Melayu itu bangsaku
Bangsa yang maju jika bersatu
Bangsa yang mulia jika bertaqwa
Bangsa yang hebat jika di dada ilmu penuh tersemat
Bangsa yang malu biar bertempat
Bangsa yang tidak patut merempat di bumi penuh nikmat
Melayu itu bangsaku
Penuh sopan penuh beradab
Islam dipelihara dijunjung digenggam erat
Hormat Raja Sultan berdaulat
Mencari dunia utamakan akhirat
Mengharap rezeki halal dan berkat
Melayu itu bangsaku
Bila bicara tidak melulu
Bila berhujah tak mudah keliru
Bila bersengketa segera menyatu
Kiambang bertaut setelah biduk berlalu
Melayu itu bangsaku
Usah biar hidup diperalat
Yakin dirimu mampu dan kuat
Memimpin diri juga masyarakat
Kobarkan azam kuatkan tekad
Moga Allah jayakan matlamat.
Abu Aslam
14 Oktober 2019
Bandar Baru Bangi
Pergi Tak Kembali

Awal tahun ini saya menerima tiga berita sedih.
1. Kematian Rakan Sebaya
Seorang sahabat telah pergi menyahut seruan ilahi dalam usia yang boleh dikatakan ‘muda’..37 tahun. Beliau ialah Dr Ozi Shahril (rakan semasa program Matrikulasi (UKM) di Sekolah Alam Shah pada tahun 1989).
Beliau terlibat dengan kemalangan ketika menunggang ’superbike’ pada 1.1.2008 ke Bukit Tinggi, Karak. Beliau dikenali dengan gelaran Dr. Bend di kalangan rakan-rakan ’superbike’.
Saya berkesempatan memberikan penghormatan terakhir dengan menunaikan solat jenazah di Masjid Taman Ehsan Kepong seterusnya mengiringi jenazah beliau ke tanah perkuburan selepas solat Maghrib.
Sedih dan terharu melihat dua anak lelaki beliau (sebaya anak-anak saya) yang turut hadir melihat ayah mereka buat kali terakhir sebelum jasad dikandung tanah. Saya tidak dapat membayangkan apakah perasaan anak-anak saya jika saya ‘di tempat’ allahyarham ketika itu.
Saya hanya mampu bersimpati dan berdoa moga ruh beliau dicucuri rahmat oleh Allah. Semoga isteri dan dua orang anak serta keluarga sentiasa tabah dan sabar atas segala musibah dan ujian dari ALLAH.
2. Kematian Bapa Angkat (Haji Ismail Haji Hasan)
Hari ini saya menerima berita sedih dari abang ipar saya yang tinggal di Alor Star memberitahu bahawa bapa angkat saya di Kampung Kubu Kuala Nerang telah pergi meninggalkan dunia yang fana pada 2.1.2008.
Berita yang diterima agak lambat kerana emak angkat saya kehilangan nombor telefon saya dan saudara mara saya untuk dihubungi.
Saya menjadi anak angkat kepada Haji Ismail dan Hajah Asma ketika menyertai program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) UKM pada tahun 1993. Hubungan mesra saya dan keluarga angkat berterusan hinggalah saya mendirikan rumah tangga. Kali terakhir saya mengunjungi mereka ialah ketika saya mula-mula berumahtangga untuk memperkenalkan isteri tercinta pada tahun 1996.
Ketika ayah saya meninggal dunia emak angkat ada memberitahu bahawa ayah angkat makin uzur dan menderita akibat barah usus. Apa yang menyedihkan dan membuat saya terkilan ialah saya tidak sempat menziarahi ayah angkat hinggalah saat dia pergi bertemu Allah Azzawajalla.
Saya juga mendoakan moga ruh ayah sentiasa tenang dan damai di alam sana sama seperti ruh ayah saya yang telah pergi pada 1 Mei 2007 lalu.
3. Kematian Bekas Rakan Sekerja (Abang Hashim Md Amin)
Abang Hashim telah menemui Allah kerana sakit jantung pada usia 60 tahun pada penghujung tahun 2007 yang lalu. Beliau bersara 5 tahun lalu dan menetap di Cheng, Melaka.
Isteri allahyarham, Kak Yah adalah bekas ‘ibu pengasuh’ kepada 3 orang anak saya ketika kecil di kuarters kakitangan Loji Air Sg Semenyih. Kami pernah berkunjung ke rumah mereka di Melaka kira-kira 3 tahun lalu.
Semoga ruh abang Hashim juga ditempatkan di kalangan hamba yang dirahmati Allah di alam sana.
Yang pergi telah pergi..
dan tak akan kembali lagi..
Buat diri ini yang tinggal…
moga sentiasa bersedia mempersiap diri..
untuk saat yang pasti..
saat yang bernama mati..
namun tarikhnya tidak bisa dipasti..
(Arkib 2008)
Secangkir kopi, kelapa dan ubi

Secangkir kopi, kelapa dan ubi
Inilah makanan tradisi
Juadah enak masih bisa dinikmati
Syukur kepada Allah Maha Terpuji
Secangkir kopi, kelapa dan ubi
Waktu di kampung masih ku ingati
Sarapan pagi atau di petang hari
Hidangan oleh bonda yang dikasihi
Secangkir kopi, kelapa dan ubi
Saling lengkap melengkapi
Hidangan oleh isteri yang ku cintai
Terasa puas di hati
Rezeki dari ilahi
Abu Aslam
Teratak Amnazia
Bandar Baru Bangi
29.9.2019
29.1.1441
Langit Kembali Biru

Langit kembali biru
Jerebu telah berlalu
Syukur kepada Allah Yang Satu
Hadirkan bayu meniup jerebu yang membelenggu
Langit kembali biru
Rasa tenang di kalbu
Melihat indahnya alam ciptaanMu
Menyedut udara yang bersih selalu
Tak mampu ku hitung banyaknya nikmatMu
Langit kembali biru
Hilang rasa rindu
Pada kehijauan pepohon dan bebunga mekar bermadu
Hilang rasa buntu
Tidak lagi termangu di balik pintu
Tidak lagi resah menunggu menghitung waktu
Bilakah jerebu kan pergi dan tak lagi bertamu
Abu Aslam
24 Muharram 1441H
24 September 2019
Tahun Baru Azam Pun Baru

Tahun baru azam pun baru
Ambil yang jernih biarkan yang keruh berlalu
Usah lagu termangu dan lesu
Usah lagi kecewa dan buntu
Tetapkan arah tuju
Rancang strategi baru
Atur langkah yang padu
Usaha tanpa penat dan jemu
Berdoa kepada Allah selalu
Tawakkal setelah itu
Moga kejayaan bersamamu
Di dunia yang kamu sering tertipu
Juga di akhirat destinasi sebenar yang dituju
Abu Aslam
Bandar Baru Bangi
22 Muharram 1441H
Bila Semakin Tua

Bila semakin tua
Masa untuk bersara dari bekerja
Masa untuk berehat buat sementara
Masa untuk lebihkan ibadah kepada Yang Esa
Masa untuk menambah pahala dan mengurangkan dosa
Masa untuk membanyakkan puasa menambah taqwa
Bila semakin tua
Anak-anak sudah berkeluarga
Kembali tinggal berdua
bersama isteri tercinta
Kesunyian mula terasa
Bila semakin tua
Kekalkan kesihatan kita
Bersenam selalu secara berkala
Agar kesihatan sentiasa terjaga
Mudah bergerak ke sini sana
Tanpa bantuan sesiapa
Bila semakin tua
Banyakkan masa bersunyi bersama Yang Esa
Menadah doa, bermunajat mohon keampunan kepadaNya
Agar nanti bila kembali ke alam sana
Dijemput dalam bahagia.. dalam redha Allah Taala
Singgah sementara di barzah pastinya
Sebelum dihisab dan akhirnya moga menuju ke Syurga.
Kembali ke kampung asal nenek moyang kita..Adam dan Hawa.
Abu Aslam
Cyberjaya
18.9.2019
18.1.1441
Jerebu Oh Jerebu

Jerebu oh jerebu
Kau tiba lagi tanpa jemu
Alam seperti berasap kelabu
Tidak terlihat langit yang biru
Pandangan jadi terhad selalu
Cuti sekolah terpaksa diberitahu
Saat bacaanmu melebihi 200 IPU
Jerebu oh jerebu
Bagaikan asap namun tidak berbau
Menyesakkan nafas aku dan kamu
Mengapa kau masih bertamu
Saban tahun menjadi isu
Semoga kau cepat berlalu
Jerebu oh jerebu
Apakah sudah buntu
Di meja rundingan terasa kelu?
Aku kata kamu
Kamu kata aku
Saling menuding namun masalah tetap berlaku
Sudahnya hanya sabar yang mampu
menunggu terus menunggu
Jerebu oh jerebu
Bila manusia pentingkan nafsu
Tamak haloba sudahlah tentu
Hutan dibakar mudahlah kerjamu
Alam sekitar bukan lagi nombor satu
Yang penting kaya yang dituju
Abu Aslam
Cyberjaya
17.9.2019
17.1.1441
Langgan:
Catatan (Atom)