
Naik sampan mudik ke hulu,
Hajat menuai padi di huma,
Aidilfitri baru berlalu,
Aidil Adha bakal menjelma.
Aidilfitri baru berlalu,
Aidil Adha bakal menjelma,
Hidup di dunia musafir lalu,
Akhirat jua kekal selama
Hidup di dunia musafir lalu,
Akhirat jua kekal selama,
Jika bertindak usah melulu,
Badan binasa jiwa merana.
Alhamdulilah selesai sudah,
Majlis qurban penuh meriah,
Bersatu hati kerja pun mudah,
Kepada semua di ucap tahniah.
--------------------------------
Hari Jumaat hari yang berkat
Moga semua sihat walafiat
Kepada Allah sentiasa taat
Bahagia hidup dunia akhirat
Dari Melaka ke Indragiri
Singgah di Jambi membeli suasa
Tidaklah hamba berasa iri
Segalanya takdir Yang Maha Kuasa
Burung bangau burung kedidi
Hinggap seekor di pohon senduduk
Ikutlah selalu resmi padi
Semakin berisi semakin tunduk
Delima ditanam sudah berbuah
Terasa gembira di dalam hati
Orang bertaqwa sungguh bertuah
Bahagia di dunia syurga menanti
Indah permai padi menguning
Kampung halaman rindu terasa
Waktu dinihari suasana hening
Banyakkan bersujud kepada yang Esa
Cantik berseri anggerik Pak Abu
Jadi hiasan si anak dara
Berbaktilah kepada ayah dan ibu
Jasa budi keduanya tidak terkira
Abu Aslam
Oktober 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan