Tafsir Ringkas Surah Al Qiyamah



1.0 Latar Belakang Surah

Sebagaimana Surah Makkiyah yang lain, Surah al Qiyamah juga memfokuskan kepada salah satu aspek dalam agama dan kepercayaannya iaitu kepercayaan kepada hari kiamat dan perkara yang berkaitan dengannnya.

Ia bermula dari permulaan kematian manusia dan kejadian mereka. Surah ini dimulakan dengan sumpah kewujudan hari kiamat. Kemudian disusuli dengan buktinya. Allah melarang Rasulullah SAW menghafal wahyu ketika penurunannya, dan menegaskan Dia yang akan menyabitkannnya dalam minda dan ingatan Rasulullah SAW secara menyeluruh.

Dalam surah ini juga diceritakan tentang pembahagian/pengkategorian manusia pada hari kiamat kepada dua kategori, golongan yang bahagia (beruntung), dan golongan yang celaka (rugi):

Golongan pertama iaitu orang orang yang bergemerlapan muka dan wajah mereka dengan cahaya keimanan. Keseronokan yang mereka kecapi dengan memandang kepada Tuhan mereka secara berterusan

Golongan kedua ialah orang orang yang hitam dan kelam muka dan wajah mereka lantaran menunggu azab yang menimpa mereka.

Surah ini diakhiri dengan mengemukakan bukti berbentuk realiti tentang penyabitan pembalasan pada hari kiamat dengan kejadian manusia. Hal ini membuktikan kebangkitan manusia untuk diadili pada hari kiamat lebih mudah daripada menjadikan mereka.

2.0 Huraian Tafsir ayat 1-6

Pada permulaan surah ini, Allah SWT bersumpah dengan hari kiamat dan nafsu lawwamah, iaitu nafsu yang sentiasa mencerca tuannya diatas kelemahan dirinya. Apabila Allah Taala menggabungkan dua perkara ini dalam sumpahnya, ia dapat disimpulkan bahawa orang orang yang dapat menjaga rasa sesal dalam dirinya, dan dapat memikirkan sebelum terlanjur melakukan dosa, dia akan terselamat dari mara bahaya pada hari kiamat nanti.

Keimanan kepada hari kiamat adalah salah satu daripada rukun iman yang enam, yang terdapat dalam ajaran para Nabi yang diturunkan oleh Allah SWT sebelum Rasululullah SAW. Kebenaran dan kepercayaan terhadap balasan Allah Taala pada suatu hari nanti menjadi tunggak keimanan kepada hari kiamat. Kepercayaan ini menyusuli keimanan kepada Allah Taala Yang Maha Berkuasa. Idealisme pembalasan Allah membawa kepada kepastian hari kiamat.

Justeru dapat disimpulkan di sini, konsep keimanan dan kepercayaan di atas berasaskan kepada beberapa perkara berikut:

i) Kajian alam, kehidupan dan manusia menjadi petunjuk kepada kekuasaan, keadilan dan kebijaksanaan Allah Taala.

ii) Kajian matlamat kejadian yang membawa kepada pemerhatian alam, peristiwa yang berlaku, serta tabiat semulajadi yang terdapat didalamnya, tidak meninggalkan mana mana ruang untuk bermain main dan melakukan perkara yang sia sia. Bahkan kesemuanya perlu diberi perhatian serius.

iii) Kajian hubungan bersifat akhlak dan semulajadi antara Allah SWT dan manusia merupakan petunjuk yang jelas bahawa manusia dicipta dan dijadikan di dunia ini untuk diuji dan diberi balasan berasaskan kanun yang ditentukan oleh Allah Taala serta kebijaksanaanNya.

iv) Kajian fenomena pembalasan Allah SWT nanti menunjukkan kemuncak keadilan dan kebijaksanaan Allah Taala yang belum dibuktikan ketika di dunia.

Berdasarkan perkara yang dinyatakan di atas, kewujudan hari kiamat serta kepercayaan kepadanya amat penting untuk direalisasikan. Menurut Said bin Jubair, lawwamah adalah penyesalan keatas diri sendiri rentetan dari dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan, serta menyesali diri yang kurang melakukan kebaikan dan kebajikan. Manakala Burhan al Din al Biqa’ie pula berpandangan lawwamah adalah nafsu yang mencerca serta mencela tuannya di atas perbuatan yang dilakukan, samada baik mahupun buruk. Kebaikan akan menjadi penyebab kebahagiaannya nanti, manakala keburukan menjadi penyebab kepada kecelakaan nanti.

Maka kecelaan terhadap kejahatan atau dorongan kepada kebaikan dapat membawa kebahagiaan kepadanya. Kecelaan terhadap kebaikan dan dorongan kepada kejahatan dapat membawa kebinasaan kepadanya pula.

Justeru Allah SWT bersumpah dengan hari kiamat dan demi nafsu yang menyesal itu, kita akan dibangkitkan pada suatu hari nanti. Sumpah yang berangkai dua ini merupakan bukti kepastian hari kiamat. Terdapat dalam jiwa manusia, nafsu dan keinginan untuk sampai ke tahap yang lebih tinggi dengan tiada batasan.

Keinginan tersebut sebenarnya membuktikan terdapat kehidupan lain disebalik kehidupan dunia ini. Adakah keinginan yang tiada batasan ini tidak berguna kepada manusia? Bukan? Keinginan ini mengandungi rahsia yang hanya diketahui oleh manusia setelah kematiannnya, iaitu pada hari kiamat. Seandainya manusia hidup dengan tidak mempunyai keinginan tadi, maka kehidupannya tiada ertinya.

Segala kekuatan yang terdapat dalam diri kita mahupun binatang sekalipun mempunyai tujuan masing masing. Justeru sumpah dengan hari kiamat dan nafsu lawwamah disini untuk dijadikan petunjuk dan bukti.

Keinginan nafsu yang tidak terbatas menjadi bukti bahawa kehidupan selepas mati adalah destinasi yang ditujui dan tercapainya keinginan tersebut. Hal ini dinyatakan pada ayat berikut (Maksud ayat 3 dan 4)

Ayat 3 : "Adakah patut manusia (yang kafir) menyangka bahawa kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang tulangnya (dan menghidupkannya semula)?"

Ayat 4: "Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang), jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain)"

Maksudnya orang orang yang beriman bertanya tanya dalam hati mereka, adakah mungkin manusia mati beratus atau beribu tahun lamanya, setelah hancur tulang belulang, dapat dikumpul dan dibangkitkan kembali. Mereka yang mengingkarinya, tidak mempercayai serta merasa ragu ragu tentangnya. Kesemua ini adalah sangkaan yang salah dan tidak tepat. Jawapan ini dinyatakan oleh Allah taala pada ayat ke 4 seperti di atas. Dia maha berkuasa menyusun segala tulang jari dengan sempurnanya (serta tulang yang lebih halus dari yang lain).

Perkataan insan dalam ayat di atas ditujukan kepada kebanyakan manusia kerana kebanyakan mereka tidak mempercayai kebangkitan manusia selepas kematian. Frasa ungkapan (Allan najmaa) adalah konsep penegasan yang digunakan dalam menzahirkan keingkaran manusia.

Namun begitu kedegilan manusia berterusan dengan melakukan dosa dan menangguhkan taubat. Perkara ini dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam maksud ayat 5 dan 6

Ayat 5 : "(Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya) bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga dia tidak mengakui adanya hari kiamat)"

Ayat 6 : "Dia bertanya (secara mengejek) “bilakah datangnya hari kiamat itu”.

Ayat di atas menunjukkan keinginan manusia untuk melakukan kejahatan dan kemaksiatan dalam menempuh hari yang mendatang dalam kehidupannya. Meskipun nafsu dan jiwanya sentiasa menyesali di atas perbuatan yang salah, tetapi tetap mempunyai keinginan untuk melakukannya akibat desakan hawa nafsu yang tiada batasannya. Seolah olah hari mendatang yang akan dilalui, segala penderhakaan, selagi kesempatan masih ada baginya. “Di hadapannya” iaitu umur yang disediakan oleh Allah SWT kepadanya dalam kehidupan, dihabiskan dengan melakukan segala yang dikehendakinya, samada baik ataupun sebaliknya.

Ayat di atas juga menunjukkan keinginan dan nafsu manusia dikawal oleh tabiat dan syahwat, meskipun dia mengetahui perkara itu adalah salah. Menurut Hasan Al Basri, seorang mukmin sentiasa mencerca nafsunya. Orang yang jahat pula tidak akan memuhasabahkan nafsunya serta mencercanya. Kategori soalan yang dikemukakan dalam ayat di atas mengikut kesusateraan Arab berbentuk ejekan atau ingkar.
Justeru, dapat difahami dari kenyataan di atas, keingkaran terhadap hari kebangkitan manusia pada hari kiamat kelak berasaskan kepada dua alasan iaitu :

1) Manusia tidak dapat menerima pengumpulan serta pencantuman semula anggota tubuh badan selepas kehancuran dan kepupusannya.

2) Sikap yang menjadikan hawa nafsu sebagai ikutan serta kecenderungan melakukan maksiat.

Keimanan dan kepercayaan kepada Allah Taala tidak dapat dipisahkan dengan keimanan dan kepercayaan kepada hari kiamat. Hal ini kerana setengah daripada tuntutan keimanan kepada Allah Taala ialah membenarkan apa yang diceritakanNya. Allah SWT menyebut tentang perihal hari kiamat dalam janji dan amaranNya. Dia juga menentukan erti sebenar kehidupan selepas mati dengan bercirikan pengadilan yang saksama serta pembalasannya.

Bagi orang orang yang membaca dan mendengar Al Quran, terdapat pelbagai ayat yang memperkatakan tentang hari kiamat dalam pelbagai dimensi antaranya dalam ayat 136 Surah An Nisa :

“Wahai orang orang yang beriman, tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada kitab Al Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya(Muhammad SAW) dan juga kepada kitab kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu, dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan malaikat malaikatnya, dan kitab kitabnya dan rasul rasulnya dan juga hari akhirat maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh”.

Iktikad keimanan kepada hari kiamat dan perkara yang berkaitan dengannya seperti kebangkitan selepas mati, pembalasan baik atau sebaliknya, syurga serta neraka dan sebagainya adalah iktikad yang dimaklumi dalam Islam.

Justeru seseorang muslim sentiasa menzahirkan keimanannya berasaskan kepercayaan kepada hari kiamat, dan tidak mengingkari sedikitpun daripada perkara yang berlaku pada hari tersebut mengikut fakta dan dalil yang berkaitan dengannya secara yakin.

Terdapat beberapa nama yang diberikan kepada hari kiamat berdasarkan petunjuk serta situasi yang berlaku pada hari tersebut seperti yang disebutkan dalam AlQuran, antaranya:

1) Hari Kebangkitan kerana berlaku kebangkitan tubuh badan selepas kematian pada hari itu.

2) Hari Keluar kerana manusia akan keluar dari kubur masing masing untuk kehidupan lain.

3) Hari Kiamat kerana manusia akan berdiri untuk diadili

4) Hari Agama kerana makhluk akan dibalas berdasarkan amalan yang dilakukan.

5) Hari Penyelesaian kerana manusia diadili dengan penyelesaian yang adil.

6) Hari Perhimpunan kerana manusia akan dihimpunkan untuk dihisab.

7) Hari Hisab kerana manusia akan dihitung amalan yang mereka lakukan di dunia.

8) Hari Perjanjian kerana janji Allah SWT kepada orang kafir akan tercapai di sana.

9) Hari Penyesalan kerana orang kafir dan yang menderhakai Allah SWT akan menyesali perbuatan mereka.

10) Hari Kekal kerana ia adalah permulaan hari yang kekal abadi.

 

3.0  Rujukan :

Surah Al Qiyamah Tafsir dan Huraian – Terbitan Eksklusif Siri ke 13, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.

(Nota : Artikel ini adalah salah satu tugasan saya semasa sesi pengajian Diploma Siswazah Pengajian Islam di USIM)

Majlis Tadarus Al Qur'an Di Luar Bulan Ramadan

Arkib April 2009

Kebiasaannya majlis tadarus Al Qur’an diadakan dalam bulan Ramadhan, namun kini ia diadakan pada setiap bulan di Bandar Baru Bangi. Usaha ini telah digerakkan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi antara lain bertujuan bagi mengeratkan hubungan antara ahli kariah surau-surau di Bandar Baru Bangi.

Program Tadarus Al Quran ini diadakan pada hari Jumaat malam Sabtu minggu ketiga setiap bulan di surau yang berbeza. Untuk bulan April 2009 (17 April 2009) Surau Al Amin Seksyen 8 menjadi tuan rumah untuk program yang mulia ini. Alhamdulillah sambutan begitu meriah dengan lebih 120 orang menghadiri program ini termasuk kanak-kanak dan remaja. Pihak penganjur menganggarkan sekurang-kurangnya 60 orang hadir bagi memastikan setiap juzuk Al Qur'an dibaca oleh dua orang peserta.

Menurut Penyelaras Program Tuan Haji Ghazali Abas, program kali ini paling meriah dengan kehadiran peserta/ahli kariah paling ramai dan berharap program seterusnya yang akan diadakan di Surau Jubli Perak, Seksyen 4 Tambahan turut meriah.

Saya telah diamanahkan untuk mengetuai Majlis Khatam Al Quran pada malam tersebut seterusnya mengimami solat Isyak. Selepas itu semua ahli jemaah dihidangkan dengan nasi Arab yang disediakan oleh Ustaz Ehsan, Saudara Bahrim dan rakan-rakan dari Seksyen 8. Sungguh enak rasanya nasi Arab tersebut dan mendapat pujian para ahli jemaah.

Alhamdulillah program berjalan lancar dan penuh meriah. Semoga program seumpama ini akan terus berjalan dengan lancar di masa depan dan menghasilkan natijah yang diharapkan iaitu untuk memartabatkan Al Quran dan mengeratkan ukhuwwah di kalangan para ahli kariah surau sekitar Bandar Baru Bangi.

Bagaimana merancang dan menambah bekal pahala untuk akhirat kita..

Arkib April 2009

Ramai antara kita lebih teruja untuk merancang kehidupan di dunia. Bagaimana untuk menambah harta bagaimana mahu berjaya dalam kerjaya, bagaimana untuk hebat dalam rumahtangga, bagaimana untuk disegani oleh ahli masyarakat dan rakyat jelata.

Dalam kesibukan memburu dunia kita terlupa bahawa dunia ini hanyalah sementara. Hakikat kita di dunia ini umpama seorang pengembara atau pedagang yang menuju destinasi akhirat. Dunia ini adalah tempat untuk mengumpul bekal menuju hari akhirat.

Lantas bagaimana untuk memaksimumkan bekalan akhirat sedangkan tuntutan dunia seakan tiada akhirnya. Dari kecil kita sibuk belajar lalu sibuk berkerjaya, membina keluarga seterusnya mencipta nama demi kemegahan dunia.

Islam ada jalan keluarnya untuk memastikan kita beruntung di dunia mahupun akhirat. Caranya ialah dengan sentiasa mematuhi syariat Allah taala dan mengikuti sunnah Rasulullah dalam kehidupan seharian.

Setiap perbuatan yang kita lakukan mestilah sentiasa mendahulukan dan membesarkan Allah. Mulakan sesuatu pekerjaan dengan niat kerana Allah, demi Allah dan Rasulullah sebagai contoh ikutan.

Contohnya..

Jika kita menuntut ilmu..asas ilmu fardhu ain mestilah mantap.. ilmu fardhu kifayah demi maslahah ummah.

Jika kita berpakaian..pastikan kemas dan bersih kerana Allah dan Rasul mencintai keindahan.

Jika kita bersenam untuk kesihatan..jangan lupa niatkan kerana Allah untuk membina kekuatan badan dan sentiasa bersedia jika diseru untuk berjihad di jalanNya.

Jika kita bekerja..niatkan untuk mencari nafkah yang halal untuk menyara keluarga.

Jika kita berkeluarga..niat kerana Allah untuk menambah zuriat dan menghindarkan maksiat.

Jika berpolitik..pastikan matlamat akhirnya adalah untuk membina Daulah Islamiyyah demi kebaikan sekalian manusia dan ummah.

Begitulah indahnya jika kita meletakkan Allah dan Rasul sebagai matlamat dan ikutan dalam kehidupan. InsyaAllah kita akan beruntung di dunia dan akhirat.

Semoga kita dapat mengisi kehidupan dunia ini dengan bijaksana (akhirat) dan juga secara bijak sini (dunia) lalu kita tidak tergolong dalam kalangan yang rugi dan alpa dengan hakikat kehidupan dunia yang sementara.

Tajuk Puisi : Pemburu Yang Di Buru

Kita adalah pemburu

Pemburu cinta yang sementara,
Pemburu harta dan takhta
Pemburu nikmat, rasa dan bahagia

Kita juga diburu..

Diburu kecewa, gundah gulana
Diburu derita, duka dan nestapa
Diburu bebayang dosa dan noda
Diburu rantaian hutang yang berjela
Diburu bebanan tugas yang perlu dilaksana

Bukankah pemburu itu ada..
Iman dan taqwa
sebagai peluru dan bekalnya
buat membawa pulang
hasil pemburuan
atas redhaNya..

Bukankah yang diburu..
Punya tawakkal dan taubat
sebagai pendindingnya
Usaha dan terus berusaha..
Selagi nafas masih mampu dihela
Jangan mudah kecewa..

Kita adalah pemburu
yang juga diburu
hingga bertemu noktahnya
yang entah bila kapan tiba
bersedialah menghadapinya

Abu Aslam

Putrajaya
30 Julai 2008

Bangi Bandar Ilmu

Arkib Jun 2008

Perisytiharan Bangi sebagai Bandar Ilmu telah dilakukan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada 23 Jun 2008 baru-baru ini di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Sebagai warga Bandar Baru Bangi (BBB) saya turut gembira dan bersyukur atas gelaran tersebut.

Saya memulakan kehidupan di Bangi sejak tahun 1990 apabila mula menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia UKM). Ketika itu Bandar Baru Bangi merupakan pekan kecil tanpa prasarana hebat dan kami hanya akan ke Kajang untuk membeli belah jika perlu. Setelah tamat belajar saya memulakan kerja di Loji Air Sg Semenyih pada tahun 1995 yang terletak di ‘Prang Besar Estate’, Dengkil, tidak jauh dari Bangi (Kini  Estet Prang Besar telah bertukar menjadi Putrajaya). Saya menetap di kuarters Loji selama sepuluh tahun dan mula berpindah ke rumah sendiri di Seksyen 8 Bandar Baru Bangi pada tahun 2005.

Kini Bandar Baru Bangi begitu pesat membangun sebagai pusat ilmu dan komersial. Kawasan perumahan kelas sederhana wujud bagaikan cendawan tumbuh kerana lokasinya yang strategik iaitu tidak jauh dari Putrajaya, Kuala Lumpur dan KLIA. Namun begitu pembangunannya agak terancang dan masalah sosial juga masih terkawal kerana kurangnya pusat hiburan di sini.



Saya juga bersyukur kerana rumah yang dibeli terletak di kawasan yang agak strategik iaitu berhampiran dengan Kompleks PKNS, Taman Tasik Cempaka, Masjid Jamek Bangi, Perpustakaan Awam dan Pejabat Pentadbiran Daerah Hulu Langat. Walaupun nilai rumah yang saya beli meningkat dengan mendadak (hampir 70%) namun buat masa ini saya tidak berhasrat untuk menjualnya.

Di sini saya ingin menulis sedikit maklumat mengenai sejarah Bandar Baru Bangi yang dipetik dari Buletin Bangi Bil 1. Tahun 1: Jan-April 2008 keluaran PKNS Bangi.

Berasal daripada sebuah Estate (West Country Estate) yang berkeluasan 5,118 ekar, Bandar Baru Bangi mula dibangunkan pada tahun 1974 setelah proses pengambilan tanah dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor mulai tahun 1972-1978. Proses pengambilannya dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula dengan seksyen 1 yang melibatkan pembinaan rumah kos rendah, sederhana dan tinggi yang berjumlah 200 unit.

Perancangan bandar satelit ini yang juga merupakan bandar kedua terbesar selepas Shah Alam, adalah berdasarkan 'perancangan bersepadu' atau 'integrated development' yang dijangka mampu meneruskan ’sustainable growth’ yang bukan sahaja dapat menampung kediaman 60,000 orang penduduk, tetapi juga menyediakan aktiviti komersil , perindustrian, institusi latihan, rekreasi dan pendidikan.

Berkonsepkan Bandar Taman, kawasan lapang seluas 82 ekar dilengkapi dengan sistem dua lengkongan jalan besar dan lorong-lorong jalan kaki dan berbasikal yang menyambungkan aktiviti-aktiviti di antara satu sektor dengan yang lain. Bandar Baru Bangi telah dibahagikan kepada 16 Seksyen.

Di antara Pusat pengajian Tinggi yang terdapat di BBB ialah UKM, UNITEN, KLIUC, MFI, Institut Perguruan Islam (IPI) dan Kolej Polytech Mara. Antara Pusat Latihan pula ialah INSPEN, NIOSH, ILIM, MPOB, Pusat Latihan Petronas (PERMATA), Pusat Latihan Maybank, Public Bank, CIMB Bank, RHB Bank, BSN, Pusat Latihan Pos dan Institut Latihan kehakiman (ILKAP).

Tajuk Puisi : Kita Belum Merdeka Lagi



Arkib 2008

Kita belum Merdeka Lagi
Walau Penjajah sudah pergi
Kita ketepi tulisan jawi
Kita pinggirkan bahasa sendiri

Kita belum Merdeka lagi
Minda terjajah di bumi sendiri
Agungkan budaya yang tidak suci
Terkinja-kinja di sana sini

Kita belum merdeka lagi
Jiwa terjajah dek nafsu sendiri
Zina terus menjadi-jadi
Bayi dibuang di sana sini
Jahiliah moden masa kini

Kita belum merdeka lagi
Menagih dadah tak henti-henti
Keluar masuk pusat serenti
Penjara juga banyak dihuni

Jika mahu merdeka
Bebaskan diri dari dijajah manusia
Bebaskan jiwa dari nafsu dan hawa
Bangga dengan jatidiri bangsa
Bangga dengan Deenul Islam tercinta
Barulah kita Merdeka..
Di dunia dan akhirat sana

Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Biarlah mengandung makna

Abu Aslam
Putrajaya
25.08.08

Berita Kematian - Peringatan Buat Yang Hidup

Arkib September 2008

Di pagi Jumaat dalam bulan Ramadhan yang mulia ini saya menerima tiga berita kematian

Pertama ialah kematian Tan Sri Samad Ismail, seorang pengarang terkenal dan juga turut sama memperjuangkan kemerdekaan. Allahyarham meninggal dunia pada usia 84 tahun di sebuah hospital di Kuala Lumpur akibat jangkitan paru-paru.

Kedua ialah kematian bapa kepada sahabat se alumni (Kolej Islam Klang) Saudara Abdullah Haron yang berasal dari Sarawak.

Ketiga ialah kematian rakan matrikulasi (Sekolah Alam Shah) dan juga se jabatan dan fakulti semasa di UKM iaitu Saudara Azli Ahmad yang bekerja di Lembaga Pelabuhan Johor. Allahyarham meninggal dunia akibat sakit jantung dalam pertengahan usia 38 tahun.

Saya hanya mampu mengucapkan salam takziah buat keluarga ketiga-tiga allahyarham dan berdoa semoga ruh mereka ditempatkan di kalangan hamba Allah yang beriman serta tenang dan damai di alam sana.

Semoga dengan berita kematian demi kematian yang diterima akan memberi keinsafan kepada saya dan pembaca semua agar sentiasa bersedia untuk menghadapi saat-saat yang pasti akan tiba..detik kematian..detik meninggalkan dunia yang fana..meninggalkan segalanya..yang boleh dibawa sebagai bekalan hanyalah iman dan taqwa, curahan ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah serta anak-anak soleh yang bakal berdoa buat kita.