Sungaiku, Hidupku

Dari hulu orang bersampan
Sambil bersampan memancing ikan
Kalau dahulu sungailah rakan
Mengapa kini kita abaikan

Ikat perahu di tepi tebing
Singgah mandi di air jeram
Kalau dahulu berwajah bening
Kini riaknya menjadi suram

Nelayan menjala di tengah hari
Rezekinya murah sebakul penuh
Janganlah sungai kita cemari
Kelak menjadi racun pembunuh

Air pasang di waktu malam
Anak desa mencari lokan
Cintai alam jadikan amalan
Sungaiku, Hidupku kita jayakan

Sumber : Risalah kempen Cintailah Sungai, JPS Malaysia

Jom Cegah Zina

Hari ini saya menerima jemputan melalui Facebook untuk menyertai program Jom Cegah Zina sempena Valentines Day

Justeru bersama ini saya ingin perpanjangkan kepada semua pembaca blog ini untuk turut serta jika berkelapangan dan ingin mempraktikkan amalan dakwah bil lisan.. amar ma’ruf nahi mungkar

Berikut adalah nota jemputan tersebut..

KELAB BELIA JIM (KBJ)
KELAB RAKAN SISWA ISLAH MALAYSIA (KARISMA)
KELAB REMAJA JIM (KRJ)

akan berganding bahu menggerakkan. ..

TASK FORCE “JOM CEGAH ZINA”

Suatu usaha amar makruf nahi mungkar bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Tarikh: 14 Februari 2010 (Ahad)
Tempat berkumpul: Masjid Jamek, Kuala Lumpur
Masa berkumpul: 6.00 petang
(Boleh menginap di Masjid Jamek selepas Task Force berakhir dengan kebenaran JAWI)

Kita perlukan sekurang-kurangnya 100 sukarelawan. 5 orang telah mendaftar. Perlukan 95 sukarelawan lagi!!

Jika berminat untuk terlibat, hantarkan nama penuh, umur, no. telefon dan alamat email ke abu_itqan@yahoo. com atau hafizbai@gmail. com

Terima kasih. ——————–

Selamatkan Generasi Kita Dari Dosa Zina

Assalaamualaikum wr wbr

Kami dari Raudhatus Sakinah ingin menjemput tuan-tuan & puan-puan untuk bersama dalam sesi penerangan Kempen ANDA BIJAK JAUHI ZINA.Sesi pengenalan ini akan diadakan pada 

  • Tarikh   :   28 Januari &  18 Februari 2010
  • Tempat :   Danau Golf Club Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi
  • Masa    :   9.30 pg (pendaftaran) - 1 tghri 

Sasaran utama adalah dikalangan guru-guru, pendidik, pensyarah IPTA/S, kaunselor dan individu yang prihatin serta berminat untuk bersama menyokong usaha ini agar permasalahan gejala sosial di kalangan generasi muda dapat dikurangkan. 

  • Sertai sesi penerangan  ini dan bersama kita menyelamatkan anak-anak kita!  
  • layari blog : http://sanasiniabjz.blogspot.com/ 
  • Untuk pengesahan kehadiran, sila smskan  <Nama>,<Tarikh prebiu>,<Bilangankehdiran><Dari(sekolah,penysyarah,agensi,NGO,dsb)>  kepada 0169398199 

     Untuk pertanyaan lanjut sila hubungi :      Pn Rosmawati  - 0192386333 atau  Syamil 0169398199              http://ummiroses.blogspot.com  atau http://www.raudhatussakinah.com

Dari Al Amin Menuju Hira’

” Jika mahu harus berusaha dan segera bertindak..bukan hanya berangan-angan tanpa sebarang keputusan”

Begitulah antara kata-kata cabaran dari isteriku mengenai harapanku untuk menghantar anak sulung kami menyambung pelajaran ke tingkatan satu di Maahad Tahfiz Al Qur’an Hira’ (MTQH), Jeram Selangor.

Lantas aku tersentak dan segera bertindak..menghubungi pihak MTQH bertanyakan syarat-syarat kemasukan dan sebagainya walaupun tempoh menghantar borang sudah berlalu.

Alhamdulillah dengan izin Allah Aslam dipanggil untuk temuduga bersama lebih kurang 10 orang rakan-rakannya dari Al Amin Bangi. Mereka diuji selama 3 hari dan akhirnya sebahagian besar berjaya dalam temuduga itu.

3 Januari 2010 lalu bermulalah alam baru buat Aslam..tinggal di asrama serta harus berusaha menghafaz 30 Juz Al Qur’an dalam tempoh 2 tahun dengan bimbingan para muallim yang hafiz dan berpengalaman.

Dari maklumbalas yang diterima semasa pulang bercuti baru-baru ini, anakku gembira di sana bersama beberapa orang rakannya yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PSRA dan SPPM.

Aslam berjaya  memperolehi 4A 1B dalam UPSR, 10A dalam SPPM dan Jayyid Jiddan dalam PSRA. Beliau juga terpilih sebagai Tokoh Pengawas semasa hari anugerah pelajar cemerlang Sekolah Sri Al Amin Bangi pada penghujung tahun lalu.

Pencapaian UPSR Aslam menyamai rekod pencapaian ayahnya dalam Ujian Penilaian Darjah Lima pada tahun 1981. Biarpun aku amat berharap agar rekod baru tercipta iaitu 5 A..namun aku redha dan tetap bersyukur dan berbangga dengan pencapaian anakku itu.

Harapan kami moga perjalanan Aslam dari Sri Al Amin menuju Hira’ bisa mencontohi perjalanan seorang insan mulia yang bergelar Al Amin..yang bersunyi di gua Hira’ lalu menerima wahyu dari Allah yang akhirnya membawa perubahan besar dalam sejarah hidup manusia..itulah Rasulullah s.a.w

Moga langkah dan keputusan kami ini tepat dan mendapat inayah dari Allah..moga bisa menambahkan lagi  seorang Hafiz Al Quran di dunia ini suatu hari nanti..mungkin seorang agamawan yang hafiz atau boleh jadi seorang saintis yang hafiz atau juga mungkin doktor yang hafiz yang bersifat rabbani dan bertaqwa kepada Allah.

Amin Ya Rabbal A’lamin.

Hidup Pun Bermula

Empat dekad lalu, ketika konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia baru sahaja reda.. tanggal jam 12.00 malam 14 Januari 1970 seorang ibu menyabung nyawa untuk melahirkan seorang anak ke dunia. Waktu itu tiada hospital yang selesa untuk ibu itu bersalin. Dengan izin Allah melalui pertolongan seorang bidan akhirnya bayi lelaki yang dinanti-nantikan muncul menceriakan keluarga dengan tangisan pertama.

Terima kasih bonda kerana bersusah payah membawaku dalam rahimmu selama 9 bulan dan melahirkan ku ke dunia ini seterusnya membesarkanku hingga mampu berdikari dan membina keluarga bahagia. Segala jasamu takkan ku lupa kerana sesungguhnya di bawah telapak kakimu ada syurga kurniaan Allah yang Maha Esa. Terima kasih Abah atas segala susah payah dan pengorbanan dalam mendidikku menjadi seorang anak dan lelaki yang tabah dalam mengharung dunia yang penuh pancaroba. (Al fatihah buat Abah yang telah pergi dahulu ke alam baqa)

Bermulalah episod sebuah kehidupan insan di dunia yang fana dan kini setelah 14600 hari / 40 tahun berlalu maka bermulalah sebuah kehidupan baru sepertimana yang sering dilaungkan oleh semua ‘life begin at fourty’

Hari ini aku menerima sms dari isteri tercinta ” Selamat harijadi ke 40..Moga dalam Rahmat Allah selalu” juga dihujani dengan ucapan selamat hari jadi dari anak-anak saudara dan rakan taulan melalui media ‘facebook’ yang semakin popular. Terima kasih buat semua yang sudi mengirim ucapan dan doa.

Harijadiku yang ke 40 kali ini agak istimewa..kebetulan serentak dengan harijadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Yang Baru Tuanku Mukhriz.

Selain itu ditempat kerja juga ketuaku sekali lagi menyampaikan pujian dari Dato’ KPE ke atas hasil kerja yang kulakukan.

Pada malam ini aku turut berkesempatan membaca surah Yaa sin dan Tahlil bersama para jamaah..suatu permulaan yang baik untuk menempuh usia seterusnya..sebelum itu pada 2 malam yang lalu aku turut berbaiah untuk  taat setia menjunjung perintah Allah dan menjalankan tugas menyeru manusia ke jalan Allah. Pada usia ini juga insyaAllah aku dan isteri bakal menjadi tetamu Allah bagi menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah.

Ya Allah hambaMu bersyukur atas nikmatMu yang tidak terhitung banyaknya. Kau anugerahkan nikmat iman dan Islam, keluarga yang ceria dan bahagia, serta rakan taulan yang berjaya.

Semoga Allah terus menyinarkan hidayahNya buat menyuluh sisa kehidupan di dunia yang fana dan penuh ujian ini serta diberi cahaya ketaqwaan untuk diri ini menjadi insan mulia di sisiMu di dunia dan akhirat insyaAllah. Aamin Ya Allah.

Sesungguhnya hidupku untuk fasa kedua ini baru sahaja bermula.. dalam menuju penghujung dunia..mengumpul sebanyak bekal yang mungkin..akulah pengembara..

Ramadhan & Kemerdekaan

Tiada acara sambutan Ambang Merdeka tahun ini bagi menghormati bulan Ramadhan. Itulah antara kenyataan pemimpin negara di dalam media massa.

Esok 31 Ogos 2009 Negara kita Malaysia mencapai usia 52 tahun merdeka setelah lebih 400 tahun dijajah. Apa yang pasti para pejuang kemerdekaan terpaksa menumpahkan darah dan air mata demi menuntut kemerdekaan dari penjajah asing namun apa yang menyedihkan sebahagian generasi muda yang memperolehi nikmat kemerdekaan tidak menghargainya apabila menyambutnya dengan cara yang bertentangan dengan nilai-nilai agama dan bangsa seperti berpesta dan sebagainya.

Syukur tahun ini kita merdeka dalam Ramadhan yang mulia lalu acara pesta di ambang merdeka tidak akan diadakan. Sewajarnya acara sedemikian terus ditiadakan untuk tahun-tahun mendatang sebaliknya ia perlu diisi dengan acara yang lebih bermakna seperti memanjatkan doa kesyukuran, menunaikan solat hajat, ceramah, deklamasi sajak kemerdekaan dan seumpamanya.

Biarpun kita merdeka namun benarkah kita sudah mencapai kemerdekaan sebenar. Adakah bahasa penjajah masih diagung-agungkan, budaya penjajah masih jadi amalan seharian? Jika demikian maka kita masih belum merdeka sepenuhnya.

Kemerdekaan yang sebenar ialah kita bebas dari belenggu penjajahan fizikal dan juga spiritual penjajah.

Kemerdekaan juga perlu dikaitkan dengan agama Islam yang mulia. Kemerdekaan hakiki ialah kita bebas dari ‘penyembahan’ dan ketundukan kepada sesama manusia dan menyerahkan sepenuh pengabdian kepada Allah yang Maha Esa.

Pengabdian kepada Allah perlu dibuktikan dengan amalan bukan sekadar melalui percakapan dan pengakuan. Segala perintah Allah perlu diamalkan manakala segala larangan perlu ditinggalkan sebagai tanda ketaqwaan kepada Allah yang merupakan objektif utama Madrasah Ramadhan.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Kesan Fahaman Syiah, Islam Liberal & Wahabi Di Malaysia

FELO Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady mendedahkan sejak kebelakangan ini aliran selain Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman Syiah dan Islam liberal mula menyerang negara menyebabkan sebahagian masyarakat terpengaruh.

Beliau yang menjadi ahli panel pada Wacana Ilmu bertajuk Ahli Sunnah Wal Jamaah anjuran akhbar Berita Harian dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), baru-baru ini melahirkan kebimbangan masyarakat dan negara akan berdepan pelbagai masalah jika perkara itu tidak didedahkan.

“Ramai yang mempertikaikan kita menggunakan kitab lama, kononnya tidak moden yang lebih menggerakkan masyarakat kepada aliran Islam liberal. Kita bimbang jika masyarakat tidak didedahkan dengan fahaman betul mengenai Ahli Sunnah yang menjadi pegangan Majlis Agama Negeri dan Fatwa Kebangsaan, kita akan berdepan pelbagai masalah termasuk boleh mengancam keselamatan negara,” katanya.

Sejauh mana fahaman Syiah, aliran Wahabi dan Islam liberal mempengaruhi pemikiran umat Islam, Pengarah Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Razali Shahabudin berkata, sukar menafikan wujud segelintir umat Islam negara ini dipengaruhi unsur bertentangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan amalan mazhab Syafi’ie.

Beliau berkata, setakat ini Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) serta pihak keselamatan melalui peruntukan undang-undang dan dasar kerajaan berjaya membendung penularan fahaman berkenaan.

“Pelbagai tindakan pencegahan dilakukan Jakim dan Jain bagi mengelakkan fahaman itu menjadi serius sama ada melalui fatwa dikeluarkan, majlis penerangan di pelbagai peringkat masyarakat dan tindakan undang-undang terhadap penganut fahaman berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, fahaman Syiah dan Islam liberal bahaya terhadap umat Islam kerana alasan yang berbeza.

Syiah diharamkan di negara ini melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1996 berdasarkan percanggahan dengan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 3 Mei 1996 membuat keputusan menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Memperakukan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah dilarang. Antara penyelewengan yang dikenal pasti dalam ajaran Syiah ialah imam adalah maksum, khalifah diwasiatkan secara nas, menolak ijmak ulama, menolak qiyas dan mengamalkan nikah mutaah.

Sementara fahaman Wahhabiyah pula tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dikhuatiri boleh membawa kepada perpecahan umat Islam. Itu adalah hasil daripada perbincangan beberapa kali pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Semua keputusan adalah menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah atas alasan isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun keputusan itu tidak memutuskan Wahhabiyyah sebagai ajaran sesat.

Razali berkata, mengenai Islam liberal pula setakat ini tidak wujud mana-mana individu atau organisasi di Malaysia yang menubuhkan apa-apa kumpulan atas nama Islam liberal seperti berlaku di Indonesia.

Bagaimanapun katanya, wujud fenomena liberal dalam kalangan organisasi dan individu tertentu yang sentiasa dipantau serta dikaji oleh pihak berkuasa agama.

Malah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-74 pada 25- 27 Julai 2006 membincangkan “Aliran Pemikiran Islam Liberal” dan memutuskan aliran itu adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

“Antara kesesatan pemikiran itu ialah berpegang kepada konsep pluralisme agama, meragui ketulenan al-Quran, menggesa tafsiran baru konsep ibadat, mempertikaikan kredibiliti Nabi SAW dan mempertikaikan hukum-hakam yang muktamad,” katanya.

Beliau berkata, ajaran sesat dan sebarang ajaran baru menyalahi tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini yang berpegang kepada akidah Asya’irah-Maturidiyyah dan fiqh Syafi’ie, sudah tentu akan menimbulkan rasa kurang senang umat Islam.

Katanya, penyebaran ajaran sesat akan menggugat akidah serta syariah Islam sementara aliran seperti Wahhabiyyah boleh menimbulkan kekeliruan dan berakhir dengan krisis perpaduan jika tidak dibendung dan ditangani.

Berdasarkan rencana Fahaman Wahabi Berasaskan Pemikiran Ibnu Taimiyyah di laman web Jakim bertarikh 19 Disember 2006, pada prinsipnya fahaman Wahabi membuat terjemahan serta tafsiran al-Quran dan hadis sebulat-bulatnya mengikut fahaman pemimpin mereka.

Penerapan fahaman Wahabi di kalangan umat Islam di negara ini sejak berkurun lama berakar umbi dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. Orang awam yang kurang mahir selok belok mazhab lebih baik bertaklid dengan pegangan mazhab sedia ada.

Hakikatnya fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru mengenai akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang dikemukakan Ibnu Taimiyyah dalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan Ibnu Taimiyyah sendiri.

Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakkan kerana kesan globalisasi ilmu di dunia hari ini.

- Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia 25 Ogos 2009

Pegawai Masjid Diberi Kuasa Benteras Jenayah

SHAH ALAM 24 Ogos - Pegawai masjid yang terdiri daripada nazir, imam, bilal dan siak di lebih 370 masjid di Selangor diberi surat kuasa untuk membantu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali, berkata, surat kuasa itu diberikan dua minggu lepas.

”Antara kesalahan yang diberi penekanan untuk dibanteras pada bulan Ramadan ini ialah makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai pada masa berpuasa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kesalahan di bawah Seksyen 19 Enakmen itu boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-keduanya sekali.

Dr. Hasan berkata, pegawai masjid yang mempunyai surat kuasa itu bagaimanapun tidak boleh menangkap pesalah tetapi hanya mengambil butiran diri dan jenis kesalahan serta barang kes untuk diserah kepada Pegawai Penguatkuasa Agama untuk tindakan lanjut.

Selain itu, Hasan berkata, pegawai masjid boleh menangkap orang Islam yang minum arak, tetapi perlu menyerahkan mereka kepada polis atau pegawai penguat kuasa agama.

Orang Islam yang minum arak di tempat awam atau kedai, boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Bagi orang Islam yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, menyimpan atau membeli arak pula, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali. - BERNAMA

Masjid Kampung Limau Manis Jadi Pilihan

“Harap dapat bersedia, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim akan singgah di Masjid kita pada 14 Ogos nanti untuk menunaikan solat Jumaat sempena lawatan kerja ke Daerah Sepang”.

Itulah antara pesanan Nazir Masjid Jamiurrahmah, Kampung Limau Manis melalui perbualan telefon bimbit, meminta saya bersedia (standby) untuk bertugas sebagai imam dan khatib kerana Imam 1 tiba-tiba terpaksa mengikuti kursus di luar kawasan.

Menurut Nazir, khutbah dijangka akan disampaikan oleh Exco Hal Ehwal Islam Dato’ Dr Hasan Mohd Ali manakala saya sebagai Imam III hanya sebagai pengganti jika beliau tidak hadir atas urusan lain.

Namun takdir Allah menetapkan saya perlu bertugas pada hari tersebut. Menurut Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang, MB mahukan orang tempatan sendiri menyampaikan khutbah dan menjadi Imam pada hari tersebut.

Hati saya agak berdebar kerana pertama kali diamanahkan untuk berkhutbah di hadapan seorang pemimpin tertinggi di Selangor. Namun dengan berkat doa kepada Allah, segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Hanya ucapan Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah yang mampu saya ucapkan atas ketenangan dan kelancaran yang dianugerahkan sepanjang khutbah, solat Jumaat dan solat Hajat ( agar dijauhkan bala A H1N1).

Seusai solat MB berkenan untuk menikmati sedikit hidangan makan tengahari bersama para jamaah. Apa yang menarik MB tidak keberatan untuk makan nasi bergulai daging ‘kawah’ secara ‘dalam talam’ manakala jamaah lain juga turut disediakan makanan tengahari yang dimasak sendiri oleh jamaah masjid

Program lawatan tersebut berjalan secara sederhana tetapi penuh makna buat kami para AJK Masjid dan juga para jamaah atas kesudian MB beramah mesra dengan rakyat. Semoga budaya seumpama ini akan terus menjadi amalan para pemimpin negeri dan negara.

Selamat Berpuasa Di Ramadhan Yang Mulia

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah mengumumkan bahawa tarikh bermulanya puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah pada hari Sabtu 1 Ramadhan 1430H/22 Ogos 2009.

Selamat berpuasa dan beroleh taqwa hendaknya buat kita semua. Semoga kualiti puasa pada tahun ini akan terus dipertingkatkan..bukan sekadar berlapar dan dahaga sebaliknya lebih dari itu iaitu untuk mencapai darjat taqwa di sisi Allah.

Firman Allah:

Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Terjemahan ayat 183 Surah Al Baqarah).

Semoga pancaindera utama kita turut sama berpuasa dengan mulut tidak berkata yang sia-sia, mata tidak memandang perkara yang berdosa, telinga tidak mendengar irama dan lagu yang bertentangan dengan kehendak agama.

Semoga kita juga dapat melipatgandakan ibadah kepada Allah seperti membanyakkan bertadarrus Al Qur’an, bersolat Tarawih serta berqiamullail.

Kepada yang berharta eloklah memperbanyakkan derma dan sedekah untuk jamuan berbuka puasa terutama di tempat-tempat umat Islam yang masih miskin samada di Malaysia mahupun di negara lain seperti Kemboja, Vietnam dan lain-lain.

Akhirnya moga kita juga dianugerahkan dengan LailatulQadr yang mana kelebihannya melebihi 1000 bulan atau 83 tahun.