Ku Simpan Hatimu Dalam Hatiku



Kini hatimu tersimpan dalam hatiku. Selama ini aku memang ingin mencuri hatimu tapi tidak mampu. Mungkin kerana tiada kesungguhan untukku menyimpan hatimu dalam hatiku. Saban minggu ku lafazkan bait-bait ayat dalam hatimu namun hanya di bibir sahaja.

Kini aku bersyukur kepada Allah kerana telah mengizinkan hatimu berada dalam hatiku setiap waktu. Jika aku rindu aku hanya perlu melafazkannya agar hatimu tidak pergi jauh dan lari dari hatiku.

Hatimu yang ku maksudkan ialah hati Al Quran iaitu surah Yaa Sin. Alhamdulillah dengan tekad dan niat yang bulat akhirnya aku mampu menghafaz surah Yaasin. Sebenarnya tidak sukar untuk kita menghafaznya kerana surah Yaasin sering kita baca pada setiap malam Jumaat atau jika ada kenduri doa selamat atau jika ada insan yang sedang nazak yang perlu dibacakan surah Yaa Sin.

Menurut petua Ustaz Muhammad Farhan Abdullah Al Hafiz (bekas mubaligh Kristian) jika kita mengulangi ayat-ayat AlQuran sekurang-kurangnya sepuluh kali insyaAllah ia akan lekat dan ingat di dalam hati dengan syarat ada niat untuk menghafaznya. Justeru untuk surah Yaa Sin rasanya sudah lebih sepuluh kali kita membacanya cuma tiada niat untuk menghafaznya.

Ayuh kita simpan hati Al Qur'an dalam hati kita, mudah-mudahan Al Qur'an akan sentiasa menyuluh hati kita dalam menempuh kehidupan di dunia yang fana dan penuh pancaroba.

Sabda Rasulululah s.a.w yang bermaksud :

Daripada Ma’qal bin Yassar r.a berkata bahawa Nabi s.a.w bersabda:

Hati Al Quran ialah surah Yaa Siin, tidaklah dibaca akan dia oleh seseorang yang semata-mata mengharapkan keredhaan Allah dan hari akhirat melainkan diampunkan oleh Allah segala dosanya; dan bacalah Surah Yaa Siin kepada orang yang hampir akan meninggal dunia dan setelah seseorang itu meninggal dunia.  (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud Dan Nasa’i)



(Arkib 2008)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan