
Asas utama dalam Agama Islam terdiri dari 3 perkara iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Allah SWT mendidik umat manusia melalui teladan yang ditunjukkan oleh Baginda SAW dengan sebaik-baik pendidikan iaitu melalui pendidikan rabbani. Pendidikan rabbani ini adalah satu perkara yang wajib diikuti kerana Allah SWT sebagai pencipta segala makhluk lebih mengetahui mengenai hakikat diri setiap makhluk berbanding para makhluk yang telah diciptakan.
Tasawuf adalah antara unsur utama dalam pendidikan rabbani yang telah dijelaskan oleh Allah SWT melalui al-Quran dan al-Sunnah.
Menurut para ulama, pendidikan rabbani adalah berasaskan kepada tiga unsur utama iaitu akidah, shariah dan akhlak atau tasawuf. Ibarat bagi ketiga-tiga unsur utama ini boleh didapati daripada petunjuk yang diberikan oleh Hadis Jibril a.s yang sangat masyhur iaitu:
Maksudnya: “Kata Abdullah Ibn Umar r.a, berkata kepadaku ayahku Umar Ibn Al-Khattab r.a: Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorang pun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan keduadua lututnya ke lutut Baginda SAW dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda SAW seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya, dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda SAW bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para Malaikat Nya, kitab-kitab Nya, para Rasul Nya, hari Kiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan. Baginda SAW bersabda: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu”. (Riwayat Muslim: 1426H).
Para ulama dalam menjelaskan hadis ini, dengan mengaitkannya kepada pendidikan rabbani, telah menggambarkan al-Islam sebagai gambaran syariah, kerana terangkum dalam huraian syahadah, solat, zakat, berpuasa dan mengerjakan haji. Al-Iman pula digambarkan sebagai gambaran akidah iaitu berkisarkan perkara keimanan kepada Allah SWT, para Malaikat Nya a.s, kitab-kitab dan suhuf-suhuf samawi, para Rasul Nya a.s, Hari Akhirat dan Qada’ dan Qadar. Seterusnya, al-Ihsan pula adalah gambaran akhlak atau tasawuf. Hal ini kerana huraian ihsan seperti yang telah dijelaskan dalam hadis tadi melalui lisan Baginda SAW memaparkan suatu perkara berkenaan maqam dan hal, atau berkenaan penghayatan hati dalam menjadi hamba kepada Allah SWT. (Al-Ghumari: 1355H).
Dalam huraian Imam Al-Nawawi r.a berkenaan ihsan ini yang bermaksud: Sesungguhnya sekiranya kita menilai salah seorang daripada kita mengerjakan ibadat dalam keadaan ayyan (merasakan kehadiran Allah SWT) kepada Tuhannya SWT, dia tidak akan meninggalkan apa yang dia mampu dalam tunduk sehabisnya, penuh khusyuk dan sebaik-baik sifat (dalam ibadat). Dan dia tidak akan berbuat selainnya kecuali menghimpunkan zahir dan batinnya untuk mengambil berat atas menyempurnakan ibadatnya dalam sebaik-baik rupa. (Al Nawawi: 2004)
Manusia dikurniakan roh atau jiwa untuk diisikan dengan elemen penghayatan hati bagi pembentukan dirinya secara sempurna. Tasawuf dalam kedudukan ini merupakan pengisian yang diperlukan oleh hati untuk menghindarkan diri daripada akhlak-akhlak yang buruk dan menghiasi diri dengan akhlak yang mulia. Terdapat banyak lagi gambaran yang diberikan kepada tasawuf, berdasarkan kepada pengalaman dan penekanan yang diberikan oleh seseorang pengamal tasawuf.
Secara ringkas, terdapat dua jenis definisi yang dapat dikategorikan daripada pelbagai definisi yang diberikan oleh para ulama berkenaan tasawuf, semenjak daripada awal Islam sehinggalah ke hari ini. Kedua-dua jenis definisi itu ialah: definisi preskriptif dan definisi deskriptif.
Definisi preskriptif adalah definisi yang diberikan oleh para ulama berdasarkan tujuan dan maksud yang hendak disampaikan kepada orang ramai. Oleh itu, definisi preskriptif adalah sebahagian besarnya berdasarkan pandangan ulama tentang tasawuf atau berkaitan dengan tujuan seseorang ulama itu mendefinisikan tasawuf.
Berbanding dengan definisi deskriptif, definisi jenis yang kedua ini adalah berdasarkan deskripsi atau gambaran yang diberikan oleh para ulama tentang hakikat tasawuf. Dalam erti kata yang lain, definisi preskriptif datang daripada para ulama, manakala definisi deskriptif adalah daripada tasawuf itu sendiri.
Jelaslah sekarang, mengapa terdapat banyak definisi yang diberikan oleh para ulama tentang tasawuf dan hakikatnya. Malah jumlah keseluruhan definisi ini, mengikut Ensiklopedia Kasnazan, telah mencapai lebih daripada 70 buah definisi dan mungkin juga mencapai ribuan jika diambil kira jumlah semua pakar tasawuf yang pernah hidup dari era awal Islam sehinggalah ke hari ini. (Al-Kasnazan: 2005).
Matlamat tasawuf adalah berkaitan kerohanian. Dalam erti kata yang lain, tasawuf bermatlamat mencapai kesempurnaan kerohanian seperti yang digariskan oleh Islam melalui al-Quran dan al-Sunnah. Antara ibarat yang selalu digunakan oleh para tokoh sufi dalam menggambarkan matlamat tasawuf ini ialah mencapai reda Allah, mendapat cinta Allah, sentiasa dalam ikatan dengan Allah dan mencapai tahap fana’ dalam Allah.
Oleh itu, matlamat tasawuf adalah untuk mendekati Allah atau sentiasa bersama-sama Allah. Allah adalah matlamat utama dalam tasawuf. Walaupun terdapat penekanan yang diberikan kepada zikir, tazkiyyah al-nafs, zuhud, takhalli-tahalli-tajalli, dan banyak lagi dalam kaedah serta amalan tasawuf.
Namun begitu Allah adalah tetap menjadi matlamat utama. Untuk mendapatkan kefahaman yang jelas tentang hal ini, bolehlah digambarkan seperti berikut iaitu dilihat perkaitan antara ghayah (matlamat) dan wasilah (kaedah atau cara). Allah sentiasa menjadi ghayah, manakala wasilahnya ialah zikir, tazkiyyah al-nafs, zuhud, warak, khalwat dan lain-lain.
Jelasnya, matlamat tasawuf adalah untuk sampai kepada Allah dengan menggunakan pelbagai kaedah, cara dan persediaan. Kaedah, cara dan persediaan ini boleh jadi dalam bentuk intelektual, boleh jadi juga dalam bentuk latihan fizikal, malah ada kalanya dalam bentuk penghayatan mental.
Dalam al-Quran al-Karim, Allah SWT berfirman seperti berikut:
Maksudnya: “(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dialah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji”. (al-Quran alKarim, Surah Fatir 35: Ayat 15)
Melihatkan kepada matlamat tasawuf yang murni ini, majoriti ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah telah menghukumkan mempelajari ilmu tasawuf sebagai fardhu ain ke atas setiap mukallaf.
Dalam huraian Dr. Haji Jahid Haji Sidek (2007): Hukum mempelajari ilmu tasawuf ialah fardu ain, kerana seseorang itu tidak sunyi daripada sesuatu aib atau sesuatu penyakit hati kecuali para Nabi a.s sahaja. Setengah golongan ‘arifin berkata bahawa sesiapa yang tidak mempunyai bahagian daripada ilmu ini iaitu ilmu-ilmu tasawuf atau ilmu batin ini maka ditakuti ia akan mati dalam keadaan su’ al-khatimah.
Tasawuf adalah instrumen yang mengangkat matlamat Islam itu sendiri melalui penekanan kepada sentiasa bersama Allah (ma’iyyatullah). Tasawuf menyusun pelbagai kaedah-kaedah yang unik sebagai satu wahana untuk memantapkan akidah, ibadah dan akhlak.
Tasawuf akan melahirkan umat Islam yang taat kepada Allah dalam ertikata yang sebenar bukan sekadar retorik dan teori serta bersifat hipokrit. Tasawuf akan melahirkan umat Islam yang bertaqwa yang menjadi matlamat semua insan yang beriman iaitu insan yang takut kepada Allah samada dalam keadaan terang di hadapan manusia mahupun saat tersembunyi dan bersendirian.
Dengan adanya ilmu tasawuf umat Islam biasanya akan berakhlak mulia, menghindarkan sifat mazmumah yang dibenci Allah dan juga manusia. Mereka akan terhindar dari masalah cinta dunia serta tamak haloba dengan melakukan rasuah demi kepuasan hidup didunia. Umat Islam juga akan terhindar dari masalah perebutan kuasa dan berperang sesama sendiri, bunuh membunuh sesama Islam demi kuasa dan harta seperti yang berlaku di dunia Arab sekarang ini. Suasana tersebut juga memberi imej yang buruk kepada agama Islam yang sentiasa menekankan kepada akhlak dan ihsan sesama manusia.
Ilmu tasawuf juga akan melahirkan umat Islam yang tahu matlamat hidup ini iaitu berdasarkan 5 maqasid syariah iaitu memelihara agama, nyawa, harta, akal, dan keturunan sereta mencintai perkara perkara yang baik seperti sifat ikhlas dan bekerja bersungguh sungguh dengan amanah dan jujur, mencintai kebersihan, menjaga alam sekitar, berakhlak baik dengan manusia, alam dan juga haiwan.
Seorang tokoh Islam iaitu Muhammad Abduh pernah mengatakan bahawa beliau melihat amalan Islam diamalkan di beberapa buah negara maju seperti Jepun, Korea, Negara Eropah dan lain lain seperti menjaga kebersihan dan beretika serta mengutamakan budaya ilmu manakala umat Islam pula tidak mengamalkan amalan Islam dari aspek etika, akhlak mencintai ilmu dan kebersihan menyebabkan umat Islam terus mundur.
Pada zaman kegemilangan Islam iaitu sejak zaman Rasulullah hingga zaman para tabi tabiin, Rasulullah para Sahabat dan Tabiin (salafi) dan pemimpin terdahulu mengamalkan ilmu tasawuf lalu menjadi contoh dan ikutan antaranya Saidina Umar, Kahlifah Umar Abd Aziz, Salahuddin Al Ayyubi, Muhammad Al Fateh dan lain lain.
Manakala tokoh pemimpin di Malaysia pada abad ke 21 yang dihormati dan disayangi iaitu al marhum Tuan Guru Abdul Nik Aziz Nik Mat begitu menekankan aspek tasawuf dalam kehidupan almarhum. Beliau sentiasa mengamalkan rukun tasawuf iaitu berdiam (dari ucapan yang tidak baik) , berjaga malam, ber’uzlah dan berpuasa serta hidup dalam sederhana biarpun bergelar Menteri Besar dan saat kematian beliau ramai yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada almarhum.
Justeru umat Islam perlu menekankan kepada ilmu dan pengamalan akhlak dan tasawuf dalam kehidupan selain Iman (Usuluddin) dan Islam (Feqah) jika ingin menjadi insan dan hamba Allah yang bertaqwa dan diredhai Allah serta berjaya di dunia dan akhirat.
(Tulisan ini adalah salah satu tugasan saya semasa mengikuti pengajian Diploma Siswazah Pengajian Islam di USIM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan