Kematian Di Bumi Haramain - Rezeki Kak Ngah Sariah



Kak Ngah Sariah Meninggal Subuh tadi di Makkah. Begitulah kandungan SMS bertarikh 25 Disember 2008 dari adik saya Ali. Beliau menerima SMS dari Abang Ya adik kepada allahyarhamah yang merupakan mahram semasa melakukan ibadah haji.

Perasaan bercampur baur antara hiba dan ‘gembira’. Hiba atas pemergian seorang kakak sepupu yang baik hati dan gembira kerana pemergiannya setelah selesai menunaikan Haji dan bakal dikebumikan di tanah suci.

Takziah diucapkan buat semua ahli keluarga terdekat Kak Ngah Sariah iaitu suami allahyarham Abang Yob Sin, Mek Semah (Anak Sulong) serta semua anak-anak dan cucu-cucu.

Kak Ngah Sariah merupakan anak sulong Mak Ngah Kiah (kakak Allahyarham Abah). Saya masih ingat ketika kecil, sekali sekala saya ada mengunjungi rumah almarhum yang terletak di Hulu ijok untuk berkelah kerana terdapat air terjun di sana.

Kali terakhir saya menziarahi rumah almarhum dan keluarga ialah pada tahun 2007 iaitu ketika Kak Ngah Sariah sakit kuat seolah-olah tiada harapan lagi untuk sembuh. Namun Allah memanjangkan usia beliau seterusnya dapat menunaikan ibadah haji pada tahun lalu (2008) dan akhirnya meninggal dunia di bumi para anbiya.

Seingat saya juga allahyarhamah antara sepupu yang baik hati dan penyayang dan tidak pernah mengguris hati saya. Semoga ruh Kak Ngah Sariah tenang dan damai di alam sana, dilimpahkan rahmat oleh Allah yang Maha Esa.

Saya juga berdoa moga dapat menuruti jejak Kak Ngah Sariah suatu hari nanti apabila mencecah usia tua, kembali bertemu Yang Esa dalam keadaan bersih seperti bayi setelah menunaikan ibadah haji di bumi yang penuh mulia, bumi para anbia Makkah Al Mukarramah.

 

(Nota : Tulisan ini adalah arkib 2009)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan