Ucapan Wakil Pelajar Sempena Majlis Konvokesyen Diploma Siswazah Pengajian Islam USIM

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah Taala yang telah memberi nikmat yang besar dan tak terhitung nilainya iaitu nikmat iman dan Islam serta ilmu agama yang dapat menyuluh kehidupan kearah kebenaran. Dengan izin dan kehendakNya jua kita dapat berada dalam majlis yang amat bermakna buat kami semua sebagai kumpulan perintis Diploma Siswazah Pengajian Islam (DISPI) keluaran Universiti Islam Malaysia (USIM).

Dalam kesempatan ini saya bagi pihak semua pelajar DISPI ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada pihak USIM terutama Ketua Program iaitu Prof Dr Amir Husin dan Penyelaras Program iaitu Dr Khamimi serta para pensyarah, Muallim/Muallimah dan Asatizah, Profesor dan Dr yang telah memberi peluang kepada kami untuk menuntut ilmu pengajian Islam di Universiti yang menekankan kepada integrasi antara ilmu aqli dan naqli.

Alhamdulillah dengan taufiq dan hidayah Allah serta semangat untuk terus menuntut ilmu (madal hayah – tolabal ilmi minal Mahdi ilallahdi) kami berjaya menamatkan pengajian diploma yang agak mencabar bagi golongan “Mahasitua”.

Mengimbas kembali sesi pendaftaran DISPI pada tahun 2017, pada permulaannya seramai 11 orang pelajar namun akhirnya 6 orang yang berjaya sampai ke penghujung. Justeru kami amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pihak Universiti yang telah banyak membantu merangka modul-modul pengajian yang menarik dan terkini menggunakan teknologi ICT termasuk penggunaaan sitem skype dalam sesi kuliah on line bersifat anjal dan lain-lain kemudahan.

Kami rasa amat beruntung terpilih sebagai pelajar perintis dan berharap agar program DISPI ini akan diteruskan dengan penambahbaikan yang bersesuaian dalam mempromosi budaya madal hayah, life long learning, integrasi ilmu aqli dan naqli kepada warga USIM sendiri dan masyarakat luar yang tercari-cari model pengajian yang tersusun, anjal dan menggunakan teknologi ICT.

Sebelum saya mengakiri ucapan ini saya ingin memetik kata-kata YBhg Dato Dr Afifi Al Akiti, seorang Pensyarah dan Sarjana Melayu di Universiti Oxford.

“Integrasi Ilmu Agama dan Ilmu Dunia boleh Kembalikan Kegemilangan Islam”.

Semoga kita semua terus diberi kekuatan untuk terus menuntut ilmu, mengamalkan ilmu, menyebarkan ilmu dan menggunakan segala ilmu aqli dan naqli yang ada untuk manfaat diri, keluarga, masayarakat dan negara tercinta seterusnya menjadi amal jariah dan bekalan untuk kita di alam sana, alam akhirat yang kekal selamanya kerana hakikatnya kita semua adalah warga akhirat yang kekal abadi.

Sekian Wassalam

Al Faqir Ilallah,
Adam Malik Najri
5 Februari 2020
11 Jamadil Akhir 1441H