Selamat Pergi Dan Kembali Duhai Isteri - Kembara Ke Bumi Perancis



Aku hanya mampu berdoa moga isteriku selamat pergi dan kembali. Petang tadi aku dan anak-anak telah menghantar isteriku ke stesen ERL di Putrajaya untuk ke KLIA.

Isteriku akan memulakan perjalanan malam ini ke Tolouse Peranchis bagi menghadiri seminar berkaitan teknologi satelit (spot image). Setelah lebih 12 tahun, ini kali kedua isteriku tercalon untuk ke luar negara. Sebelum ini ketika kami baru berkahwin beliau telah diarahkan ke Thailand untuk menghadiri seminar bersama seorang rakan.

Kali ini apa yang merisaukanku ialah beliau terpaksa berkelana seorang diri tanpa rakan. Mungkin kerana pihak majikan ingin menjimatkan belanja namun bagi seorang suami arahan tersebut memang menggusarkan. Dalam Islam seorang wanita wajar diringi seorang mahram jika ingin bermusafir atau sekurang-kurangnya seorang rakan sekerja yang boleh dipercayai.

Pada mulanya ada ura-ura isteriku ingin menarik diri setelah kami berbincang panjang. Antara alasan yang ingin diberikan ialah masalah wabak selsema babi yang melanda dunia kini. Namun alasan itu tidak diterima oleh majikan isteriku.

Puas memikirkan persoalan perjalanan ini akhirnya aku berusaha bertanya kepada rakan sealumni KIK iaitu Kak Ros dan Saudara Abdullah Haron yang mempunyai banyak kenalan dan sering melakukan tugas di seluruh dunia.

Alhamdulillah Kak Ros telah memperkenalkan kami dengan pelajar Malaysia yang menuntut di Peranchis melalui e-mel. Setelah berbalas e-mel mereka sudi menghulur bantuan untuk membantu isteriku semasa di sana.

Semoga Allah memudahkan perjalanan dan permusafiran isteriku..selamat pergi dan kembali pada 13 Jun nanti.

Moga Allah juga memberi kesabaran kepadaku semasa menjadi ‘bapa tunggal’ buat sementara menguruskan empat anak lelaki yang berusia 12, 10, 8 dan 3 tahun. Mujurlah perjalanan isteriku di waktu cuti persekolahan maka sekurang-kurangnya tidaklah terlalu kelam kabut untukku menguruskan urusan persekolah mereka.

(Tulisan ini adalah Arkib 2009)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan