Izinkanku Menziarahi RumahMu



IzinMu ku pinta Ya Allah agar hambaMu ini dapat menziarahi rumahMu Baitullahil Haram tidak lama lagi.

Izinkan juga hambaMu ini menziarahi makam RasulMu serta para sahabatnya yang telah berjuang dan berjasa demi menegakkan kalimahMu sehingga akhirnya hambaMu ini dapat merasa kemanisan iman dan islam dalam sanubari dan kehidupan yang sementara ini.

InsyaALLAH hajat emak bakal tertunai tidak lama lagi..menunaikan umrah dan ziarah ke tanah suci mekah dan madinah pada 26 Mac 2008 hingga 6 April 2008. Kebetulan tarikhnya hampir dengan tarikh ulang tahun maulidurrasul 12 Rabiul Awwal (20 Mac 2008).

Lebih kurang lima tahun lalu emak ada menyatakan keinginan@hajat padaku untuk berkunjung ke tanah suci buat kali kedua bersamaku namun ketika itu aku masih belum mampu. Wang simpananku belum cukup untuk menampung perbelanjaan ke sana.

Alhamdulillah kini dengan rezeki yang Allah kurniakan aku dan adikku Kamaruddin telah mampu menunaikan hajat emak dan kami bakal berkunjung ke Makkah al Mukarramah dan Madinatul Munawwarah minggu hadapan melalui pakej umrah dan ziarah yang ditawarkan oleh Andalusia Travel & Tours (ATT).

Semalam 16 Mac 2008 (Ahad) aku berkesempatan mengikuti kursus pendek ibadah umrah yang diadakan di Pejabat ATT di Taman Maluri Kuala Lumpur. Melalui kursus itu aku mendapat tambahan ilmu dan gambaran tentang ibadah umrah dan ziarah yang bakal ku lalui bersama emak dan adikku nanti. Sebelum ini aku telah mula mentelaah buku Panduan Haji & Umrah susunan Ustaz Daud Che’ Ngah milik isteriku yang mengikuti kursus Haji tahun lalu.

Melalui program umrah dan ziarah ini ku harap dapat membantu dan memudahkanku untuk menunaikan ibadah Haji bersama isteri insyaAllah dalam setahun dua lagi. selain itu masa-masa yang bakal kulalui bersama ibu nanti (12 Hari 10 malam) dapat kumanfaatkan sepenuhnya kerana telah lama aku tidak dapat bersama ibu kerana sibuk dengan tugas harian dan juga menguruskan keluarga.

Sedikit ilmu tentang umrah inginku kongsi bersama :

Pengertian Umrah :

Pada syara’ menziarahi Batullahil Haram kerana mengerjakan tawaf dan saie menurut syarat-syaratnya serta menunaikan wajib-wajibnya.

Rukun Umrah :

1. Niat
2. Tawaf
3. Saie
4. Bercukur/Bergunting
5. Tertib melaksanakan rukun

Perkara-perkara Wajib Umrah :

1. Memakai pakaian ihram
2. Niat Ihram di Miqat
3. Meninggalkan perkara-perkara larangan dalam ihram

Perkara-perkara sunat Umrah :

1. Mandi sunat ihram
2. Sembahyang sunat ihram
3. Talbiah

Moga Allah mengurniakan kesihatan, kemudahan serta keselamatan dalam perjalanan (pergi dan balik) umrah dan ziarah kami nanti insyaALLAH.

Ku berdoa juga moga Allah memelihara anak isteriku serta keluarga adikku Kamaruddin agar sentiasa dalam keadaan sejahtera sepanjang peninggalan kami nanti insyaALLAH.

(Arkib Tahun 2008)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan