Hidup Ini Seakan Sepagi Atau Sepetang

 



Percayakah kita bahawa hidup di dunia ini ibarat hanya sepagi atau sepetang sahaja. Memang sukar untuk kita mempercayainya namun jika kita renung dan berfikir sejenak sebenarnya memang ada kebenarannya.

Sebahagian usia kita dihabiskan untuk tidur iaitu kira-kira sepertiga umur (8 jam setiap hari). Setelah itu sepertiga lagi (8 jam) digunakan untuk bekerja bagi mencari nafkah di dunia.

Biasanya waktu yang dapat kita nikmati 'sebebas-bebasnya' ialah awal pagi dan lewat petang. Masa yang kita lalui juga begitu pantas berlalu. Pejam celik pejam celik kita bakal menjadi dewasa, berumahtangga, punya anak dan cucu dan akhirnya kembali ke alam yang baqa.

Zaman kanak-kanak, remaja dan zaman belajar seperti baru berlalu dan kini saat  bekerja dan sibuk dengan urusan keluarga masa terasa begitu pantas berlalu. Setahun dirasakan bagi sebulan, sebulan bagaikan sehari dan sehari bagaikan beberapa jam sahaja.

Firman Allah dalam Surah An Naazi'at yang bermaksud :

42. Orang-orang Kafir bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari berbangkit (kiamat), Bilakah bakal ia terjadi?

43. Siapakah kamu (sehingga) dapat menyebutkan (waktunya?)

44. Kepada Tuhanmulah dikembalikan kesudahannya (ketentuan waktunya)

45. Kamu hanyalah pemberi peringatan bagi siapa yang takut kepadanya (hari berbangkit)

46. “Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) di waktu petang atau pagi hari”.

Justeru kita wajar memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya dengan menambah amal ibadah sebagai bekalan di akhirat sana dan menghindarkan perkara sia-sia dan dosa yang boleh menyebabkan kita terhumban ke lembah neraka.. na'uzubillah.

Antara amalan yang mudah dan berlipatganda ialah membanyakkan membaca dan tadabbur Al Qur'an. Jika kita menghafaz Al Qur'an, ia boleh dibaca saat memandu kereta ketika pergi dan pulang bekerja. Setiap satu huruf diberi 10 pahala oleh Allah Taala.

Selain itu amalan bersedekah/infaq dan berwakaf  juga dapat membantu kita di dunia dan akhirat dengan balasan keberkatan hidup dan pahala yang berpanjangan. Amiin.

(Arkib 2008)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan