhirat nanti: orang mukmin, orang kafir dan anak kecil?. Abu Ali Al-Juba’iy menjawab: "menurut saya nasibnya orang mukmin akan memperoleh tempat yang tinggi disisi Allah SWT, dan orang kafir akan celaka di Neraka, sedangkan anak kecil akan terselamat dari siksaan.

Abu Hasan Al-Asy'ari bertanya lagi: "Adakah kemungkinan boleh bagi anak kecil tersebut minta tempat yang tinggi juga kepada Allah Swt?". Abu Ali Al-Jubba’iy menjawab: “ tidak mungkin, kerana Allah akan berkata kepada anak tersebut bahawa orang mukmin itu memperoleh tempat yang tinggi di sisi-Ku kerana amal baiknya yang banyak, sedangkan kamu wahai anak kecil belum sempat lagi berbuat kebaikan. Jadi anda tidak dapat meraih tempat yang tinggi tersebut".

Abu Hasan Al-Asy'ari kembali bertanya: "Bagaimana kalau anak kecil menggugat dan melayankan protes kepada Allah Swt dengan berkata, "Tuhan, demikian itu bukan salahku. Andaikan Engkau memberiku umur panjang, tentu aku akan berbuat kebaikan seperti orang mukmin itu". Abu Ali Al-Juba’i menjawab: "Tidak boleh, sebab Allah akan menjawab kepada anak tersebut: "Justru itu Aku mengetahui jika kamu Aku beri umur yang panjang, maka kamu akan berbuat durhaka, sehingga nantinya nasib kamu akan disiksa di neraka. Oleh kerana itu, demi menjaga masa depanmu di akhirat, Aku matikan kamu segera sebelum sampai usia taklif (Baligh)".

Abu Hasan Al-Asy'ari tidak berhenti bertanya: "Bagaimana sekiranya orang kafir itu juga ikut protes dan menggugat kepada Allah dan berkata: "Tuhan, rupa-rupanya Engkau memang telah mengetahui masa depanku, juga masa depan si anak kecil itu. Tetapi mengapa Engkau tidak menjaga dan memperhatikan masa depanku, sebagaimana nasib orang mukmin atau anak kecil tersebut. Bahkan Engkau biarkan aku hidup menjadi kafir seperti sekarang ini".

Jawaban Abu Hasan Al-Asy'ari membuat Abu Ali Al-Juba’iy yang merupakan guru dan ayah tirinya sendiri buntu untuk menjawab dan terhentilah debat keduanya.

Ketiga :

Satu lagi penyebab Abu Hasan Al-Asy'ari keluar dari aliran Mu'tazilah, iaitu disebabkan ia pernah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad Saw pada permulaan bulan Ramadan.

Mimpi ini merupakan penentu sikap bagi Abu Hasan Al- Asy'ari dalam menghadapi debat dan keraguan-keraguan dari berbagai pemikiran-pemikiran Mu'tazilah yang ia pelajari selama ini hingga berumur empat puluh tahun, di samping itu mimpi ini juga menjadi ilham baginya dalam mencari kebenaran agama yang sejati di bawah oleh Nabi Muhammad Saw.

Mimpi tersebut telah diriwayatkan oleh Ibnu Asakir bahawa Abu Hasan Al-Asy'ari tatkala sedang tidur, ia tiba-tiba bermimpi bertemu Nabi Muhammad Saw, dalam pertemuan tersebut ia mengadu kepada Nabi di atas perkara-perkara yang diragukan dalam hatinya, Nabi Saw berkata: "Ikutilah sunnahku". Kemudian di pertengahan bulan Ramadan, Abu Hasan Al-Asy'ari kembali bermimpi bertemu Nabi Saw dan beliu berkata: "Sudahkah kamu laksanakan pesanku?. "Abu Hasan Al-Asy'ari menjawab: "Aku telah laksanakan".

Kesan mimpi ini terasa amat berat bagi Abu Hasan Al-Asy'ari sehingga ia memutuskan untuk meninggalkan aliran Mu'tazilah yang selama ini ia pegang dan dibela.

Abu Hasan al-Asy’ari membuat pendekatan dalam manhaj Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mengkritik hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Pemikiran beliau diterima oleh ramai orang, sehingga beliau berhasil mengumpulkan pengikut yang banyak. Sehingga pandangan-pandangan beliau dikenal mewakili dan mencerminkan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah, dan pada akhirnya pandangan beliau tercatat dalam sejarah aliran teologi Islam sebagai aliran Asya'irah, iaitu aliran akidah yang mengikut fahaman Abu Hasan al Asy’ari, yang sehingg kini menjadi aliran akidah yang mayoriti sekitar 75-85% umat Islam sedunia berfahaman Sunni, manakala 10-15% pula menganut fahaman Syiah.

Aliran Asya’irah terus dikenal sebagai aliran moderat dalam memahami permasalahan akidah Islam, sehingga aliran tersebut berkembang ke berbagai negara-negara di Timur Tengah, bermula dari Iraq, kemudian menyebar di Mesir pada zaman Salahuddin al- Ayubi, kemudian masuk ke Syiria dengan sokongan Nuruddin Zanki, selepas itu sampai ke Maroco dengan sokongan Abdullah bin Muhammad, perkembangan aliran Asy'ariyah tidak terlepas dari sokongan dari ulama-ulama dan sarjana-sarjana Islam di kalangan mazhab Syafi'i, bahkan kemashuran aliran Asy'ariyah bertambah di bawah ketokohan imam al-Ghazali sehingga kini didengar di mana-mana negara Islam, kalau disebut imam al-Ghazali maka terlintas sebuah aliran Asy'ariyah.

Asy’ariyah berkembang pesat mulai abad ke-11 M. Bersama menyebarnya ajaran Tasawuf (sufi), pemahaman ini juga mendapat dokongan oleh para penguasa di beberapa pemerintahan Islam. Asy’ariyah dijadikan mazhab resmi oleh Dinasti Gaznawi di India pada abad 11-12 M yang menyebabkan pemahaman ini dapat menyebar luas dari India, Pakistan, Afghanistan, hingga ke Asia Tenggara Malaysia, Indonesia, Brunei.

Dinasti Seljuk pada abad 11-14 M. Khalifah Aip Arsalan beserta Perdana menterinya, Nizam al-Mulk amat mendukung aliran Asy’ariyah. Sehingga pada masa itu, penyebaran fahaman Asy’ariyah mengalami kemajuan yang sangat pesat utamanya melalui lembaga pendidikan bernama Madrasah Nizamiyah yang didirikan oleh Nizam al-Mulk.

Saat ini Universiti al-Azhar-Mesir merupakan pusat pengkajian dan penyebaran akidah Asy'ariyah di dunia antarabangsa.

Berikut pandangan-pandangan teologi Asy'ariyah:

1) Antara teori Abu Hasan al-Asy’ari adalah mengemukakan 13 sifat yang wajib bagi Allah secara terperinci iaitu:

Ada (Wujud), Bersedia (Qidam), Kekal (Baqo’), Berlawanan dengan sesuatu yang baru (Mukholafatuhul lil hawadith), Berdiri dengan sendirinya (Qiyamuhu Binafsihi ), Satu (Wahdaniyyah), Berkuasa (Qudrah), Berkehendak (Iradah), Mengetahui (Ilmu), Hidup (Hayah), Mendengar (Sam’u), Melihat (Bashir), Berkata-kata (Kalam)

Asy'ariyah pada awalnya hanya menetapkan tujuh sifat ma’ani saja bagi Allah yang ditetapkan menurut akal (aqliyah) iaitu hayah, ilmu, qudrah, iradah, sam’u, bashir, dan kalam. Kemudian ditambahkan oleh imam al-Sanusi menjadi dua puluh sifat.

2) Kebebasan dalam berkehendak

Permasalahan ini berkait dengan hakikat perbuatan manusia, dalam pandangan Asy’ariyah bahawa Allah Swt sebagai pencipta perbuatan manusia, sama halnya baik atau buruk, dan manusia diberikan pilihan di atas kedua perbuatan tersebut. Hanya Allah sahaja yang mampu menciptakan segala sesuatu (termasuk keinginan manusia). Hal ini berbeza dengan aliran Mu’tazilah yang berpendapat bahawa manusia menciptakan dan melakukan perbuatannya sendiri.

3) Al Qur’an Qadim

Asy’ariyah berpendapat bahawa walaupun Al Qur’an terdiri atas kata-kata, huruf dan bunyi, semua itu tidak melekat pada esensi Allah Kerana itu Al Qur’an qadim dan tidak diciptakan. Dengan kata lain Al-Qur’an adalah kalam Allah yang berarti berkaitan langsung dengan sifat Allah SWT iaitu kalam. Sifat-sifat Allah semuanya dahulu (qodim/azali) bukanlah baru (huduts) sebagaimana sifat-sifat mahluk. Dengan demikian Al-Qur’an bukanlah mahluk.

3) Naqli (Wahyu) dan Aqli (Akal)

Walaupun aliran Asy’ariyah dan aliran Mu’tazilah sama-sama mengakui pentingnya dalil naqli (wahyu) dan dalil aqli (akal), tetapi mereka berbeza dalam tahap penggunaan kedua dalil tersebut, sehingga tatkala dipersoalkan tentang yang mana satu didahulukan dan diutamakan?. Dalam hal ini aliran Asy'ariyah berpendapat jika terjadi kontradiktif antara dalil naqli dan aqli, maka walaubagaimanapun dalil naqli wajib didahulukan, sebaliknya aliran Mu’tazilah mengatakan bahawa dalam keadaan demikian justeru dalil aqli yang wajib didahulukan.

4. Keadilan

Dalam konsep keadilan Allah Swt, aliran Asy’ariyah dan aliran Mu'tazilah sepakat bahawa Allah itu adil. Namun keduanya berbeza dalam pembatasan ruang keadilan Allah Swt. Aliran Asy'ariyah berpendapat bahawa Allah Swt tiada sesuatu yang mewajibkan tindakanNya. Oleh kerana itu tiada yang dapat memaksakan keinginan Allah Swt, sehingga dalam perkara dosa yang mengakibatkan siksaan, dan perkara kebaikan yang mengakibatkan pahala, kesemuanya dalam kekuasaan Allah Swt, tindakan Allah bebas, boleh menyiksa orang yang salah dan memberi pehala kepada orang yang berbuat baik. Berbeza dengan pandangan aliran Mu'tazilah, mereka mewajibkan Allah untuk menyiksa pendosa dan memberikan ganjaran pahala bagi yang berbuat kebaikan. Sebab kalau Allah tidak berbuat demikian, berarti Allah tidak berlaku adil.

5. Kedudukan orang berdosa

Aliran Asy’ariyah menolak pendangan aliran Mu'tazilah bahawa pelaku dosa besar dihukum fasiq di dunia, ia tidak lagi beriman dan tidak pula kafir, dan kalau ianya tidak bertaubat sebelum meninggal dunia, maka diakhirat ditempatkan di dalam neraka selamanya. Jadi yang betul bagi pandangan Asy'ariyah adalah bahawa seorang yang melakukan dosa besar, di dunia dihukum orang yang beriman namun ia berma'siat, dan jika ia meninggal dunia sekalipun tidak sempat bertaubat, maka ia akan dimasukkan ke dalam neraka dan hanya sementara sahaja berada di dalamnya, bagi tujuan pencucian dosa besar yang ia lakukan di dunia, kemudian akan dikeluarkan oleh syafa'at Nabi Muhammad Saw, dan dipindahkan ke dalam syurga Allah Swt.

Diantara tokoh-tokoh aliran Asy’ariyah yang terkenal adalah sebagai berikut:

1. Al Baqilani (wafat 403 H)
2. Ibnu Faruak (wafat 406 H)
3. Ibnu Ishak al Isfarani (wafat 418 H)
4. Abdul Kahir al Bagdadi (wafat 429 H)
5. Imam al Haramain al Juwaini (wafat 478 H)
6. Abdul Mudzaffar al Isfaraini (wafat 478 H)
7. Al Ghazali (wafat 505 H)
8. Ibnu Tumart (wafat 524 H)
9. As Syihristani (wafat 548)
10. Ar Razi (1149-1209 M)
11. Al Iji (wafat 756 H)
12. Al Sanusi (wafat 895)

Aqidah Asy’ariyah merupakan aliran sederhana dalam memahami ajaran akidah Islam yang bersumberkan dari al-Qur'an dan al-Sunnah, ianya menggunakan pendekatan jalan tengah (Tawasuth) di antara aliran-aliran akidah yang telah wujud sebelumnya, iaitu aliran Syiah, Khawarij, Mu'tazilah. Dalam perbincangan hakikat perbuatan manusia, aqidah Asy'ariyah menjadi penengah di antara Jabariah dan Qadariyah yang keduanya saling bercanggah antara satu sama lain.

Kelompok Jabariyah berpendapat bahawa seluruh perbuatan manusia diciptakan oleh Allah dan manusia tidak memiliki peranan apapun. Sedang kelompok Qadariyah sebalikmya memandang bahawa perbuatan manusia diciptakan oleh manusia sendiri terlepas dari campur tangan Allah. Dengan begitu, bagi Jabariyah kekuasaan Allah adalah mutlak dan bagi Qadariyah kekuasaan Allah terbatas.

Dalam suasana ketidak akurnya kedua kelompok Jabariyah dan Qadariyah, maka imam Asy'ari tampil meluruskan perbalahan mereka dengan sikap yang penuh dengan kesederhanaan dengan menawarkan sebuah konsep al-kasb (keupayaan dan usaha).

Menurut Asy’ariyah, perbuatan manusia diciptakan oleh Allah, namun manusia memiliki kuasa dan kekuatan serta peranan dalam memilih perbuatannya. Perbuatan baik dan buruk dapat dipilih oleh manusia dengan sesuka hati. Kasb memiliki makna kebersamaan perbuatan manusia dengan kekuasaan Allah Swt. Kasb juga memiliki makna bahawa manusia bertanggung jawab di atas perbuatannya sendiri, sebagai akibat dari perbuatan yang ia pilih di antara yang baik mahupun yang buruk.

Dengan konsep kasb tersebut, aqidah Asy’ariyah menjadikan manusia selalu berusaha secara aktif dalam kehidupannya, akan tetapi tidak melupakan bahawa penentu dan keputusan akhir dari segalanya adalah Allah Swt.

Dalam konteks kehidupan sekarang, akidah Asy’ariyah, sangat memungkinkan dijadikan sebagai landasan persatuan dan kesatuan bangsa, baik dari segi akidah, budaya, pemikiran mahupun politik, dan terutama dalam persoalan politik, sebab corak pemikiran politik Asy’ariyah adalah moderat, dalam konsep politik Asy'ariyah, kedamaian dan ketenteraman hidup amat diutamakan, sehingga dalam berbagai hal aksi kekerasan yang bermotif politik tidak digalakkan.

Berbeza dengan konsep politik Mu'tazilah, dalam keadaan ketidakadilan penguasa terhadap rakyat, maka diperlukan kekuatan dan kekerasan untuk menurunkan penguasa atau pemimpin, sekalipun ianya mahal sebab akan terjadi pertumpahan darah di antara rakyat dan kerajaan.

Dalam aspek sosial, sikap tasamuh (toleransi) ditunjukkan oleh aliran Asy’ariyah di manapun berada, mereka tidak mudah menyesatkan aliran lain, apatah lagi mengkafirkan. Sikap lapang dada selalu ditonjolkan dalam masyarakat serta tidak mudah menyalahkan amalan orang lain.

Dalam konteks pemikiran, jika dalam paham Mu’tazilah posisi akal di atas wahyu, Asy’ariyah justru sebaliknya berpendapat bahawa wahyu di atas akal. Kesederhanan pemikiran Asy'ariyah nampak tatkala berpendapat bahawa meskipun wahyu di atas akal, namun akal tetap diperlukan dalam memahami wahyu.

Jika akal tidak mampu memahami wahyu, maka akal harus tunduk dan mengikuti wahyu. Kerena kemampuan akal sangat terbatas, sebab tidak semua yang terdapat di dalam wahyu dapat dipahami oleh akal manusia, seperti perkara-perkara di alam ghaib, akal tiada kemampuan untuk mengetahuinya.

Dengan demikian Asy'ariyah amat menjaga kesederhanaan berpikir, jauh dari sifat ta'asub dan bersifat lapang dada.

1) Teologi Asy’ariyah merupakan 'feedback' (ra’du fi’il) dari kemunculan teologi Mu’tazilah. Pada mulanya Mu’tazilah sebagai aliran rasionalistik dalam Islam dituduh telah menyimpang dari ajaran Islam, maka muncullah aliran Asy’ariyah sebagai reaksi-responsif terhadap penyimpangan paham Mu’tazilah.

2) Teologi Asy'ariyah berkonsepkan faham kesederhanaan (wasatiyah) dalam akidah, pemikiran, sosial dan politik.

3) Aliran Asy'ariyah memiliki pengikut yang terbanyak di antara aliran-aliran yang sedia ada.

Bibliografi :

1. Abdul Jabbar, Al-Qadi, 2012, Syarh al-Usul al-Khamasah, Cairo-Egypt, Maktabah Wahba.
2. Abu Sa'dah, Muhammad Husaini, 2002, Al-Syahrastani Wa Manhajuhu Al-Naqdi, Beirut-Lebanon, al-Mu`assasah al-Jami'iyah li Al-Dirasat wa Al--Nashr wa Al-Tawzi'.
3. Ahmad Amin, 2006. Zuhrul Islam, Beirut-Lebanon, Darul Kutub Ilmiah.
4. Al-'Asy'ari, Abu Hasan, 2015, Maqalat al-Islamiyyin, Beirut-Lebanon, Darul Kutub
5. Ilmiah. Al-Baghdadi, 1977, al-Farq Bayna al-Firaq, Beirut-Lebanon, Dar al-Afaq al-Jadidah.
6. Al-Shahrastani, 1404H, Al-Milal wa Al-Nihal, Beirut-Lebanon, Dar al-Ma'rifat.
7. Ibnu Khalkan, 132 H, Wafiyyat al-A'yaan, 2/446, cet Kairo.
8. Nurdin Kamaluddin, 2014. Al-Akidah Al-Islamiyah wa Al-Qadayaa Al-Khilafiyah Inda Ulama Al-Kalam. Beirut-Lebanon, Darul Kutub Ilmiah.
9. Nurdin, Kamaluddin, 2011, Nash’at al-Firaq wa Tafarruquha, Beirut-Lebanon, Darul Kutub Ilmiah.

(Artikel ini adalah salah satu tugasan saya semasa mengikuti pengajian Diploma Siswazah Pengajian Islam - DISPI di USIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan