Kesihatan Adalah Kekayaan



Berapakah harga sepasang mata yang dapat melihat keindahan alam ciptaan tuhan?

Berapakah harga sepasang telinga yang dapat mendengar kicauan beburung di taman, menikmati deruan ombak di pantai dan aliran air terjun yang mengasyikkan?

Berapakah harga sepasang kaki dan tangan yang dapat digunakan untuk menjelajah dan menyentuh berbagai ciptaan tuhan?

Berapakah harga berbagai organ dalaman jantung, hati, paru-paru. buah pinggang yang sihat tanpa sebarang penyakit yang menggusarkan?

Jawapannya sudah tentu nilainya tidak terhingga..Justeru jika anda sihat anda mempunyai kekayaan yang tidak ternilai..

Slogan Kesihatan adalah kekayaan..atau lebih popular dalam bahasa Inggeris ‘Health is Wealth’ memang ada benarnya. Justeru setiap kita akan memulakan perbualan dengan bertanya apa khabar setelah mengucapkan salam.

Islam sendiri menekankan tentang kesihatan dengan mendoakan kesejahteraan melalui salam yang diucapkan berbeza dengan budaya masyarakat barat yang mengucapkan selamat pagi..selamat malam..dan seumpamanya.

Selain itu terdapat hadis daripada Rasulullah yang bersabda maksudnya : "Mukmin yang kuat lebih Allah cintai berbanding mukmin yang lemah". (Hadis riwayat Muslim)

Pepatah melayu juga tidak ketinggalan dalam mengungkapkan kepentingan kesihatan antaranya  'Badan sihat Otak Cerdas' .

Justeru saya sekeluarga telah memulakan tahun 2008 dengan aktiviti berjoging/berjalan laju setiap pagi hujung minggu di Taman Tasik Cempaka yang terletak tidak jauh dari rumah.

Suatu pagi sesudah kami beriadhah saya sempat berbual-bual dengan Ustaz Dr Hashim Mihat seorang pensyarah di Fakulti Pengajian Islam UKM tentang kepentingan menjaga kesihatan dan kecergasan fizikal. Beliau sendiri walaupun sudah berusia dalam lingkungan 50 an masih beriadhah setiap hujung minggu di tempat yang sama dan memuji saya yang masih muda yang ‘kononnya’ begitu prihatin dengan kesihatan diri melalui aktiviti riadhah bersama keluarga.

Saya sempat bertanya soalan yang sering bermain di fikiran saya tentang aktiviti senamrobik yang sering diadakan di setiap pagi hari Ahad di Dataran Taman Tasik cempaka. Beliau sempat bertanya saya kembali..sambil memerhati dari jauh..adakah penunjuk ajar (instructor) menutup aurat..beliau sendiri mengiyakan dan memberi komen positif bahawa terdapat peningkatan penghayatan agama dalam aktiviti tersebut.

Saya terus bertanya tentang keharusan irama muzik yang dialunkan bagi membantu merancakkan dan menguja orang ramai untuk turut serta dalam aktiviti senamrobik..beliau memberi komen yang positif bahawa ia diharuskan.

Walaupun saya kurang bersetuju tetapi saya akur dengan ‘fatwa’ ustaz Hashim tentang aktiviti senamrobik yang diharuskan demi meningkatkan kesihatan orang ramai.

Semoga kami sekeluarga akan terus istiqamah dengan aktiviti riadhah atas kesedaran bahawa ‘health is wealth’ dalam menempuh kehidupan di negara yang mewah dengan berbagai jenis makanan yang menjadi antara punca berbagai penyakit ‘orang kaya ‘ seperti serangan jantung, diabetes, obesiti dan lain-lain lagi.

(Arkib tahun 2008)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan