Kehidupan dan Kematian - Moga Panjang Umur Dalam Kebaikan



Semalam 14 Januari 2009 umurku bertambah setahun lagi. Dari 38 tahun kini sudah meningkat kepada 39 tahun Masihi. Diam tak diam sudah hampir umurku kepada 40 tahun (jika mengikut kiraan tahun Hijriah dah masuk 40 tahun). Umur yang sering dikaitkan dengan perubahan besar dalam hidup atau istilah bahasa Inggeris ‘Life begin at fourty’.

Setinggi kesyukuran ku lafazkan kehadrat Allah Taala atas kurniaan nikmat umur yang menjadi modal utama dalam hidup di dunia yang sementara ini.

Semoga Allah terus memanjangkan usiaku hingga suatu masa di mana anak-anakku dapat berdikari dalam hidup mereka. Beberapa orang sahabat seusiaku telah pergi dahulu meninggalkan dunia yang fana. Ada yang meninggalkan anak yang masih kecil yang masih memerlukan belaian mesra ibu dan bapa. Terbaru ialah sahabat seperjuangan semasa di UKM, Halim Hafez Toha telah kembali ke rahmatullah pada akhir Disember 2008 setelah mengalami kanser usus beberapa tahun. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas ruh almarhum Abang Halim Hafez.

Firman Allah :

Katakanlah : ” Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. Ayat 8 Surah Al Jumuah

Ku memohon kepada Allah agar diberi petunjuk dan hidayahNya dalam menempuh hidup yang penuh mencabar terutama di alam kerjaya yang semakin suram. Di kala sahabat-sahabat seusiaku telah berjaya dengan pangkat dan kemewahan aku masih di takuk lama sebagai eksekutif biasa dan hidup secara sederhana ibarat ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’. Semoga Allah memberi kekuatan kepadaku untuk terus berusaha dan tidak mudah putus asa untuk terus mengejar dunia dalam redhaNya.

Moga Allah Yang Maha Berkuasa turut memberi petunjuk, kekuatan dan pertolonganNya untuk aku terus istiqamah di jalanNya dalam mempersiapkan bekalan menuju hari akhirat yang kekal selama-lamanya.

(Tulisan ini adalah arkib 2009)

Kematian Di Bumi Haramain - Rezeki Kak Ngah Sariah



Kak Ngah Sariah Meninggal Subuh tadi di Makkah. Begitulah kandungan SMS bertarikh 25 Disember 2008 dari adik saya Ali. Beliau menerima SMS dari Abang Ya adik kepada allahyarhamah yang merupakan mahram semasa melakukan ibadah haji.

Perasaan bercampur baur antara hiba dan ‘gembira’. Hiba atas pemergian seorang kakak sepupu yang baik hati dan gembira kerana pemergiannya setelah selesai menunaikan Haji dan bakal dikebumikan di tanah suci.

Takziah diucapkan buat semua ahli keluarga terdekat Kak Ngah Sariah iaitu suami allahyarham Abang Yob Sin, Mek Semah (Anak Sulong) serta semua anak-anak dan cucu-cucu.

Kak Ngah Sariah merupakan anak sulong Mak Ngah Kiah (kakak Allahyarham Abah). Saya masih ingat ketika kecil, sekali sekala saya ada mengunjungi rumah almarhum yang terletak di Hulu ijok untuk berkelah kerana terdapat air terjun di sana.

Kali terakhir saya menziarahi rumah almarhum dan keluarga ialah pada tahun 2007 iaitu ketika Kak Ngah Sariah sakit kuat seolah-olah tiada harapan lagi untuk sembuh. Namun Allah memanjangkan usia beliau seterusnya dapat menunaikan ibadah haji pada tahun lalu (2008) dan akhirnya meninggal dunia di bumi para anbiya.

Seingat saya juga allahyarhamah antara sepupu yang baik hati dan penyayang dan tidak pernah mengguris hati saya. Semoga ruh Kak Ngah Sariah tenang dan damai di alam sana, dilimpahkan rahmat oleh Allah yang Maha Esa.

Saya juga berdoa moga dapat menuruti jejak Kak Ngah Sariah suatu hari nanti apabila mencecah usia tua, kembali bertemu Yang Esa dalam keadaan bersih seperti bayi setelah menunaikan ibadah haji di bumi yang penuh mulia, bumi para anbia Makkah Al Mukarramah.

 

(Nota : Tulisan ini adalah arkib 2009)

Satu Hari Satu Ayat

 



Apakah azam kita tahun ini??

Biarpun agak terlewat untuk membuat azam khusus tahun ini..namun semalam benak saya terpanggil untuk menanam azam dalam diri.. azamnya ialah satu hari satu ayat Al Quran untuk dihafaz.

Alhamdulillah.. bila disemak azam tersebut ianya masih mampu ditunaikan kerana sehingga hari ke 50 pada tahun 2009 ini (19 Februari 2009) saya sudah berjaya menghazaf 64 ayat Al Quran iaitu ayat 1-53 Surah Al Kahfi dan ayat 6 - 16 dari Surah Al Baqarah.

Jika di hitung secara logik akal dan matematik maka tidak mustahil untuk kita menghafaz Al Quran dalam tempoh lebih kurang 20 tahun jika kita berusaha menghafaznya hanya satu ayat satu hari..360 ayat selama 1 tahun..3600 ayat selama 10 tahun dan 6236 ayat selama 17 tahun.

Apa yang penting ialah keazaman dan kesungguhan untuk menjadi seorang Hafiz biarpun usia sudah meningkat. InsyaAllah jika kena cara dan kaedahnya beserta doa kepada Allah moga kita mampu menghafaz Al Quran suatu hari nanti.

Buat masa ini saya menggunakan kaedah Maahad Tahfiz Bistari berdasarkan buku yang dikarang oleh Pengetuanya Ustaz Muhammad Farhan AL Hafiz (bekas Mubaligh Kristian). Sejak menggunakan kaedah ini saya berjaya menghafaz beberapa surah panjang dalam Juz Amma dan kini dalam proses menghabiskan surah Al Kahfi.

p/s : InsyaAllah jika ada kesempatan saya akan mencoretkan panduan menghafaz Al Qur’an berdasarkan buku tersebut untuk dikongsi bersama pembaca blog ini.

(Tulisan ini adalah arkib Februari 2009)

Moga Hijrah Ini Barakah



Aku akan berhijrah
Ke satu daerah
Kerana di sini terasa payah
Walaupun ku cuba menongkah
Badai dan angin yang penuh gelisah
Harapan di sini terasa punah

Moga di sana nanti
Aku bisa melihat sirna yang cerah
Bisa membuang segala gundah
Mengutip mutiara ilmu dan pengalaman
penuh tabah penuh hikmah

Moga di daerah itu
Aku bisa membuka lembaran baru
Dalam mencari arah tuju
Menuju puncak jaya
Di alam rimba kerjaya

Lebih sedekad telah kuredah
Lebih sedekad lagi
Harus ku tempuhi
Sebelum aku bisa bersara
Jika ada usia..

Ku pohon padaMu Ya Allah
Kurniakan aku cahaya hikmah
Buat menjadi penyuluh
Berikan aku obor semangat
untuk kembali menanam tekad
dalam baki kembara
di alam yang fana

Ku berdoa padaMu Ya Allah
Moga Hijrah ini Barakah

Abu Aslam
Putrajaya
31 Mac 2009

(Puisi ini adalah Arkib 2009 - Sempena penghijrahan saya di alam pekerjaan setelah 14 tahun bekerja di Loji Air Sg Semenyih)

Mengenang Syeikh Ahmad Yassin Dalam Perjuangan Mempertahankan Bumi Palestin



Alhamdulillah kami telah dianugerahkan anak lelaki yang keempat pada  7 Ogos 2006. Saya dan isteri bersetuju untuk menamakan anak keempat kami dengan nama Ahmad Yasin Nazri sempena memperingati pengorbanan Syeikh Ahmad Yassin dalam mempertahankan bumi Gaza Palestin daripada pencerobohon pihak Zionis Israel.

Nama Ahmad Yasin Nazri adalah gabungan empat nama insan hebat iaitu Nabi Muhammad S.A.W, Syeikh Ahmad Yassin, Bapa saya, Haji Najri b. Abu Bakar dan bapa mertua iaitu Haji Ahmad Bin Din.



Berikut adalah kisah tentang Syeikh Ahmad Yassin buat tatapan bersama. Semoga ia menjadi inspirasi kepada anak anak kami (Aslam, Anas, Asri, Yasin) dan kita semua dalam memperjuangkan dan mempertahankan negara Islam.

Mengenang Syeikh Ahmad Yassin (1938-2004)

Syeikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampong bernama al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Dia
telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin. Dia dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.

Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya
beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau
juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, di mana beliau telah
terjatuh ketika sedang beriadah yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.

Keadaannya yang lumpuh itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan
kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti
Islam. Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain
Shams di Kaherah. Pengajiannya di universiti tersebut walaubagaimanapun
tidak sampai ke hujungnya apabila beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966.

Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa
Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak
sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam
pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan Islam dan dakwah Islamiyyah.

Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif
memperjuangkan Islam sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di Masjid
Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di
kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Selain daripada dua tugas utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah
menyaksikan jasa Ahmad Yassin sebagai pekerja kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan Islam. Hasil dari usaha tersebut, sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang hebat di kawasan Gaza.

Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama 'Mujamma al-Islam'.

Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di
Palestin lebih memaksa umat Islam di sana untuk berjihad, beliau dan
beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai 'al-Mujahidun al-Filastiniyun' pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan Kataib Syuyukh yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka.

Bagi Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak menghalang dirinya dari usaha mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.

Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat
Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim
Zionis diatas tuduhan memilki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.

Melihatkan kepada kondisi Negara-Negara Arab yang tidak lagi berminat untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan Islam yang dikenali sebagai HAMAS pada tahun 1987.

HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru, iaitu dengan
mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama 'Atfal Hijarah' (Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis.



Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini
dikenali sebagai 'Intifadah'. Kesan dari 'Intifadah' ini amat hebat, pihak
tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan-tindakan drastik sebagai tindakbalas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.

Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah
merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18.5.1989 beliau bersama ratusan anggota
pergerakan HAMAS yang lain telah dipenjarakan kerana kejayaan
operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam usaha
membunuh tentera-tentera dan komando-komando Israel.

Sekali lagi mahkamah tentera Israel pada 16.10.1991 telah menjatuhkan
hukuman 15 tahun penjara ke atas Syeikh Ahmad Yassin di atas sembilan
pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera-tentera Zionis.

Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga mengalami kehilangan penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masaalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya.

Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga hadapan pada abdomennya. Keadaan kesehatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pada 13.12.1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib
al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan
pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Syeikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur.

Pihak rejim Zionis walau bagaimanapun menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh berserta dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang Palestin telah mati syahid di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.

Pada 1.10.1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara
kerajaan Jordan dengan rejim Zionis, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya
dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan.

Sejurus pembebasannya, Syeikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya.

Sekali lagi Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat Palestin untuk bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah.

Hasilnya pelbagai usaha dilakukan oleh pihak rejim demi mengekang kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang bandar-bandar, membunuh orang-orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang-pejuang Palestin dan pemimpin- pemimpin mereka.

Hasil dari kegiatan tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah
berjaya menemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab dan lain-lain lagi.

Syeikh Ahmad Yassin juga tidak terlepas dari usaha jahat tersebut, seperti
yang berlaku pada 6.9.2003 bilamana sebuah helikopter Apache milik tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Ahmad Yassin, mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Begitu juga apa yang dialami oleh Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang telah dibedil keretanya ketika beliau di dalam perjalanan.

Namun, pada subuh 22.3.2004, mereka sekali lagi menyerang Syeikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari masjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas Syeikh yang lumpuh itu telah berjaya mengorbankan diri Ahmad Yassin dan empat yang lain termasuk anaknya.

Semoga Allah merahmati ruh al marhum Syeikh Ahmad Yasin dan para pejuang Palestin yang syahid dijalan Allah.

Sumber Rujukan : Pertubuhan Islam  HALUAN Malaysia

Isu LGBT Di Malaysia - Utamakan Pematuhan Undang-Undang Syariah Berbanding Hak Asasi Manusia



1.0 Pengenalan - Sistem Perundangan Di Malaysia

Sistem Perundangan di Malaysia merupakan sistem yang sangat unik kerana ia melaksanakan sistem dwi perundangan yang terdiri dari perundangan sivil dan syariah. Perundangan Syariah yang dilaksanakan di Malaysia terdiri daripada dua kategori iaitu undang undang Mal dan undang undang Jenayah.

Undang undang Mal ialah undang undang yang mengawal hak dan tanggungan(liability) sivil antara seorang individu dengan individu lain atau masyarakat. Manakala undang undang jenayah adalah undang undang yang mengawal dan menghukum perlakuan yang dianggap salah di sisi prinsip serta perundangan jenayah syariah yang dilakukan oleh individu terhadap individu lain atau masyarakat. Ia merupakan satu cara bagaimana perilaku individu dalam masyarakat dikawal. Dalam erti kata lain, sekiranya sesuatu perlakuan yang melanggar undang undang jenayah syariah maka orang itu bertanggungjawab dan akan dihukum.

Setiap individu dalam masyarakat Islam dituntut melaksanakan undang undang Islam ini, tidak melanggari batas batasnya dan tidak menyalahi hukum hukumnya. Pada prinsipnya perlaksanaan ini hendaklah dilakukan dengan rela hati, bukan dengan kekerasan dan paksaan. Ini jelas dapat difahami dari tabiat seorang muslim itu sendiri.

Apabila dia beriman kepada Allah sebagai tuhannya, Islam sebagai cara hidupnya, dan Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasulnya, maka keimanannya itu sendiri menuntut dia reda dengan hukum hukum Islam dan melaksanakannya dengan rela hati. Justeru pelengkap kepada pelaksanaan syariat Islam ini adalah perundangan syariah yang sedang dilaksanakan di Malaysia.

Pewujudan dan penggubalan undang undang ini adalah sangat perlu sebagai sempadan atau garisan pembatas antara kehidupan manusia dan perlakuan jahat atau tidak baik yang jelas bertentangan dengan hukum syarak dan prinsip prinsip kehidupan.

Gejala perlakuan dan tabiat yang bertentangan dengan sistem kehidupan normal seseorang manusia telah menjadi suatu perkara yang biasa di dunia amnya dan Malaysia khasnya. Malah perkara ini diperjuang diperingkat antarabangsa menerusi United Nation Human Right Convention (UNHRC) dan disokong oleh negara besar dunia. Gejala lesbian gay biseksual dan transgender (LGBT) telah menjadi cara hidup yang diterima oleh masyarakat luar dan kini sedang meresap masuk ke ruang atmosfera kehidupan masyarakat Islam di Malaysia.

Gejala ini wajib dibendung bagi menjamin kelestarian kehidupan sosial masyarakat di Malaysia. Fenomena LGBT telah lama bertapak di Malaysia sehingga terdapat pelbagai organisasi dan pertubuhan yang ditubuhkan secara tersusun dan terancang. Perkembangan perkara ini semakin rancak apabila golongan ini diberi pendedahan mengenai hak hak mereka sepertimana hak yang diberi di negara negara luar. Pelbagai isu dan masalah timbul akibat tuntutan hak oleh golongan ini.

Sejajar dengan perkembangan kumpulan kumpulan LGBT di Malaysia, maka timbullah beberapa isu yang mengancam nilai agama, akhlak dan prinsip dan perundangan jenayah syariah. Antara isu utama perlakuan LGBT ialah ia bertentangan dengan agama Islam sebagai agama persekutuan. Disamping itu wujudnya petembungan antara undang undang Syariah di Malaysia dengan keputusan undang undang antarabangsa yang telah diratifikasi oleh Malaysia sejak sekian lama.

Selain itu wujudnya campurtangan perundangan sivil di dalam hal ehwal berkaitan agama Islam di Malaysia berikutan isu LGBT. Ini telah menyaksikan bagaimana bidang kuasa mahkamah sivil telah dipergunakan oleh golongan ini untuk memohon agar undang undang syariah diisytiharkan sebagai tidak sah. Ini sekaligus telah memberi gambaran negatif bahawa undang undang undang syariah yang sedang berkuatkuasa tidak berkesan untuk membendung isu ini. Bahkan kewujudan perundangan syariah tersebut hanyalah sebagai symbol adanya perundangan dan hukuman berkaitan kesalahan tersebut yang sukar untuk dilaksanakan.

2.0 Definasi LGBT

LGBT adalah singkatan bagi lesbian, gay, biseksual dan transeksual. Sestengah pihak menambah akronim ini kepada LGBTIQ dimana I untuk intersex dan Q untuk queer. Lesbian merujuk kepada wanita yang mempunyai daya tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya atau disebut juga perempuan homoseksual.

Gay ditakrifkan sebagai lelaki yang mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya dikenali dengan istilah lelaki homoseksual. Biseksual pula ialah seorang yang cenderung untuk melakukan hubungan seks dengan lelaki dan juga wanita.

Transeksual atau Mukhannath ialah seorang lelaki atau perempuan yang berperasaan dan berpenampilan sebagai anggota jantina yang satu lagi, dan kadang kadang menukar organ jantinanya melalui pembedahan.
Secara umumnya semua takrifan mengenai LGBT adalah berkaitan dengan amalan homoseksual.

Manakala golongan transeksual perlu dilihat secara berasingan berdasarkan situasi tertentu seperti khuntha, mak nyah dan pengkid. Sebutan penuh LGBT adalah merujuk kepada Gerakan Homoseksual yang mendedahkan mereka kepada pelacuran/homoseksualiti dan jangkitan HIV/AIDS.

3.0 LGBT Di Malaysia

Peringkat awal kewujudan golongan LGBT di Malaysia bermula dengan kewujudan pondan dan maknyah sekitar tahun 1980 an. Persidangan Majlis Raja Raja kali ke 126 pada 13 Disember 1989 telah memfatwakan LGBT sebagai perlakuan yang haram untuk diamalkan sebagai gaya hidup. Rentetan dari pewartaan fatwa ini telah menghalang mana mana individu membuat permohonan menukar jantina pada dokumen pengenalan diri.

Masyarakat Malaysia sangat sensitif dengan gaya hidup yang menyalahi tuntutan agama dan tatasusila budaya timur apatah lagi dengan perlakuan yang menyalahi tabie manusia. Oleh itu golongan LGBT mendapat kecaman yang hebat dari masyarakat Islam di Malaysia. Walaupun mendapat berbagai kecaman golongan namun golongan LGBT dilihat terus berkembang dan menjadi semakin kompleks.

Gerakan LGBT merupakan gerakan diskriminasi bentuk baru atas nama hak asasi manusia (HAM) untuk mempertahankan perbuatan mereka. Tindakan golongan ini bukan sahaja mencerca kesucian agama Islamdan perundangan Malaysia, malah menggugat ketenteraman awam dan keamanan agama.

Malaysia secara konsisten melaporkan isu LGBT dan hak asasi manusia ini kepada Semakan Berkala Sejagat atau Universal Periodic Review (UPR) di Geneva, Switzerland bagi menunjukkan bahawa Malaysia sememangnya menjaga hak asasi setip golongan dinegara ini berdasarkan peruntukan undang undang negara dan juga perundangan syariah yang sedang berkuatkuasa.

UPR ialah proses melibatkan semakan terhadap rekod hak asasi manusia dalam kalangan193 negara ahli Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB). Ia dijalankan oleh kumpulan kerja UPR yang merangkumi 57 negara ahli Majlis Hak Asasi dan negara ahli PBB lain boleh melibatkan diri dalam perbincangan dan dialog berhubung negara yang disemak. Semakan tersebut dibuat berdasarkan 3 sumber iaitu Laporan Negara, Laporan PBB dan Laporan Masyarakat Madani atau CSO ( Civil Society Organisation) seperti COMANGO (Coalation of Malaysian NGOs in the UPR process). Semua Negara telah menjalani Pusingan Pertama UPR. Pusingan kedua UPR bermula sejak 2012.

4.0 Pengharaman Perlakuan LGBT dari Perspektif Islam

Sesungguhnya Allah menjadikan makhluk berpasang pasangan dan fitrahnya akan tertarik kepada jantina yang berlainan. Peraturan dan fitrah ini tidak hanya ditentukan kepada manusia, malah kepada binatang dan tumbuh tumbuhan.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah, haiwan mendatangi jantina sesame jenis begitu juga tumbuhan. Tetapi sejarah manusia melakarkan perbuatan tidak bermoral dan melanggari fitrah sepertimana yang berlaku di zaman Nabi Luth as sehingga Allah SWT menurunkan bala yang dahsyat disebabkan oleh kerosakan dan maksiat yang dilakukan oleh manusia pada masa tersebut.

Hari ini sejarah kembali berulangyang mana perlakuan tersebut dianggap normal dan diterima oleh masyarakat. Malah sesetengah Negara membenarkan perbuatan ini secara sah di sisi undang undang dan pasangan sejenis diberi kebenaran untuk berkahwin.

Antara dalil menunjukkan perbuatan LGBT haram di sisi Islam adalah seperti berikut:

1. Dalil dari Al Quran : “Dan Nabi Luth kita ia berkata kepada kaumnya : Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun di dunia ini? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsumu bukan kepada wanita, bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas".

2. “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan kamu? Dan kamu tinggalkanapa yang diciptakan oleh tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri isteri kamu? Kamu orang orang yang bersalah, bahkan kamu ialah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)"

3. Hadis riwayat Ibnu Abbas : "Sesiapa yang engkau dapati mengerjakan homoseksual maka bunuhlah kedua dua pelakunya"

4. Hadis dari Abu Hurairah (r.a) berkata “ Rasulullah saw melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki"

5. Hadis riwayat Ibnu Abbas : “Allah SWT melaknat sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth (Baginda mengulanginya 3 kali"

6. Diriwayatkan dari Imam Baihaqi dari Abi Musa Al Asy’ari (ra) : Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda : “Apabila seorang lelaki mendatangi lelaki maka mereka berdua berbuat zina, dan apabila seorang wanita mendatangi wanita maka mereka berbuat zina".

7. Ijma’ Ulama' bersepakat bahawa perlakuan zina, liwat dan musahaqah yang dikaitkan dengan perlakuan lesbian, gay, biseksual adalah termasuk dalam dosa besar dan pelakunya wajib bertaubat. Ulama juga berpendapat bahawa homoseksualiti suatu jenayah yang boleh dikenakan hukuman demi menjaga kepentingan diri dan masyarakat. Walaubagaimanapun, perbezaan pandangan timbul mengenai bentuk hukuman samada hudud atau dibuang negeri.

Islam memandang isu melakukan perubahan kepada diri atau badan sebagai perkara yang bercanggah dengan agama Islam. Pembedahan untuk menukar jantina samada daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya jelas bercanggah dengan hokum syarak. Perbuatan ini adalah haram kerana ia semata-mata mengikut hawa nafsu, terpedaya dengan godaan syaitan, tidak mensyukuri nikmat kejadian diri dan termasuk dalam kategori mengubah kejadian Allah SWT.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah mengeluarkan beberapa fatwa berkaitan perlakuan LGBT ini. Antaranya ialah :

1. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke 4 pada 13 hingga 14 April 1982 telah membincangkan Pertukaran Jantina dari Lelaki Kepada Perempuan dan memutuskan bahawa:

a) Pertukaran jantina lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram di segi syarak.

b) Seseorang yang dilahirkan lelaki hukumnya tetap lelaki walaupun ia berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan.

c) Seseorang yang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun ia berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan

d) Seseorang yang dilahirkan khunsa musykil iaitu manusia yang dilahirkan mempunyai dua alat kemaluan lelaki dan perempuan, diharuskan melakukan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar benar berfungsi dan dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai.

Keterangan Fatwa

a) Perbuatan menukar jantina samada dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya akan melibatkan implikasi hokum dari segi syarak berkaitan perkahwinan, perwalian, ibadat, kematian dan hal hal berkaitan, kerana perbuatan menukar jantina tersebut adalah jelas dilarang dan diharamkan oleh agama Islam.

b) Lelaki atau perempuan yang tidak nyata alat sulit kelamin (Khunsa Musykil) mereka samada lelaki atau perempuan adalah diharuskan melakukan pembedahan.

5.0 Perlakuan LGBT dari Perspektif Undang Undang Syariah

Perlakuan LGBT merupakan suatu kesalahan di bawah undang undang Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri, peruntukan kesalahan adalah seperti berikut :

1. Liwat
2. Lelaki berlagak seperti perempuan
3. Perempuan berlagak seperti lelaki
4. Musahaqah
5. Perhubungan jenis luar tabie
6. Pondan
7. Hubungan jenis antara orang sama jantina

Peruntukan peruntukan di atas adalah merangkumi semua peruntukan yang ada di dalam akta, enakmen dan ordinan di negeri negeri seluruh Malaysia. Sebagai contoh peruntukan di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1997 adalah seperti berikut :
Seksyen 25. Liwat

Mana mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana mana kombinasi hukuman itu.

Seksyen 26. Musahaqah

Mana mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana mana kombinasi hukuman itu.

Seksyen 28. Orang Lelaki berlagak seperti perempuan

Mana mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua duanya.

6.0 Kes Muhammad Juzaili Bin Mohd Khamis Dan Lain-lain lawan Kerajaan Negeri Sembilan dan Lain lain.

Kes yang menggemparkan masyarakat Islam dan mencabar perundangan syariah dapat dilihat dalam kes Muhammad Juzaili Bin Mohd Khamis Dan Lain-lain lawan Kerajaan Negeri Sembilan dan Lain lain.
Dalam kes ini perayu telah merayu keputusan terdahulu oleh Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk membuat semakan kehakiman bagi mengisytigarkan bahawa seksyen 66, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 adalah terbatal kerana bertentangan dengan Perkara 5(1), 8(1) dan (2), 9(2) dan 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 66. Lelaki berlagak seperti perempuan.

Mana mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua duanya.

Fakta di dalam kes tersebut ialah ketiga tiga perayu adalah lelaki, beragama Islam dan menghadapi ‘a chemical condition’ yang dikenali sebagai ‘Gender Identity Disorder’ (GID)’. Oleh sebab keadaan itu mereka berkelakuan seperti perempuan semenjak muda termasuk memakai pakaian perempuan dan mengenakan solekan wajah (make up). Malahan mereka merasakan perbuatan perbuatan tersebut adalah azali.

Mereka telah ditangkap oleh Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Sembilan (PPA), dihadapkan ke Mahkamah Syariah Negeri Sembilan dan dihukum dibawah seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (EJSNS). Merasakan mereka diadili secara tidak adil dan dihina, permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Syariah telah dibuat kepada Mahkaman Tinggi Negeri Sembilan. Namun permohonan mereka telah ditolak.

Ekoran daripada keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan tersebut, perayu sekali lagi membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan. Mahkamah telah membenarkan rayuan mereka dan membuat keputusan mengisytiharkan seksyen 66 EJSNS adalah tidak sah dan terbatal. Kes ini dirayu semula ke Mahkaman Persekutuan dan mahkamah telah mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta mengisytiharkan bahawa semakan kehakiman oleh pihak responden adalah tidak kompeten di atas alasan bahawa prosedur substantif yang digunakan adalah tidak selari dengan Perkara 4 (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan.

Kes ini telah memberi satu impak yang besar di dalam sejarah perundangan Islam di Malaysia berkaitan isu LGBT. Peruntukan yang sama berkaitan LGBT di lain lain negeri sudah pasti terkesan dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan dan terdedah kepada pembatalan. Kesan Besarnya adalah, golongan ini akan mendabik dada dengan bebas mengamalkan gaya hidup mereka tanpa risau akan ditangkap atau diganggu.

Akhirnya negara Malaysia mungkin akan menjadi sebuah negara Islam yang hanya bertopengkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan: Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.

(1) Islam adalah agama bagi persekutuan;tetapi agama agama lain boleh diamalkan dengan aman damai dimana mana Bahagian Persekutuan.
Namun keputusan Mahkamah Persekutuan sedikit melegakan kita walaupun ianya masih lagi memberi tanda Tanya kepada masyarakat sama ada Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) khususnya dan Jabatan Agama Islam seluruh Malaysia amnya boleh menguatkuasakan seksyen berkiatan LGBT ini atau tidak.

Mahkamah Persekutuan hanya membuat keputusan berkaitan isu teknikal. Manakala persoalan undang undang yang ditimbulkan oleh perayu iaitu samada seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bertentangan dengan Perkara 5(1), 8(2), 9(2) dan 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan atau tidak, tidak dijawab dengan jelas.

Walaubagaimanapun, secara tersiratnya boleh diandaikan bahawa alasan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan kehakiman adalah disebabkan kerana seksyen 66, EJSNS 1992 sebenarnya tidak bertentangan dengan Perkara 5(1), 8(2), 9(2) dan 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

7.0 Cabaran Penguatkuasaan Yang Dilontarkan oleh Para Aktivis Ala Barat

Tindakan penguatkuasaan terhadap peruntukan peruntukan berkaitan kesalahan LGBT telah menempuh banyak cabaran sehingga peruntukan peruntukan tersebut dicabar kesahihannya di Mahkamah tertinggi negara oleh pihak pihak berkaitan. Tindakan mencabar kesahihan peruntukan di dalam Undang Undang Syariah dilihat semakin popular dan ia sudah pasti didokong oleh pihak luar yang mahukan perundangan syariah di negara ini dimansuhkan.

Banyak perdebatan dan perbincangan yang membincangkan mengenai seksyen 66 EJSNS 1992, sama ada ia melanggar hak asasi manusia yang diperuntukkan di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya:

Perkara 5 . Kebebasan Diri. Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang undang.
Di dalam beberapa kes, isu ini masih lagi tidak dibicarakan kerana pemohon pemohon telah membuat permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan undang undang berkaitan sekaligus mencabar dan mempertikai kuasa badan perundangan negeri untuk menggubal undang undang bagi negeri negeri berkaitan.

Tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa negeri bagi menguatkuasakan peruntukan peruntukan berkaitan LGBT kini kerap kali diganggu dan dicabar oleh pihak pihak aktivis serta pertubuhan pertubuhan ala barat yang mempunyai agenda tersendiri. Tuduhan demi tuduhan oleh pihak tertentu bahawa Malaysia tidak mematuhi hak asasi manusia dengan membuat larangan terhadap perlakuan golongan LGBT melalui penggubalan dan penguatkuasaan undang undang jenayah Syariah adalah tidak berasas.

Ini kerana Malaysia hanya menerima dan meratifikasi sebahagian peruntukan sahaja di dalam perjanjian berkaitan hak asasi manusia dan mengambil tindakan berkecuali terhadap sesetengah peruntukan termasuklah hak kebebasan LGBT. Saban tahun Malaysia telah membentangkan laporan pelaksanaan terhadap perjanjian berkaitan hak asasi manusia bagi menjelaskan bahawa Malaysia masih mematuhi hak asasi manusia seperti yang termaktub di bawah Perkara 5(1), Bahagian 2 Perlembagaan Persekutuan.

Manakala Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan jelas mengatakan bahawa :
Semua orang adalah sama rata di sisi undang undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang undang. Perkara 8 adalah jelas melindungi hak sama rata jantina lelaki dan wanita. Walaubagaimanapun, hak ini tidak bersifat mutlak, ia bererti Perlembagaan Persekutuan tidak melindungi hak golongan lelaki dan wanita yang mempunyai kecenderungan seks sesama jantina seperti LGBT.

Justeru , bagi lelaki dan wanita yang mengamalkan cara hidup sedemikian, hak mereka sebagai lelaki atau wanita tetap dilindungi oleh perlembagaan, tetapi kecenderungan seks mereka terhadap sesama jantina tidak dilindungi kerana ia jelas menyalahi agama Islam dan agama lain. Jika dibenarkan, ia boleh mencetus suasana yang akan menyebabkan kekeliruan, kacau bilau dan huru hara dalam masyarakat Negara ini. Selain itu ia juga boleh dilihat sebagai tidak menghormati dan mencabar kedudukan Islam sebagai agama Negara di bawah Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

8.0 Kesimpulan

Golongan LGBT harus dikawal dan dicegah melalui pelaksanaan undang undang jenayah syariah di Malaysia. Tindakan tegas dan berhikmah perlu diambil agar golongan ini tidak terus memperlekeh dan menghina perundangan syariah di Malaysia.

Selain itu aspek dakwah dan kaunseling juga wajar dijalankan oleh pihak berkuasa agama dan NGO Islam. Usaha beberapa negeri memberi peruntukan zakat dalam asnaf Ar Riqab kepada golongan LGBT yang insaf dan ingin keluar dari amalan LGBT dilihat sebagai usaha yang baik namun ia harus diteliti agar ia tidak disalaherti oleh masyarakat sebagai menggalakkan amalan LGBT. Justeru bantuan tersebut boleh disalurkan melalui pertubuhan NGO Islam dan dakwah yang aktif membantu golongan LGBT kembali kepangkal jalan.

9.0 Rujukan

1.0 Mahfudzah Mohamad, Jurnal Undang Undang Malaysia terbitan UKM
2.0 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1997
3.0 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan), 2004

(Tulisan ini adalah salah satu tugasan saya semasa mengikuti pengajian Diploma Siswazah Pengajian Islam di USIM)

Pernikahan Rasululullah Dengan Sayyidatina ‘Aisyah - Antara Hikmah & Persoalan



Viral baru baru ini di media sosial seorang pengguna FB berbangsa Cina dan dipercayai Beragama Kristian menulis satu hinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w, dihina sebagai orang tua gatal atau gila seks yang berkahwin dengan budak (pedofil). Sudah semestinya perkara ini membangkitkan kemarahan orang Islam.

Islam agama universal dan sentiasa mengajak umatnya berlemah lembut dan bermahabbah, tiada permusuhan dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh terbaik. Malah baginda Rasulullah s.a.w diletakkan sebagai 100 orang paling berpengaruh di dunia dan menduduki carta pertama sebagai manusia paling hebat dan memiliki akhlak yang cukup terpuji dan tiada cacat celanya. Namun baru baru ini akhlak dan keperibadian Rasulullah bagaikan dicalar oleh bukan muslim. Atas nama FB seorang individu beragama Kristian telah menyentuh tentang soal perkahwinan Baginda dengan isteri dikasihi baginda, ‘Aisyah r.a.

Kenapa 'Aishah menikahi Nabi Muhammad pada usia muda?
Orang terfikir dan mempersoalkan, adakah Nabi Muhammad s.a.w menikahi sorang kanak kanak? Adakah ini amalan biasa 1400 tahun dahulu? Apakah hikmah di sebalik semua ini?

Berdasarkan kitab-kitab sirah dan kitab kitab hadis, termasuk Sahih Bukhari dan Muslim yang telah disepakati ulamak sejak dahulu jelas mengatakan bahawa umur ‘Aisyah R.A ketika dikahwini oleh Rasulullah s.a.w ialah pada usia 6 tahun dan telah bersama sebagai suami isteri ketika usia beliau 9 tahun.

Syeikh Sofiyyur-Rahman al Mubarakfuri, di dalam kitabnya ar Rahiq al Makhtum yang memenangi tempat pertama peraduan menulis sirah secara ilmiah dan kajian yang kritis, yang dianjurkan oleh Rabitah al Alam al Islami (diisytiharkan pada bulan Syaaban 1398 hijriah) menyatakan bahawa Nabi saw mengahwini ‘Aisyah r.a yang berusia enam tahun pada bulan Syawal tahun ke 11 bi’thah (diutus menjadi Nabi), dan membina kehidupan sebagai suami isteri di Madinah pada bulan Syawal tahun pertama selepas hijrah. Ketika itu ‘Aisyah r.a berusia sembilan tahun.

Kitab kitab hadis melaporkan ‘Aisyah r.a sendiri mengisahkan perkahwinannya dengan Nabi s.a.w dengan katanya :

“ Ibuku Ummu Ramman datang kepadaku, ketika itu aku sedang bermain buai dengan kawan-kawanku. Dia memanggilku. Akupun datang kepadanya sedangkan aku tidak mengetahui apa yang hendak dilakukannya terhadapku. Dia memimpinku hingga ke pintu rumah. Aku menarik nafas dalam dalam sehingga jiwaku berasa tenang. Kemudian dia mengambil sedikit air, disapukannya pada muka dan kepalaku. Kemudian dia membawaku masuk ke dalam rumah. Terdapat beberapa orang wanita Ansar di dalam rumah. Mereka berkata “Alal khairi wal barakah waala khair toiri”. Ibuku menyerahkanku kepada wanita wanita itu. Maka mereka mengelokkan keadaanku. Maka tidak ada yang memeranjatkanku kecuali Kehadiran Rasulullah s.a.w di waktu dhuha. Lalu mereka menyerahkanku kepada baginda. Dan aku pada waktu itu berusia 9 tahun.”  (Hadis Riwayat al Bukhari dan Muslim).

Pada zaman itu, perkahwinan wanita pada usia muda dengan lelaki yang tua bukan sesuatu yang mengaibkan. Ia diterima sesuatu yang biasa dan tidak menjadi satu isu yang dipersoalkan. Sebagai contoh, Hafsah bt Umar Alkhattab menjadi janda ketika berusia 20 tahun. Umar menawarkannya kepada Uthman, kemudian Abu Bakar supaya berkahwin dengan puterinya itu padahal Uthman dan Abu Bakar lebih tua daripada Umar r.a. Umar sendiri berkahwin dengan Ummu Khalthum puteri Ali Bin Abi Talib, walhal Ali r.a lebih muda daripada Umar. Namun tiada siapa yang membantah perkahwinan seperti ini.

Sedia maklum, mereka yang memusuhi Rasulullah s.a.w sentiasa mengintai peluang untuk menjatuhkan baginda dan menyekat kemaraan dakwah. Pelbagai usaha dilakukan termasuk mereka reka cerita dan tuduhan tuduhan yang mereka sendiri tidak boleh menerimanya seperti menuduhnya gila, tukang sihir, penyair dan bermacam macam lagi. Anehnya tidak pernah pula mereka gunakan isu perkahwinan Nabi s.a.w dengan ‘Aisyah r.a untuk menuduhnya sebagai lelaki buas, ganas dan mengambil kesempatan terhadap wanita.

Ini menunjukkan bahawa perkahwinan seorang lelaki yang telah berusia dengan wanita muda adalah sesuatu yang lumrah di kalangan masyarakat ketika itu. Kalau tidak, pastinya mereka akan gunakan peluang itu habis habisan untuk mengenakan Nabi dan Islam yang dibawa oleh baginda.

Paling utama perlu diketahui bahawa Islam tidak membenarkan seseorang bernikah dengan seseorang yang belum cukup umur (baligh). Kajian saintifik membuktikan kanak-kanak perempuan mencapai umur baligh dalam rangka umur 9 hingga 15 tahun (LiveScience.com) Bahkan faktor cuaca tempatan juga menjadi faktor utama seseorang kanak kanak perempuan mencapai umur baligh. Jadi adakah Aisyah seorang yang belum baligh, belum cukup umur, belum cukup matang? Tidak, ‘Aisyah r.a sebenarnya sudah cukup umur.

Dan kalau benarlah perkahwinan itu merupakan satu penderaan kepada kanak kanak, kita lihat apa yang tertulis di dalam kitab sirah dan diceritakan sendiri oleh ‘Aisyah r.a. Kalau seseorang perempuan didera dan dipaksa kahwin, sudah tentu dia akan membenci suaminya dan mencari peluang untuk melepaskan diri dari lelaki yang dipaksa kahwin dengannya. Namun apa yang tercatat di dalam sejarah, Aisyah dan Rasulullah s.a.w merupakan pasangan yang sangat intim dan saling cinta mencintai antara satu sama lain. Ini menunjukkan bahawa Aisyah r.a meskipun usianya masih muda, namun beliau merupakan wanita yang pintar dan matang.

Ramai orang tidak mengetahui bahawa di Amerika Syarikat pada 1880, umur minimum untuk bernikah adalah 7 tahun di Delaware dan di California, umur minimum adalah 10 tahun. Bahkan sekarang, umur dibenarkan bernikah adalah 12 tahun di Massachusett, 13 tahun di New Hampshire dan 14 tahun di New York.

Selain itu sejak bernikah pada usia 25 tahun sehingga kematian isteri pertama iaitu Khadijah pada usia Nabi Muhammad s.a.w 54 tahun, baginda hanya memperisterikan seorang isteri iaitu Khadijah sahaja. Ketika pernikahan, Khadijah adalah seorang janda dan bukan anak dara. Ketika pernikahan juga Khadijah berumur 40 tahun iaitu 15 tahun lebih tua berbanding Nabi Muhammad s.a.w iaitu 25 tahun. Ini merupakan salah satu bukti menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w bukanlah seorang yang terlalu mementingkan seks atau gila seks seperti yang dituduh.

Allah lebih mengetahui apa yang terbaik dan semuanya adalah dalam perancangan dan takdir Allah. Pernikahan Nabi Muhammad s.a.w dan ‘Aisyah r.a adalah suruhan dan arahan dari Allah. Sayyidatina ‘Aisyah r.a telah meriwayatkan lebih 2200 hadis daripada Nabi Muhammad s.a.w yang kini menjadi panduan umat Islam. ‘Aisyah r.a adalah seorang yang cukup cerdik, dan disebabkan hubungan rapat dengan Nabi Muhammad sejak kecil itulah ‘Aisyah r.a dapat mempelajari banyak ilmu daripada Nabi Muhammad s.a.w dan akhirnya berperanan penting sebagai guru, pakar dan rujukan dalam Islam.

Seperti yang dimaklumi, Nabi s.a.w diberikan kekhususan daripada umatnya di mana baginda boleh berkahwin lebih daripada empat orang isteri kerana berbagai-bagai sebab. Justeru, isteri-isteri baginda melalui perkahwinan ialah seramai sebelas orang isteri. Di kalangan mereka ada Sembilan orang yang masih hidup semasa kewafatan baginda.

Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah mendidik umat Islam untuk mengikut nafsu, tetapi baginda menyuruh umat mengawal nafsu misalnya dengan berpuasa dan menundukkan pandangan jika tidak mampu berkahwin.

Para sahabat Nabi Muhammad s.a.w menceritakan bahawa baginda adalah seorang yang sangat sopan dan mempunyai sifat malu melebihi sifat malu seorang anak gadis. Nabi Muhammad s.a.w menutup kerana malu apabila ditanya berkaitan perkara sensitif. Nabi Muhammad s.a.w mengajar bahawa agama terletak pada akhlak dan akhlak Islam terletak pada sifat malu dan kesederhanaanya.

Dalam konteks Malaysia beberapa negeri masih berhati hati dalam menetapkan undang undang syariah mengenai perkahwinan dengan kanak kanak bawah umur yang kurang dari 18 tahun.

Ada yang membenarkan dan ada yang tidak membenarkan namun ada juga yang membenarkan secara bersyarat. Ini mungkin disebabkan tekanan dari pihak pejuang wanita dan kanak-kanak serta suasana masa kini yang mana kanak kanak dikira matang setelah berumur 18 tahun ke atas.

Pada pandangan saya perkahwinan dengan kanak kanak yang telah baligh yang berumur 9 tahun keatas perlu dilihat dari aspek hukum dan juga ‘uruf di sesuatu daerah dan negeri. Pihak Jabatan agama perlu menilai dari kedua dua sudut agar ia tidak menimbulkan fitnah dan penindasan kepada kanak kanak. Jika kanak-kanak tersebut telah baligh dan bersedia untuk berkahwin dengan rela hati tanpa paksaan bagi mengelakkan dosa yang lebih besar seperti zina dan masalah sosial maka ia wajar dibenarkan. Bakal suami yang ingin berkahwin perlu dipastikan telus dan tulus ikhlas ingin membantu membela kanak kanak yang telah baligh tersebut dan bukan disebabkan faktor nafsu semata mata.

Perkahwinan di usia muda juga biasa berlaku dalam masyarakat Malaysia sebelum merdeka dan di awal merdeka dan ia menjadi kebiasaan dan tidak dihalang dalam masyarakat kerana dahulu pelajar dikira matang lebih awal dan tidak ramai yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan atas faktor mengejar kerjaya.

Dalam konteks dunia tanpa sempadan kini saya berpendapat juga perkahwinan di awal usia adalah sesuai kepada wanita yang tidak lagi belajar ke peringkat tinggi kerana ia dapat mengelakkan mereka terdedah dengan gejala sosial seperti perzinaan dan pelacuran serta masalah anak luar nikah yang mana statistiknya makin tinggi di Malaysia dari hari ke hari.

Pendekatan yang sederhana dan rasional dalam isu perkahwinan kanak kanak yang telah baligh ini wajar lebih fleksibel dan dilihat secara ‘case by case’ demi kebaikan semua pihak dan berlandaskan kepada salah satu maqasid syariah iaitu menjaga keturunan.

Rujukan :
1. Syeikh Sofiyyur-Rahman al Mubarakfuri, Sirah Nabawiyyah ( Rahiq al Makhtum)
2. Blog Ustazah Maznah Daud dan Media Sosial

(Tulisan ini merupakan antara tugasan saya semasa mengikuti pengajian Diploma Siswazah Pengajian Islam di USIM)