Yasin Kembali Ceria



Tiada apa yang mampu diungkapkan selain lafaz Alhamdulillah kepada Allah yang Maha Berkuasa kerana dengan izinnya jua anak kecil kami semakin sihat dan ceria setelah sembuh dari serangan cacar air kira-kira sebulan yang lalu.

Ahmad Yasin semakin petah berkata-kata dan sering mengajakku untuk berjalan-jalan sekitar rumah dengan menaiki ‘Sang Kancil’ kami. Seperti biasa kami juga turut ke taman permainan kanak-kanak untuk bermain buaian bila ada masa terluang sebelah pagi atau petang.

Berikut adalah beberapa aksi Ahmad Yasin dengan kasut ‘frog’ barunya yang berwarna ungu yang sempat dirakam di hadapan rumah sebelum kami bertolak untuk menghadiri Majlis Hari Penyampaian Hadiah Sekolah Sri Ayesha pada 15 November 2008 lalu.

(Arkib 2008)

Kecuaian Punca Utama Kemalangan Di Jalanraya.

 



Apakah perasaan anda dan apa yang akan anda lakukan jika tiba-tiba seluruh cermin hadapan kereta ditutup dengan sesuatu benda ketika sedang memandu laju di lebuhraya.

Ianya tidak mustahil berlaku ke atas diri kita dan saya telah mengalami pengalaman yang mencemaskan sedemikian semalam.

Ketika dalam perjalanan dari Bangi ke Kuala Lumpur seorang diri tiba-tiba penutup bonet kereta Proton Waja yang saya pandu telah terbuka dan terlipat ke belakang..menutup sepenuhnya cermin hadapan kereta.. saya tidak dapat melihat apa-apa kecuali sedikit bahagian bawah sahaja.

Mujur tiada banyak kereta ketika itu dan saya sempat memaut stering lalu berjaya memandu ke tepi lorong kecemasan dan memberhentikan kereta dengan selamat.

Dalam keadaaan cemas dan termangu-mangu saya berjaya keluar dari kereta dan menutup kembali penutup bonet yang terbuka yang telah menghempap cermin hadapan menyebabkan cermin tersebut retak di beberapa bahagian.

Mujur juga saya ada menyimpan Nombor Bebas Tol PLUS dalam telefon bimbit dan menelefon pihak PLUS dan setelah 15 minit menunggu akhirnya bantuan dari Peronda Lebuhraya tiba.

Pada mulanya saya agak terkilan dengan kereta buatan Malaysia (Proton) tetapi setelah menyiasat puncanya rupa-rupanya adalah kerana salah seorang anak saya yang berumur 8 tahun ada bermain di dalam kereta pada hari sebelum kejadian dan telah tertarik butang pembuka bonet tanpa saya dan isteri sedari.

Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana masih memanjangkan umur saya..saya tidak dapat membayangkan apa akan berlaku jika ketika kejadian ada kereta berhampiran kereta saya..atau ketika waktu malam..atau ketika melalui jalan yang berselekoh..mungkin saya akan terlanggar kereta lain atau terbabas..atau..kemalangan ngeri akan berlaku..

Pengajarannya ialah jangan biarkan anak-anak bermain dalam kereta, kunci kereta anda ketika berada di rumah dan periksa penutup bonet,tayar dan lampu isyarat sebelum memulakan perjalanan. Selain itu pihak Proton juga mungkin boleh menambah lampu@ amaran keselamatan jika bonet hadapan tidak tertutup rapat.

Selain itu jangan lupa menyimpan No. telefon bebas tol PLUS 1800880000 untuk meminta bantuan kecemasan atau hubungi 103 (Operator) TM untuk mendapatkan no.tel Polis trafik terdekat bagi membuat laporan.

Dalam pada itu jangan lupa memulakan pemanduan dengan membaca doa menaiki kenderaan dan doa keselamatan serta dijauhkan bala bencana sepanjang permusafiran menuju ke destinasi dan perjalanan kembali ke rumah. Semoga Allah melindungi kita dari terlibat dengan nahas kemalangan jalanraya Aamiin Ya Rabbal 'Alamin.

(Arkib 2008)

Bulat Air Kerana Pembetung, Bulat Manusia Kerana Muafakat



Hari ini saya bekerja seperti biasa walaupun hari Sabtu (Sabtu Minggu Kedua setiap bulan). Sektor kerajaan telah memulakan sesi kerja 5 hari seminggu namun pihak swasta masih ada yang bekerja pada hari Sabtu. Biasanya hari Sabtu sebegini diisi dengan aktiviti sosial dan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja seperti ceramah agama, ceramah kesihatan serta senamrobik.

Sempena tahun baru 2008 maka Pengurus Besar Operasi Konsortium ABASS Sdn. Bhd. menyampaikan amanat mengenai prestasi 2007 serta matlamat untuk 2008. Sebelum memulakan sesi taklimat, seperti biasa saya diarahkan untuk membaca doa selamat sempena tahun baru Hijriah 1429 dan Tahun Masehi 2008.

Antara amanat dan ucapan Pengurus Besar Operasi yang sempat saya rakamkan dalam kotak fikiran saya ialah :

Syarikat berjaya mencapai matlamat pengeluaran air bersih pada kadar 570 juta liter sehari (JLH), serta tidak mengalami sebarang gangguan operasi loji disebabkan masalah kerosakan mesin dan jentera atau pencemaran air.

Menurut beliau lagi 57% pekerja mencapai tahap cemerlang (markah melebihi 85%) dalam prestasi pekerja tahun 2008 termasuk diri saya sendiri insyaAllah.

Selain itu syarikat berjaya memperolehi Anugerah ‘Silver Award’ Persatuan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), ISO 22000 untuk Pembotolan Air Beralkali serta memperolehi ‘4 Star’ untuk ‘Safety Excellent Management System (SEMS)’.

Syarikat juga berjaya mengekalkan persijilan ISO 9001:2000 dan Akreditasi Makmal ISO/IEC 17025 : 2005.

Untuk Tahun 2008 syarikat mensasarkan untuk menambah satu lagi persijilan iaitu berkaitan sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan ISO 18001.

Pengurus Besar Operasi gembira dengan pencapaian dan peningkatan yang ditunjukkan oleh pekerja dan berharap prestasi kerja akan terus meningkat pada 2008.

Semangat kerja berkumpulan seperti pepatah ‘Bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat’ merupakan intipati yang membawa kejayaan di tempat kerja.

(Arkib 2008)

Kembali Ke Sekolah Al Amin



Sesi persekolahan 2008 bermula pada 2 Januari dan 3 Januari 2008. Ibu bapa kembali sibuk menguruskan anak-anak, guru-guru pula dengan tugas mereka untuk mendidik anak bangsa agar menjadi generasi yang berilmu dan berguna. Jalan-jalanraya berhampiran sekolah kembali sesak tidak seperti waktu cuti yang tenang dan selesa untuk digunakan.

Saya dan isteri serta anak-anak juga tidak ketinggalan merasai bahang persekolahan yang bermula. Tahun ini bertambah seorang lagi anak saya yang memasuki alam persekolahan. Ahmad Aslam (Darjah 5), Muhammad Anas (Darjah 3) dan Muhammad Asri ( Darjah 1).

Untuk sesi 2008, Ahmad Aslam dilantik sebagai salah seorang pengawas di Sekolah Sri Al Amin Bangi meneruskan legasi bapanya yang juga pernah menjadi Penolong Ketua murid ketika zaman persekolahan tahun 1982 dahulu.

Saya dan isteri berharap dan mendoakan semoga anak-anak kami mendapat pendidikan yang sempurna samada dari segi akademik dan agama di Sekolah Sri Al Amin sebuah sekolah swasta yang memberi penekanan yang seimbang kearah melahirkan insan rabbani.

Sekolah Sri Al Amin semakin mendapat sambutan ibu bapa sekitar Bandar Baru Bangi dan Serdang untuk menghantar anak masing-masing. Justeru sebuah bangunan baru tiga tingkat telah berjaya dibina bagi menampung jumlah pelajar yang semakin ramai.

(Arkib 2008)

Hargai Masa Kerana 'Masa Itu Emas'

Masa itu emas..
Masa mencemburui kita..
Masa adalah modal kehidupan..
Masa bersifat relatif..

Allah juga bersumpah dengan masa..

“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran..” (Maksud Surah Al Asr)

Dari Ibnu Abbas, Rasulullah telah bersabda yang maksudnya..

“Gunakanlah lima sebelum datangnya lima perkara..masa muda sebelum tua, masa lapang sebelum sibuk, masa kaya sebelum papa, masa sihat sebelum sakit dan masa hidup sebelum mati" (Riwayat Al- Hakim dan Al Baihaqi)

Kini masa begitu pantas berlalu..

“Sehari bagaikan sejam..
seminggu bagaikan sehari..
sebulan bagaikan seminggu..
setahun bagaikan sebulan..”

itulah antara tanda-tanda kiamat makin hampir..ulas Ustaz Fauzi Mustafa (Pengacara Al Kuliyyah TV3) dalam Ceramah Sempena Maal Hijrah di Masjid Al Falah Sg Ramal Dalam pada 4 Muharram 1429H@12 Januari 2008.

Semoga kita dapat memanfaatkan masa yang ada secara bijaksana untuk membanyakkan bekalan samada di dunia yang sementara dan juga akhirat yang kekal selamanya.

Masa lalu adalah sejarah dan kenangan..jadikanlah pengajaran dalam menempuh masa kini dan masa hadapan..dalam perjalanan menuju tuhan.

(Arkib 2008)

Kelebihan Ibadah Korban dan Amalan Di Bulan Zulhijjah.



Musim Haji 1440H tiba lagi tahun ini. Alhamdulillah seramai 7 pasangan di kalangan  ahli kariah Surau Al Amin Seksyen 8 Prima, Bandar Baru Bangi (Surau Jumaat) telah terpilih sebagai tetamu Allah untuk menunaikan rukun Islam kelima.  Setiap tahun pihak Surau akan mengadakan majlis meraikan bakal haji dan memberi sedikit saguhati kepada mereka yang terpilih sebagai tetamu Allah.

Tahniah diucapkan dan didoakan para bakal haji dipermudahkan urusan di Tanah Suci dan dianugerahkan Haji yang Mabrur oleh Allah Yang Maha Pemurah.

Bagi kita yang berada di tanahair, semoga Allah beri kekuatan dan keazaman  untuk  menunaikan amalan-amalan sunat yang lain seperti  berpuasa pada hari wukuf 9 Zulhijjah 1440H dan menunaikan ibadah korban bermula dari 10 hingga 13 Zulhijjah. Selain itu marilah kita membanyakkan amalan bertakbir yang disunatkan pada 10 hingga 13 Zulhijjah.

Tahun ini seperti biasa Surau Al Amin akan mengadakan majlis ibadah qurban secara gotong royong dan sebanyak lima ekor lembu bakal dikorbankankan.

Tahniah dan terima kasih diucapkan buat Datuk  Sabiamad (Pengerusi Surau), Dr Abdul Latif (Timbalan Pengerusi Surau) serta semua ahli jawatan kuasa Surau Al Amin Seksyen 8 Prima, peserta korban dan ahli kariah yang bekerjasama untuk menjayakan ibadah korban pada tahun ini. Semoga ibadah kita akan diterima oleh Allah dan diberi ganjaran berlipatganda.



Bagi memantapkan kembali ilmu dan amal ibadah kita, di bawah ini saya sertakan tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman berkaitan kelebihan amalan di bulan Zulhijjah dan beberapa persoalan hukum fiqh dalam menunaikan ibadah k0rban, isu Haji Akbar dll.

——————————————

KULLU ‘AM WA ANTUM BI KHAIRIN..

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Nabi SAW :

“Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu”                                         (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman :

“Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh” ( Al-Fajr : 1).

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama
hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan.        (Zad Al-Ma’ad, Ibn Qayyim).

Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

“Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya
memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini” (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah,
La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam
Al-Munziri.

Allah SWT juga menyebut ertinya : “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu..” (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah sepuluh hari
Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

“Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah” (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini
menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tasyrik.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : “dan berdoalah dan
berkorban”. (Al Kauthar : 2)

Allah SWT juga menyebut :

Ertinya : “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berqurban) mala ia adalah
dari tanda ketaqwaan hati” (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut :

Ertinya : “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)”            (Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )



POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM KORBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang
mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas’ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

Ertinya : "Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berqurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai qurban dilaksanakan” (Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali
menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah R.A pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Justeru, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

Tidak harus juga berkorban hanya dengan mengeluarkan harganya atau daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya qurban yang disyariatkan di hari raya Eidul adha.

Pahala korban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia
adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik,
Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]

Adalah diingatkan jua agar meniatkan korban itu adalah kerana Allah SWT
semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :

Ertinya : "Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat
mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat
mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik".   (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :

Ertinya : “Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama”.



BINATANG TERBAIK UNTUK QURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri,
kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara
dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :

Ertinya : “Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan
faqir.” (Al-Haj : 28)

dan juga firman Allah :

Ertinya : “Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya danyang tidak memintanya” (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

Bagaimanapun adalah dilarang untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal),
bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau
diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.
Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil
qurban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging qurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.



MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya
HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi
mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]
Namun tanpa khilaf adalah lebih baik untuk mendahulukan umat Islam dalam hal ini.

BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali
setahun demi tawaran pahalanya?.

Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam
berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk menentukan keutamaan
samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan. Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia adamat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut
majoriti mazhab manakala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.
Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN’, hubungan persaudaraan ‘terkorban’, atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?
Jawab ringkas saya: “tidak boleh !”

Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau
untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia.
Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI
menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.
Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang
ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat.

Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan’ lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah
meletakkan secara spesifik 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga
pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi
individu.

APAKAH HAJI AKBAR ?

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar,
beliau menjawab:

“Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama)".                                  (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.
Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7].

Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah,bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya “tiada asalnya”.

Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali R.A pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasyrik).

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Eidul Adha
ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam diseluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya Eidu lfitri akan berterusan. wallahu ‘alam

Oleh : Ust. Zaharuddin Abd Rahman

[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436
[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh
al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas

 

Hidup Ini Seakan Sepagi Atau Sepetang

 



Percayakah kita bahawa hidup di dunia ini ibarat hanya sepagi atau sepetang sahaja. Memang sukar untuk kita mempercayainya namun jika kita renung dan berfikir sejenak sebenarnya memang ada kebenarannya.

Sebahagian usia kita dihabiskan untuk tidur iaitu kira-kira sepertiga umur (8 jam setiap hari). Setelah itu sepertiga lagi (8 jam) digunakan untuk bekerja bagi mencari nafkah di dunia.

Biasanya waktu yang dapat kita nikmati 'sebebas-bebasnya' ialah awal pagi dan lewat petang. Masa yang kita lalui juga begitu pantas berlalu. Pejam celik pejam celik kita bakal menjadi dewasa, berumahtangga, punya anak dan cucu dan akhirnya kembali ke alam yang baqa.

Zaman kanak-kanak, remaja dan zaman belajar seperti baru berlalu dan kini saat  bekerja dan sibuk dengan urusan keluarga masa terasa begitu pantas berlalu. Setahun dirasakan bagi sebulan, sebulan bagaikan sehari dan sehari bagaikan beberapa jam sahaja.

Firman Allah dalam Surah An Naazi'at yang bermaksud :

42. Orang-orang Kafir bertanya kepadamu (Muhammad) tentang hari berbangkit (kiamat), Bilakah bakal ia terjadi?

43. Siapakah kamu (sehingga) dapat menyebutkan (waktunya?)

44. Kepada Tuhanmulah dikembalikan kesudahannya (ketentuan waktunya)

45. Kamu hanyalah pemberi peringatan bagi siapa yang takut kepadanya (hari berbangkit)

46. “Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja) di waktu petang atau pagi hari”.

Justeru kita wajar memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya dengan menambah amal ibadah sebagai bekalan di akhirat sana dan menghindarkan perkara sia-sia dan dosa yang boleh menyebabkan kita terhumban ke lembah neraka.. na'uzubillah.

Antara amalan yang mudah dan berlipatganda ialah membanyakkan membaca dan tadabbur Al Qur'an. Jika kita menghafaz Al Qur'an, ia boleh dibaca saat memandu kereta ketika pergi dan pulang bekerja. Setiap satu huruf diberi 10 pahala oleh Allah Taala.

Selain itu amalan bersedekah/infaq dan berwakaf  juga dapat membantu kita di dunia dan akhirat dengan balasan keberkatan hidup dan pahala yang berpanjangan. Amiin.

(Arkib 2008)