Kehidupan dan Kematian - Moga Panjang Umur Dalam Kebaikan



Semalam 14 Januari 2009 umurku bertambah setahun lagi. Dari 38 tahun kini sudah meningkat kepada 39 tahun Masihi. Diam tak diam sudah hampir umurku kepada 40 tahun (jika mengikut kiraan tahun Hijriah dah masuk 40 tahun). Umur yang sering dikaitkan dengan perubahan besar dalam hidup atau istilah bahasa Inggeris ‘Life begin at fourty’.

Setinggi kesyukuran ku lafazkan kehadrat Allah Taala atas kurniaan nikmat umur yang menjadi modal utama dalam hidup di dunia yang sementara ini.

Semoga Allah terus memanjangkan usiaku hingga suatu masa di mana anak-anakku dapat berdikari dalam hidup mereka. Beberapa orang sahabat seusiaku telah pergi dahulu meninggalkan dunia yang fana. Ada yang meninggalkan anak yang masih kecil yang masih memerlukan belaian mesra ibu dan bapa. Terbaru ialah sahabat seperjuangan semasa di UKM, Halim Hafez Toha telah kembali ke rahmatullah pada akhir Disember 2008 setelah mengalami kanser usus beberapa tahun. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas ruh almarhum Abang Halim Hafez.

Firman Allah :

Katakanlah : ” Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. Ayat 8 Surah Al Jumuah

Ku memohon kepada Allah agar diberi petunjuk dan hidayahNya dalam menempuh hidup yang penuh mencabar terutama di alam kerjaya yang semakin suram. Di kala sahabat-sahabat seusiaku telah berjaya dengan pangkat dan kemewahan aku masih di takuk lama sebagai eksekutif biasa dan hidup secara sederhana ibarat ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’. Semoga Allah memberi kekuatan kepadaku untuk terus berusaha dan tidak mudah putus asa untuk terus mengejar dunia dalam redhaNya.

Moga Allah Yang Maha Berkuasa turut memberi petunjuk, kekuatan dan pertolonganNya untuk aku terus istiqamah di jalanNya dalam mempersiapkan bekalan menuju hari akhirat yang kekal selama-lamanya.

(Tulisan ini adalah arkib 2009)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan