Pergi Tak Kembali

Awal tahun ini saya menerima tiga berita sedih.

1. Kematian Rakan Sebaya

Seorang sahabat telah pergi menyahut seruan ilahi dalam usia yang boleh dikatakan ‘muda’..37 tahun. Beliau ialah Dr Ozi Shahril (rakan semasa program Matrikulasi (UKM) di Sekolah Alam Shah pada tahun 1989).

Beliau terlibat dengan kemalangan ketika menunggang ’superbike’ pada 1.1.2008 ke Bukit Tinggi, Karak. Beliau dikenali dengan gelaran Dr. Bend di kalangan rakan-rakan ’superbike’.

Saya berkesempatan memberikan penghormatan terakhir dengan menunaikan solat jenazah di Masjid Taman Ehsan Kepong seterusnya mengiringi jenazah beliau ke tanah perkuburan selepas solat Maghrib.

Sedih dan terharu melihat dua anak lelaki beliau (sebaya anak-anak saya) yang turut hadir melihat ayah mereka buat kali terakhir sebelum jasad dikandung tanah. Saya tidak dapat membayangkan apakah perasaan anak-anak saya jika saya ‘di tempat’ allahyarham ketika itu.

Saya hanya mampu bersimpati dan berdoa moga ruh beliau dicucuri rahmat oleh Allah. Semoga isteri dan dua orang anak serta keluarga sentiasa tabah dan sabar atas segala musibah dan ujian dari ALLAH.

2. Kematian Bapa Angkat (Haji Ismail Haji Hasan)

Hari ini saya menerima berita sedih dari abang ipar saya yang tinggal di Alor Star memberitahu bahawa bapa angkat saya di Kampung Kubu Kuala Nerang telah pergi meninggalkan dunia yang fana pada 2.1.2008.

Berita yang diterima agak lambat kerana emak angkat saya kehilangan nombor telefon saya dan saudara mara saya untuk dihubungi.

Saya menjadi anak angkat kepada Haji Ismail dan Hajah Asma ketika menyertai program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) UKM pada tahun 1993. Hubungan mesra saya dan keluarga angkat berterusan hinggalah saya mendirikan rumah tangga. Kali terakhir saya mengunjungi mereka ialah ketika saya mula-mula berumahtangga untuk memperkenalkan isteri tercinta pada tahun 1996.

Ketika ayah saya meninggal dunia emak angkat ada memberitahu bahawa ayah angkat makin uzur dan menderita akibat barah usus. Apa yang menyedihkan dan membuat saya terkilan ialah saya tidak sempat menziarahi ayah angkat hinggalah saat dia pergi bertemu Allah Azzawajalla.

Saya juga mendoakan moga ruh ayah sentiasa tenang dan damai di alam sana sama seperti ruh ayah saya yang telah pergi pada 1 Mei 2007 lalu.

3. Kematian Bekas Rakan Sekerja (Abang Hashim Md Amin)

Abang Hashim telah menemui Allah kerana sakit jantung pada usia 60 tahun pada penghujung tahun 2007 yang lalu. Beliau bersara 5 tahun lalu dan menetap di Cheng, Melaka.

Isteri allahyarham, Kak Yah adalah bekas ‘ibu pengasuh’ kepada 3 orang anak saya ketika kecil di kuarters kakitangan Loji Air Sg Semenyih. Kami pernah berkunjung ke rumah mereka di Melaka kira-kira 3 tahun lalu.

Semoga ruh abang Hashim juga ditempatkan di kalangan hamba yang dirahmati Allah di alam sana.

Yang pergi telah pergi..
dan tak akan kembali lagi..
Buat diri ini yang tinggal…
moga sentiasa bersedia mempersiap diri..
untuk saat yang pasti..
saat yang bernama mati..
namun tarikhnya tidak bisa dipasti..

(Arkib 2008)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.