Pernikahan Rasululullah Dengan Sayyidatina ‘Aisyah - Antara Hikmah & Persoalan



Viral baru baru ini di media sosial seorang pengguna FB berbangsa Cina dan dipercayai Beragama Kristian menulis satu hinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w, dihina sebagai orang tua gatal atau gila seks yang berkahwin dengan budak (pedofil). Sudah semestinya perkara ini membangkitkan kemarahan orang Islam.

Islam agama universal dan sentiasa mengajak umatnya berlemah lembut dan bermahabbah, tiada permusuhan dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh terbaik. Malah baginda Rasulullah s.a.w diletakkan sebagai 100 orang paling berpengaruh di dunia dan menduduki carta pertama sebagai manusia paling hebat dan memiliki akhlak yang cukup terpuji dan tiada cacat celanya. Namun baru baru ini akhlak dan keperibadian Rasulullah bagaikan dicalar oleh bukan muslim. Atas nama FB seorang individu beragama Kristian telah menyentuh tentang soal perkahwinan Baginda dengan isteri dikasihi baginda, ‘Aisyah r.a.

Kenapa 'Aishah menikahi Nabi Muhammad pada usia muda?
Orang terfikir dan mempersoalkan, adakah Nabi Muhammad s.a.w menikahi sorang kanak kanak? Adakah ini amalan biasa 1400 tahun dahulu? Apakah hikmah di sebalik semua ini?

Berdasarkan kitab-kitab sirah dan kitab kitab hadis, termasuk Sahih Bukhari dan Muslim yang telah disepakati ulamak sejak dahulu jelas mengatakan bahawa umur ‘Aisyah R.A ketika dikahwini oleh Rasulullah s.a.w ialah pada usia 6 tahun dan telah bersama sebagai suami isteri ketika usia beliau 9 tahun.

Syeikh Sofiyyur-Rahman al Mubarakfuri, di dalam kitabnya ar Rahiq al Makhtum yang memenangi tempat pertama peraduan menulis sirah secara ilmiah dan kajian yang kritis, yang dianjurkan oleh Rabitah al Alam al Islami (diisytiharkan pada bulan Syaaban 1398 hijriah) menyatakan bahawa Nabi saw mengahwini ‘Aisyah r.a yang berusia enam tahun pada bulan Syawal tahun ke 11 bi’thah (diutus menjadi Nabi), dan membina kehidupan sebagai suami isteri di Madinah pada bulan Syawal tahun pertama selepas hijrah. Ketika itu ‘Aisyah r.a berusia sembilan tahun.

Kitab kitab hadis melaporkan ‘Aisyah r.a sendiri mengisahkan perkahwinannya dengan Nabi s.a.w dengan katanya :

“ Ibuku Ummu Ramman datang kepadaku, ketika itu aku sedang bermain buai dengan kawan-kawanku. Dia memanggilku. Akupun datang kepadanya sedangkan aku tidak mengetahui apa yang hendak dilakukannya terhadapku. Dia memimpinku hingga ke pintu rumah. Aku menarik nafas dalam dalam sehingga jiwaku berasa tenang. Kemudian dia mengambil sedikit air, disapukannya pada muka dan kepalaku. Kemudian dia membawaku masuk ke dalam rumah. Terdapat beberapa orang wanita Ansar di dalam rumah. Mereka berkata “Alal khairi wal barakah waala khair toiri”. Ibuku menyerahkanku kepada wanita wanita itu. Maka mereka mengelokkan keadaanku. Maka tidak ada yang memeranjatkanku kecuali Kehadiran Rasulullah s.a.w di waktu dhuha. Lalu mereka menyerahkanku kepada baginda. Dan aku pada waktu itu berusia 9 tahun.”  (Hadis Riwayat al Bukhari dan Muslim).

Pada zaman itu, perkahwinan wanita pada usia muda dengan lelaki yang tua bukan sesuatu yang mengaibkan. Ia diterima sesuatu yang biasa dan tidak menjadi satu isu yang dipersoalkan. Sebagai contoh, Hafsah bt Umar Alkhattab menjadi janda ketika berusia 20 tahun. Umar menawarkannya kepada Uthman, kemudian Abu Bakar supaya berkahwin dengan puterinya itu padahal Uthman dan Abu Bakar lebih tua daripada Umar r.a. Umar sendiri berkahwin dengan Ummu Khalthum puteri Ali Bin Abi Talib, walhal Ali r.a lebih muda daripada Umar. Namun tiada siapa yang membantah perkahwinan seperti ini.

Sedia maklum, mereka yang memusuhi Rasulullah s.a.w sentiasa mengintai peluang untuk menjatuhkan baginda dan menyekat kemaraan dakwah. Pelbagai usaha dilakukan termasuk mereka reka cerita dan tuduhan tuduhan yang mereka sendiri tidak boleh menerimanya seperti menuduhnya gila, tukang sihir, penyair dan bermacam macam lagi. Anehnya tidak pernah pula mereka gunakan isu perkahwinan Nabi s.a.w dengan ‘Aisyah r.a untuk menuduhnya sebagai lelaki buas, ganas dan mengambil kesempatan terhadap wanita.

Ini menunjukkan bahawa perkahwinan seorang lelaki yang telah berusia dengan wanita muda adalah sesuatu yang lumrah di kalangan masyarakat ketika itu. Kalau tidak, pastinya mereka akan gunakan peluang itu habis habisan untuk mengenakan Nabi dan Islam yang dibawa oleh baginda.

Paling utama perlu diketahui bahawa Islam tidak membenarkan seseorang bernikah dengan seseorang yang belum cukup umur (baligh). Kajian saintifik membuktikan kanak-kanak perempuan mencapai umur baligh dalam rangka umur 9 hingga 15 tahun (LiveScience.com) Bahkan faktor cuaca tempatan juga menjadi faktor utama seseorang kanak kanak perempuan mencapai umur baligh. Jadi adakah Aisyah seorang yang belum baligh, belum cukup umur, belum cukup matang? Tidak, ‘Aisyah r.a sebenarnya sudah cukup umur.

Dan kalau benarlah perkahwinan itu merupakan satu penderaan kepada kanak kanak, kita lihat apa yang tertulis di dalam kitab sirah dan diceritakan sendiri oleh ‘Aisyah r.a. Kalau seseorang perempuan didera dan dipaksa kahwin, sudah tentu dia akan membenci suaminya dan mencari peluang untuk melepaskan diri dari lelaki yang dipaksa kahwin dengannya. Namun apa yang tercatat di dalam sejarah, Aisyah dan Rasulullah s.a.w merupakan pasangan yang sangat intim dan saling cinta mencintai antara satu sama lain. Ini menunjukkan bahawa Aisyah r.a meskipun usianya masih muda, namun beliau merupakan wanita yang pintar dan matang.

Ramai orang tidak mengetahui bahawa di Amerika Syarikat pada 1880, umur minimum untuk bernikah adalah 7 tahun di Delaware dan di California, umur minimum adalah 10 tahun. Bahkan sekarang, umur dibenarkan bernikah adalah 12 tahun di Massachusett, 13 tahun di New Hampshire dan 14 tahun di New York.

Selain itu sejak bernikah pada usia 25 tahun sehingga kematian isteri pertama iaitu Khadijah pada usia Nabi Muhammad s.a.w 54 tahun, baginda hanya memperisterikan seorang isteri iaitu Khadijah sahaja. Ketika pernikahan, Khadijah adalah seorang janda dan bukan anak dara. Ketika pernikahan juga Khadijah berumur 40 tahun iaitu 15 tahun lebih tua berbanding Nabi Muhammad s.a.w iaitu 25 tahun. Ini merupakan salah satu bukti menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w bukanlah seorang yang terlalu mementingkan seks atau gila seks seperti yang dituduh.

Allah lebih mengetahui apa yang terbaik dan semuanya adalah dalam perancangan dan takdir Allah. Pernikahan Nabi Muhammad s.a.w dan ‘Aisyah r.a adalah suruhan dan arahan dari Allah. Sayyidatina ‘Aisyah r.a telah meriwayatkan lebih 2200 hadis daripada Nabi Muhammad s.a.w yang kini menjadi panduan umat Islam. ‘Aisyah r.a adalah seorang yang cukup cerdik, dan disebabkan hubungan rapat dengan Nabi Muhammad sejak kecil itulah ‘Aisyah r.a dapat mempelajari banyak ilmu daripada Nabi Muhammad s.a.w dan akhirnya berperanan penting sebagai guru, pakar dan rujukan dalam Islam.

Seperti yang dimaklumi, Nabi s.a.w diberikan kekhususan daripada umatnya di mana baginda boleh berkahwin lebih daripada empat orang isteri kerana berbagai-bagai sebab. Justeru, isteri-isteri baginda melalui perkahwinan ialah seramai sebelas orang isteri. Di kalangan mereka ada Sembilan orang yang masih hidup semasa kewafatan baginda.

Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah mendidik umat Islam untuk mengikut nafsu, tetapi baginda menyuruh umat mengawal nafsu misalnya dengan berpuasa dan menundukkan pandangan jika tidak mampu berkahwin.

Para sahabat Nabi Muhammad s.a.w menceritakan bahawa baginda adalah seorang yang sangat sopan dan mempunyai sifat malu melebihi sifat malu seorang anak gadis. Nabi Muhammad s.a.w menutup kerana malu apabila ditanya berkaitan perkara sensitif. Nabi Muhammad s.a.w mengajar bahawa agama terletak pada akhlak dan akhlak Islam terletak pada sifat malu dan kesederhanaanya.

Dalam konteks Malaysia beberapa negeri masih berhati hati dalam menetapkan undang undang syariah mengenai perkahwinan dengan kanak kanak bawah umur yang kurang dari 18 tahun.

Ada yang membenarkan dan ada yang tidak membenarkan namun ada juga yang membenarkan secara bersyarat. Ini mungkin disebabkan tekanan dari pihak pejuang wanita dan kanak-kanak serta suasana masa kini yang mana kanak kanak dikira matang setelah berumur 18 tahun ke atas.

Pada pandangan saya perkahwinan dengan kanak kanak yang telah baligh yang berumur 9 tahun keatas perlu dilihat dari aspek hukum dan juga ‘uruf di sesuatu daerah dan negeri. Pihak Jabatan agama perlu menilai dari kedua dua sudut agar ia tidak menimbulkan fitnah dan penindasan kepada kanak kanak. Jika kanak-kanak tersebut telah baligh dan bersedia untuk berkahwin dengan rela hati tanpa paksaan bagi mengelakkan dosa yang lebih besar seperti zina dan masalah sosial maka ia wajar dibenarkan. Bakal suami yang ingin berkahwin perlu dipastikan telus dan tulus ikhlas ingin membantu membela kanak kanak yang telah baligh tersebut dan bukan disebabkan faktor nafsu semata mata.

Perkahwinan di usia muda juga biasa berlaku dalam masyarakat Malaysia sebelum merdeka dan di awal merdeka dan ia menjadi kebiasaan dan tidak dihalang dalam masyarakat kerana dahulu pelajar dikira matang lebih awal dan tidak ramai yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan atas faktor mengejar kerjaya.

Dalam konteks dunia tanpa sempadan kini saya berpendapat juga perkahwinan di awal usia adalah sesuai kepada wanita yang tidak lagi belajar ke peringkat tinggi kerana ia dapat mengelakkan mereka terdedah dengan gejala sosial seperti perzinaan dan pelacuran serta masalah anak luar nikah yang mana statistiknya makin tinggi di Malaysia dari hari ke hari.

Pendekatan yang sederhana dan rasional dalam isu perkahwinan kanak kanak yang telah baligh ini wajar lebih fleksibel dan dilihat secara ‘case by case’ demi kebaikan semua pihak dan berlandaskan kepada salah satu maqasid syariah iaitu menjaga keturunan.

Rujukan :
1. Syeikh Sofiyyur-Rahman al Mubarakfuri, Sirah Nabawiyyah ( Rahiq al Makhtum)
2. Blog Ustazah Maznah Daud dan Media Sosial

(Tulisan ini merupakan antara tugasan saya semasa mengikuti pengajian Diploma Siswazah Pengajian Islam di USIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan