Kelebihan Amalan Wakaf, Wakaf Tunai Dan Saham Wakaf



1.0 Pendahuluan

Islam merupakan agama atau ad deen yang lengkap dan praktikal merangkumi seluruh sistem hidup samada dari sudut undang-undang, politik, sosial, sistem ekonomi mahupun sistem muamalah. Antara instrumen penting dalam sistem muamalah dalam Islam adalah wakaf.

Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Para Fuqaha berpendapat amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf buat selama-lamanya dan sangat dituntut dalam Islam.

Ia merupakan amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah SWT kepada pewakaf selagi mana harta atau 'ain yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai. Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala, dengan demikian kedudukan harta wakaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah (diberi), diwarisi dan dipusakai.

Allah SWT telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepadanya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang menginfakkan harta mereka ke Jalan Allah Taala sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 261 :

“ Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui”.



Wakaf memainkan peranan penting dalam membangunkan insan di bawah kategori infaq dan sedekah jariah. Seseorang yang mewakafkan harta yang disayanginya akan mendidik jiwanya menjadi seorang yang berjaya mengikis sifat bakhil dan kedekut. Seterusnya menghayati sikap timbang rasa, memperteguhkan persaudaraan dan menanam kefahaman menjadikan harta sebagai jambatan yang akan menyampaikannya kepada keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 92 yang bermaksud :

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian(yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”.

Ayat ini menerangkan bahawa seseorang itu akan mendapat keredhaan dan anugerah Allah sekiranya mereka mampu menyumbangkan harta yang amat disayanginya, kerana sumbangan itu akan mendapat ganjaran Allah SWT berdasarkan niat dan tujuan yang tersemat di hatinya.

2.0 Konsep Wakaf Tunai

Salah satu jenis wakaf yang amat diperlukan pada masa ini adalah wakaf tunai iaitu berwakaf dengan wang tunai. Ia adalah sesuatu yang kurang dimaklumi secara meluas berbanding wakaf melalui penyerahan tanah dan bangunan.

Wakaf tunai ialah berwakaf dengan menggunakan wang tunai yang dikumpul di dalam satu tabung amanah dan di bawah pengurusan nazir yang diamanahkan untuk mengurus wakaf ini bagi tujuan kebaikan dan manfaat ummah.

Para ulama di zaman silam telah menggunakan istilah wakaf ad-darahim atau wakaf ad-danair iaitu wakaf menggunakan wang dirham atau dinar dalam kehidupan mereka. Secara amnya wakaf tunai ini dilaksanakan adalah bertujuan untuk mengumpulkan dana dari kalangan umat Islam yang kemudiannya dapat dimanfaatkan bagi kepentingan pembangunan ummah.



3.0 Fatwa Pensyariatan Wakaf Tunai

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Kuala Terengganu telah memutuskan bahawa berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan dalam Islam.

Menurut keputusan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bahawa wakaf tunai adalah diharuskan. Imam Az Zuhri, seorang ulama terkenal dalam ilmu hadith telah memfatwakan bahawa berwakaf dalam bentuk dinar dan dirham adalah diharuskan bagi tujuan berdakwah, kebajikan ummah dan pendidikan umat Islam.

Matlamat utama berwakaf dengan wang tunai adalah untuk memberi kemudahan kepada pewakaf untuk menginfaqkan harta mengikut kemampuan. Ia dapat mendidik sikap kerjasama berkonsepkan gotong royong dan saling membantu.

Hasil pengumpulan wakaf tunai, lebih mudah disalurkan bagi kepentingan agama Islam, kebajikan dan pembangunan sosio ekonomi ummah. Wang tunai juga diperlukan bagi membangunkan tanah-tanah yang telah diwakafkan, supaya pewakaf lebih cepat mendapat ganjaran pahala dan penerima wakaf mendapat manfaatnya.

Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang menginfakkan harta, sebagaimana Nabi SAW menyatakan bahawa ganjaran pahala bagi orang-orang yang berwakaf tidak akan terputus walaupun setelah meninggal dunia.

Hadis daripada Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“ Apabila mati anak Adam (manusia), maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya”.

Sehubungan dengan itu, Jabir RA seorang sahabat Rasulullah SAW menyatakan bahawa amalan berwakaf telah menjadi budaya para sahabat Rasululah SAW.

Justeru itu, kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang telah dianugerahkan rezeki daripada Allah SWT, dapat kiranya mengikuti jejak langkah para sahabat baginda untuk mewakafkan sebahagian pendapatan kita sebagai tanda syukur atas nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita.

Majlis Agama Islam Selangor melalui Perbadanan Wakaf Selangor telah menyediakan beberapa kemudahan untuk membantu masyarakat Islam berwakaf dengan wang tunai, antaranya berwakaf melalui perkhidmatan bank-bank tempatan, menyumbang terus ke dalam tabung wakaf yang ditempatkan di masjid-masjid dan membuat potongan gaji.

Dana wakaf yang terkumpul dari wakaf tunai ini akan disalurkan kepada pembinaan masjid, surau, sekolah, kemudahan perubatan, pembangunan hartanah, pembinaan institusi pendidikan dan berbagai jenis manfaat lagi. Hasil sumbangan wakaf yang diterima sebelum ini telah dimanfaatkan, antaranya membina 57 buah masjid, 56 buah surau serta 32 buah sekolah dan lain lain lagi.

Wakaf berbentuk wang tunai telah lama dilaksanakan di beberapa buah Negara Islam di dunia. Sebagai contoh pada tahun 1533, kaedah wakaf tunai sangat popular dan diterima pakai oleh masyarakat Islam di Istanbul, Turki. Ia bukan sahaja untuk keagamaan, tetapi turut membiayai infrastruktur perbandaran kerajaan Uthmaniyyah seperti pembinaan jalanraya, jambatan, pusat perdagangan dan lain-lain lagi

Di Amerika Syarikat, yayasan yang mentadbir harta umat Islam telah melaksanakan wakaf tunai semenjak 1971. Hasilnya dapat membeli bangunan untuk dijadikan masjid, sekolah,kolej dan sebagainya.

Di Singapura, wakaf tunai telah diperkenalkan semenjak tahun 1972. Lebih 200 ribu pekerja muslim telah membuat potongan gaji mereka melalui majikan untuk disalurkan kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), maka terkumpullah lebih kurang 7 juta dolar setahun untuk pembinaan masjid dan aktiviti keagamaan.

Sejarah merakamkan ketika tertubuhnya Kolej Islam Malaya di Klang, selain bangunan Istana yang diwakafkan oleh Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah, sumbangan wang tunai juga diterima daripada beberapa dermawan termasuk daripada kerajaan Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Mesir, Brunei serta orang perseorangan hingga pusat pendidikan Islam terulung ini dapat menjalankan operasinya dengan jaya. Demikianlah peranan wakaf termasuk wang tunai, memainkan peranan penting kearah pembangunan insan.

Pembangunan Universiti Al Azhar pada awalnya telah dibiayai melalui dana wakaf dan sehingga kini masih lagi diasaskan dan ditadbir melalui sumber wakaf. Pelbagai pihak telah menyumbang dan berwakaf bagi memastikan kelestarian sistem pendidikan di universiti terkemuka ini sentiasa terpelihara daripada anasir anasir luar yang ingin melihat intitusi pendidikan Islam musnah.

Universiti Al Azhar di Mesir yang dibina pada tahun 975M merupakan sebuah universiti yang tertua di dunia yang juga dibiayai sepenuhnya daripada sumber wakaf yang menyedia dan memberikanpendidikan secara percuma daripada pendidikan rendah sehingga pendidikan university. Pada tahun 1986, sejumlah 147,324,300 pound telah diperuntukkan oleh university Al Azhar untuk membiayai aktiviti-aktiviti pembangunan dan pendidikan termasuk perbelanjaan mengurus 55 buah fakulti yang sedia ada dengan 6,154 orang kakitangan dan tenaga pengajar.

Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perdana Menteri turut menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pada 27 Mac 2004 oleh Mantan YAB Tun Abdullah Bin Ahmad Badawi semasa mengumumkan kabinet Kerajaan Malaysia.

Penubuhan jabatan ini merupakan titik permulaan dalam usaha Kerajaan Persekutuan membantu memajukan harta umat Islam sebagai sumber kekayaan dan kekuatan ummah pada masa hadapan. Visi JAWHAR adalah untuk menjadi sebuah jabatan kerajaan terunggul dalam memacu kemajuan ummah menerusi pengukuhan institusi Wakaf, Zakat, Mal dan Haji/Umrah bertaraf dunia.

Misi JAWHAR pula adalah untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi ummah menerusi pengukuhan institusi Wakaf, Zakat, Mal dan Haji/Umrah melalui tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan terbaik.

Objektif JAWHAR pula antaranya adalah :

 Memperkasa dan memajukan pembangunan sosio ekonomi ummah dalam bidang wakaf, zakat, mal dan haji/umrah melalui kerjasama erat dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri-negeri dan agensi-agensi berkaitan

 Mempertingkat tadbir urus terbaik institusi wakaf, zakat, mal dan Haji/Umrah.

 Meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat Islam mengenai konsep Wakaf, Zakat, Mal dan Haji/Umrah.

 Menyubur dan membudayakan turath (legasi) dalam amalan berwakaf di kalangan masyarakat Malaysia.

Pusat Wakaf dan Zakat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) juga telah melancarkan wakaf tunai dan melancarkan Program Wakaf RM2. Program Wakaf RM2 Kakitangan adalah satu program yang menggalakkan kakitangan USIM berwakaf melalui potongan gaji sekurang-kurangnya RM2.00.

Ia bertujuan mengimarah amalan berwakaf di university sehingga ia menjadi budaya positif di kalangan kakitangan. Program tersebut juga bertujuan memupuk kesedaran di kalangan kakitangan USIM di mana wakaf adalah satu pelaburan akhirat yang tidak rugi dan juga kearah merintis USIM sebagai kampus barakah yang turut tidak ketinggalan dalam memperkasakan sistem ekonomi Islam iaitu wakaf.

Selain itu pihak Pemegang Amanah Kompleks Masjid Taman Sutera Kajang (KOMTAS) sedang mempromosikan wakaf 3000 melalui radio ikimfm dan portal mereka. Wakaf 3000 berkonsepkan wakaf tunai sebanyak RM150.00 secara tetap selama 10 bulan bagi 3000 pewakaf untuk mencukupkan sejumlah baki RM4.5 juta yang diperlukan untuk menyiapkan masjid yang dijangka boleh mula digunakan pada Oktober 2019.

4.0 Saham Wakaf Johor

Saham wakaf Johor (SWJ) diwujudkan adalah bertujuan untuk menggalakkan umat Islam di negeri Johor khususnya untuk mengamalkan ibadah berwakaf. Ia juga merupakan satu skim yang ditawarkan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dengan nilai RM 10.00 seunit untuk dimiliki oleh umat Islam dan mewakafkan saham tersebut kepada MAIJ dengan tujuan manfaatnya diberikan kepada umat Islam.

Dengan wujudnya skim ini ianya boleh menafikan tanggapan sesetengah masyarakat Islam bahawa berwakaf itu hanya boleh dilakukan oleh individu tertentu yang mempunyai harta dan kemampuan kewangan sahaja.

5.0 Konsep Saham Wakaf Johor

Saham Wakaf Johor (SWJ) adalah satu skim bagi menggalakkan umat Islam menyumbang dan membuat pelaburan sebagai sedekah jariah (wakaf) tanpa had maksimum untuk tujuan demi kepentingan, kebajikan dan kemaslahatan umat Islam secara menyeluruh. Sesiapa yang beragama Islam boleh menyertai skim ini.

SWJ ini memudahkan umat Islam untuk mewakafkan harta mereka dalam bentuk wamg tunai kerana tidak semua umat Islam di negeri Johor khasnya dan Malaysia amnya, mempunyai aset atau harta kekal seperti tanah, bangunan dan sebagainya.

Antara matlamat saham wakaf Johor ditubuhkan :

 Melaksanakan ibadah wakaf secara berkelompok.

 Melambangkan penyatuan dan kerjasama umat Islam berteraskan Ukhuwwah Islamiah.

 Melaksanakan strategi pembangunan harta-harta wakaf dan ekonomi umat Islam dengan skop yang lebih luas, dinamik dan bersepadu.

 Meluaskan saluran kebajikan dengan sistematik dan berkesan.

 Memberikan alternatif kepada semua golongan umat Islam untuk turut menyumbang kearah pembangunan sosio ekonomi masyarakat Islam

 Melahir dan menzahirkan pembangunan institusi wakaf dengan lebih produktif dan berwibawa.

Allah SWT amat menggalakkan hambaNya (umat Islam) memperbanyakkan dan berlumba-lumba dalam menngerjakan ibadah sesuai dengan firmanNya dalam surah AL Baqarah ayat 148 yang bermaksud :

“Maka berlumba-lumbalah kamu dalam mengerjakan kebajikan”

6.0 Kesimpulan

Amalan berwakaf melalui wakaf tunai merupakan satu cara berwakaf yang mudah dan boleh diamalkan oleh semua umat Islam dalam merebut pahala sedekah jariah yang dapat dijadikan bekalan di alam abadi alam yang bakal ditempuhi oleh kita semua.

Amalan wakaf tunai dan saham wakaf wajar dikembangkan di seluruh negara melalui Majlis Agama Islam Negeri dan Institusi Pengajian samada peringkat rendah sehingga universiti.

Amalan wakaf tunai dapat memperkasakan lagi pengurusan harta wakaf di Malaysia seterusnya dapat membantu mempertingkatkan sosio ekonomi umat Islam dan mengurangkan masalah kemiskinan dan kefakiran di kalangan umat Islam.



7.0 Rujukan:

1. Portal Majlis Agama Islam Selangor
2. Teks Khutbah Jumaat – Portal Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor
3. Nota Kuliah Diploma Siswazah Pengajian Islam – Pengantar Muamalah Islam.

(Tulisan ini adalah salah satu tugasan saya semasa mengikuti pengajian Diploma Siswazah pengajian Islam di USIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan