Selamat Tahun Baru Hijriah



Selamat Tahun Baru Hijriah
Moga dapat mencontohi rasulullah
Serta para sahabat dan khalifah
Cekal mendokong risalah
Teguh mempertahankan aqidah
Demi Allah dan ummah

Moga tidak lagi berpecah
dikerumuni musuh dari segala arah
lalu menjadi lemah
akhirnya payah
membangunkan ummah
agar kembali gagah
menongkah segala mehnah
memimpin dunia yang makin resah
dicatur musyrikin laknatullah

Moga tidak mudah berkeluh kesah
Bila dilanda musibah
sentiasa tabah
sentiasa pasrah
bingkas bangun setelah rebah
menuju cita yang belum sudah

Moga dapat mengeratkan ukhuwwah
Sesama yang kuat dan yang lemah
Sesama yang susah dan yang mewah
Tidak seperti buih yang mudah memecah
Tika ombak menghempas pantai nan indah

Moga bisa mengekang nafsu ammaarah
Meningkat kepada lawwaamah dan mulhimah
diseru bersama nafsu mutmainnah
tika bertemu Allah
penuh nikmat ..
di dalam Jannah

Abu Aslam
Putrajaya

4 Muharram 1428 Hijriah

Merdekakah kita di bumi tercinta



Merdekakah kita di bumi tercinta
Jika rasuah itu perkara biasa
pemimpin terus menyalahguna kuasa
amanah diberi tidak dikota
fitnah menfitnah perkara biasa                                                                                   harta dan pangkat buruan utama

Merdekakah kita di bumi tercinta
antara kaum saling tidak percaya
sekolah berbagai aliran bahasa
semua ingin menjadi juara
sedarkah mereka negara ini Malaysia
bukan India mahupun China

Merdekakah kita di bumi tercinta
masih ada rakyat jelata
hidup merempat di sini sana
peluang kerja entah ke mana
dibolot semua oleh mereka
rakyat asing berbagai negara

Merdekakah kita di bumi tercinta
sampah dibuang merata-merata
kelihatan kotor di mana mana
longkang tersumbat dibiar sahaja
berbau busuk mengganggu suasana
sungai tercemar bekalan air tiada

Merdekakah kita di bumi tercinta
zina dan dadah terus berleluasa
bayi dibuang tanpa rasa berdosa
dadah memusnah merosak bangsa
hidup punah derita merana

Merdekakah kita di bumi tercinta
Sekadar mengibar bendera
melaung merdeka merdeka merdeka

Merdeka di bumi tercinta

Ilmu iman taqwa agenda utama

Perlembagaan dihormati semua warga

Negara terjaga rakyat terbela

Bersatu teguh menuju cita

Sayangi Malaysiaku maju aman sejahtera



Abu Aslam
13 Ogos 2019

Jawi Oh Jawi Ayuh Kita Cintai



Jawi oh jawi
kini kau diperkatakan kembali
setelah lama menyepi
dalam duniamu sendiri

Jawi oh jawi
kau masih digunakan lagi
Oleh pelajar dan guru
untuk mata pelajaran tertentu
tapi bagaimana kedudukanmu
di persada negara tanahairku

Jawi oh jawi
Dulu pernah ku buktikan cintaku padamu
Ku langgan akhbar jawi                                                                                                namun akhbar itu sudah tiada kini                                                                            untuk ku amati hari demi hari

Jawi oh jawi
Dulu juga ku pernah baca tulisan dan aksaramu
saat menyampaikan khutbah
di atas mimbar yang mulia dan indah
saat itu terasa megah
kerana bisa memartabatkanmu

Jawi oh jawi
telah lama ku tinggalkanmu
namun hari ini ku rasa pilu
saat kau dibenci oleh mereka itu
yang bergelar warga tanahair ini
takut pada bayang-bayang sendiri

Jawi oh jawi
ku berseru pada diri ini
juga warga tanahair tercinta
mari kita cintai jawi kembali
gunakan dalam hidup sehari hari
di dada akhbar, khutbah dan tv
sebelum jawi terus dilupai dan dibenci
hilang dan larut ditelan mimpi dan realiti



Abu Aslam
Cyberjaya 7 Ogos 2019.

Jom Melawat Pusat Sains Negara



Ahad lalu kami sekeluarga telah berkunjung ke Pusat Sains Negara Bukit Kiara. Sebenarnya sudah agak lama kami tidak berkunjung ke sana. Sempena cuti sekolah dan juga cuti hujung minggu Aslam berkali-kali mengajak saya untuk ‘keluar berjalan’. Lalu saya membuat keputusan untuk membawa keluarga ke Pusat Sains Negara (PSN).

Aslam, Anas, Asri dan Ahmad Yasin begitu gembira ketika berada di PSN kerana terdapat berbagai pameran yang bermaklumat dan interaktif untuk dijelajahi. Antara yang menarik ialah akuarium berbentuk terowong seumpama ‘mini underwater’, bilik teater, pameran angkasa lepas, pameran industri petroleum, kereta nasional, hasil getah dan kelapa sawit.



Bilik aktiviti untuk anak-anak yang berumur antara 2 hingga 6 tahun juga disediakan untuk memupuk budaya sains dikalangan anak-anak sejak kecil. Selain itu terdapat juga kemudahan surau dan kafeteria bagi memudahkan pengunjung menunaikan solat memandangkan masa yang agak lama diperlukan untuk menjelajah dan meneroka dua tingkat yang penuh dengan berbagai pameran.



PSN sangat sesuai dilawati bukan sahaja oleh kanak-kanak bahkan orang dewasa untuk meningkatkan pengetahuan sains dan daya inovatif selain menghargai kehebatan dan keluasan ilmu Allah serta keagungan ciptaanNya.



sila klik url PSN untuk makluman lanjut http://www.psn.gov.my/

(Arkib 2008)