Kecuaian Punca Utama Kemalangan Di Jalanraya.

 



Apakah perasaan anda dan apa yang akan anda lakukan jika tiba-tiba seluruh cermin hadapan kereta ditutup dengan sesuatu benda ketika sedang memandu laju di lebuhraya.

Ianya tidak mustahil berlaku ke atas diri kita dan saya telah mengalami pengalaman yang mencemaskan sedemikian semalam.

Ketika dalam perjalanan dari Bangi ke Kuala Lumpur seorang diri tiba-tiba penutup bonet kereta Proton Waja yang saya pandu telah terbuka dan terlipat ke belakang..menutup sepenuhnya cermin hadapan kereta.. saya tidak dapat melihat apa-apa kecuali sedikit bahagian bawah sahaja.

Mujur tiada banyak kereta ketika itu dan saya sempat memaut stering lalu berjaya memandu ke tepi lorong kecemasan dan memberhentikan kereta dengan selamat.

Dalam keadaaan cemas dan termangu-mangu saya berjaya keluar dari kereta dan menutup kembali penutup bonet yang terbuka yang telah menghempap cermin hadapan menyebabkan cermin tersebut retak di beberapa bahagian.

Mujur juga saya ada menyimpan Nombor Bebas Tol PLUS dalam telefon bimbit dan menelefon pihak PLUS dan setelah 15 minit menunggu akhirnya bantuan dari Peronda Lebuhraya tiba.

Pada mulanya saya agak terkilan dengan kereta buatan Malaysia (Proton) tetapi setelah menyiasat puncanya rupa-rupanya adalah kerana salah seorang anak saya yang berumur 8 tahun ada bermain di dalam kereta pada hari sebelum kejadian dan telah tertarik butang pembuka bonet tanpa saya dan isteri sedari.

Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana masih memanjangkan umur saya..saya tidak dapat membayangkan apa akan berlaku jika ketika kejadian ada kereta berhampiran kereta saya..atau ketika waktu malam..atau ketika melalui jalan yang berselekoh..mungkin saya akan terlanggar kereta lain atau terbabas..atau..kemalangan ngeri akan berlaku..

Pengajarannya ialah jangan biarkan anak-anak bermain dalam kereta, kunci kereta anda ketika berada di rumah dan periksa penutup bonet,tayar dan lampu isyarat sebelum memulakan perjalanan. Selain itu pihak Proton juga mungkin boleh menambah lampu@ amaran keselamatan jika bonet hadapan tidak tertutup rapat.

Selain itu jangan lupa menyimpan No. telefon bebas tol PLUS 1800880000 untuk meminta bantuan kecemasan atau hubungi 103 (Operator) TM untuk mendapatkan no.tel Polis trafik terdekat bagi membuat laporan.

Dalam pada itu jangan lupa memulakan pemanduan dengan membaca doa menaiki kenderaan dan doa keselamatan serta dijauhkan bala bencana sepanjang permusafiran menuju ke destinasi dan perjalanan kembali ke rumah. Semoga Allah melindungi kita dari terlibat dengan nahas kemalangan jalanraya Aamiin Ya Rabbal 'Alamin.

(Arkib 2008)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan