Suka Duka Di Bulan Lima



Bulan lima (Mei) sekali lagi menjelma tahun ini dengan berbagai sambutan antara yang terkenal ialah Hari Ibu (10 Mei) dan Hari Guru (16 Mei).

Bagi diriku dan keluarga bulan lima tahun ini terpaksa kami lalui dengan berbagai ujian dari Allah. Justeru kesempatan untuk menulis agak kurang dan coretan ini merupakan satu-satunya coretan untuk bulan lima.

1 Mei 2009 - Anak ketiga kami.. Asri mengalami demam dan selsema

2 Mei 2009 - Ku terima sms dari Kaklang bahawa bonda dimasukkan ke wad Hospital Columbia Taiping kerana demam dan jangkitan paru-paru. Aku bergegas pulang seorang diri memandu kereta untuk menziarahi bonda yang pertama kali dalam sejarah hidupnya ditahan di wad kerana sakit. Alhamdulillah kesihatan bonda yang menjangkau umur 70 tahun semakin bertambah baik. Bonda kelihatan ceria dengan kehadiran anak dan cucu serta sanak saudara yang tidak putus-putus menziarahi bonda. Keesokan hari bonda dibenarkan keluar dari wad setelah kesihatan semakin pulih.

3 Mei 2009 - Ustaz Mat Som (Guru Tajwid dan Tafsir Al Quran di Surau Loji Air Sg Semenyih) kembali kerahmatullah. Kali terakhir aku bertemu allahyarham ialah kira-kira setahun lalu selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Dengkil semasa pilihanraya umum tahun 2008. Entah mengapa hatiku begitu teringin bertemu Ustaz yang diberitakan semakin uzur. Alhamdulillah Allah mengizinkanku bertemu Ustaz.. namun hatiku begitu sebak.. aku memeluk Ustaz dan air mata mengalir di pipiku.. kini baru terjawab persoalan itu.. rupa-rupanya Ustaz ingin pergi bertemu Ilahi..lebih setahun selepas itu.

Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas roh Ustaz serta menempatkan Ustaz di antara taman-taman syurga di alam sana.. alam yang bakal ku tempuh juga bila tiba masa.

4 Mei 2009 - Aku memulakan kerja di tempat baru di Cyberjaya.. sebuah Suruhanjaya yang mengawal selia industri air di Malaysia. Alhamdulillah setelah beberapa tahun aku buntu di tempat lama.. akhirnya Allah memberikanku peluang untuk berhijrah..mencari sinar baru dalam kembara di dunia yang penuh pancaroba.

4 - 7 Mei 2009 - Anak-anak kami Aslam, Anas dan Yasin mengalami demam batuk dan selsema.

22 - 24 Mei 2009 - Diriku mengalami demam dan selsema.

(Tulisan ini adalah arkib 2009)

Selamat Pergi Dan Kembali Duhai Isteri - Kembara Ke Bumi Perancis



Aku hanya mampu berdoa moga isteriku selamat pergi dan kembali. Petang tadi aku dan anak-anak telah menghantar isteriku ke stesen ERL di Putrajaya untuk ke KLIA.

Isteriku akan memulakan perjalanan malam ini ke Tolouse Peranchis bagi menghadiri seminar berkaitan teknologi satelit (spot image). Setelah lebih 12 tahun, ini kali kedua isteriku tercalon untuk ke luar negara. Sebelum ini ketika kami baru berkahwin beliau telah diarahkan ke Thailand untuk menghadiri seminar bersama seorang rakan.

Kali ini apa yang merisaukanku ialah beliau terpaksa berkelana seorang diri tanpa rakan. Mungkin kerana pihak majikan ingin menjimatkan belanja namun bagi seorang suami arahan tersebut memang menggusarkan. Dalam Islam seorang wanita wajar diringi seorang mahram jika ingin bermusafir atau sekurang-kurangnya seorang rakan sekerja yang boleh dipercayai.

Pada mulanya ada ura-ura isteriku ingin menarik diri setelah kami berbincang panjang. Antara alasan yang ingin diberikan ialah masalah wabak selsema babi yang melanda dunia kini. Namun alasan itu tidak diterima oleh majikan isteriku.

Puas memikirkan persoalan perjalanan ini akhirnya aku berusaha bertanya kepada rakan sealumni KIK iaitu Kak Ros dan Saudara Abdullah Haron yang mempunyai banyak kenalan dan sering melakukan tugas di seluruh dunia.

Alhamdulillah Kak Ros telah memperkenalkan kami dengan pelajar Malaysia yang menuntut di Peranchis melalui e-mel. Setelah berbalas e-mel mereka sudi menghulur bantuan untuk membantu isteriku semasa di sana.

Semoga Allah memudahkan perjalanan dan permusafiran isteriku..selamat pergi dan kembali pada 13 Jun nanti.

Moga Allah juga memberi kesabaran kepadaku semasa menjadi ‘bapa tunggal’ buat sementara menguruskan empat anak lelaki yang berusia 12, 10, 8 dan 3 tahun. Mujurlah perjalanan isteriku di waktu cuti persekolahan maka sekurang-kurangnya tidaklah terlalu kelam kabut untukku menguruskan urusan persekolah mereka.

(Tulisan ini adalah Arkib 2009)

Kehidupan dan Kematian - Moga Panjang Umur Dalam Kebaikan



Semalam 14 Januari 2009 umurku bertambah setahun lagi. Dari 38 tahun kini sudah meningkat kepada 39 tahun Masihi. Diam tak diam sudah hampir umurku kepada 40 tahun (jika mengikut kiraan tahun Hijriah dah masuk 40 tahun). Umur yang sering dikaitkan dengan perubahan besar dalam hidup atau istilah bahasa Inggeris ‘Life begin at fourty’.

Setinggi kesyukuran ku lafazkan kehadrat Allah Taala atas kurniaan nikmat umur yang menjadi modal utama dalam hidup di dunia yang sementara ini.

Semoga Allah terus memanjangkan usiaku hingga suatu masa di mana anak-anakku dapat berdikari dalam hidup mereka. Beberapa orang sahabat seusiaku telah pergi dahulu meninggalkan dunia yang fana. Ada yang meninggalkan anak yang masih kecil yang masih memerlukan belaian mesra ibu dan bapa. Terbaru ialah sahabat seperjuangan semasa di UKM, Halim Hafez Toha telah kembali ke rahmatullah pada akhir Disember 2008 setelah mengalami kanser usus beberapa tahun. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas ruh almarhum Abang Halim Hafez.

Firman Allah :

Katakanlah : ” Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. Ayat 8 Surah Al Jumuah

Ku memohon kepada Allah agar diberi petunjuk dan hidayahNya dalam menempuh hidup yang penuh mencabar terutama di alam kerjaya yang semakin suram. Di kala sahabat-sahabat seusiaku telah berjaya dengan pangkat dan kemewahan aku masih di takuk lama sebagai eksekutif biasa dan hidup secara sederhana ibarat ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’. Semoga Allah memberi kekuatan kepadaku untuk terus berusaha dan tidak mudah putus asa untuk terus mengejar dunia dalam redhaNya.

Moga Allah Yang Maha Berkuasa turut memberi petunjuk, kekuatan dan pertolonganNya untuk aku terus istiqamah di jalanNya dalam mempersiapkan bekalan menuju hari akhirat yang kekal selama-lamanya.

(Tulisan ini adalah arkib 2009)

Kematian Di Bumi Haramain - Rezeki Kak Ngah Sariah



Kak Ngah Sariah Meninggal Subuh tadi di Makkah. Begitulah kandungan SMS bertarikh 25 Disember 2008 dari adik saya Ali. Beliau menerima SMS dari Abang Ya adik kepada allahyarhamah yang merupakan mahram semasa melakukan ibadah haji.

Perasaan bercampur baur antara hiba dan ‘gembira’. Hiba atas pemergian seorang kakak sepupu yang baik hati dan gembira kerana pemergiannya setelah selesai menunaikan Haji dan bakal dikebumikan di tanah suci.

Takziah diucapkan buat semua ahli keluarga terdekat Kak Ngah Sariah iaitu suami allahyarham Abang Yob Sin, Mek Semah (Anak Sulong) serta semua anak-anak dan cucu-cucu.

Kak Ngah Sariah merupakan anak sulong Mak Ngah Kiah (kakak Allahyarham Abah). Saya masih ingat ketika kecil, sekali sekala saya ada mengunjungi rumah almarhum yang terletak di Hulu ijok untuk berkelah kerana terdapat air terjun di sana.

Kali terakhir saya menziarahi rumah almarhum dan keluarga ialah pada tahun 2007 iaitu ketika Kak Ngah Sariah sakit kuat seolah-olah tiada harapan lagi untuk sembuh. Namun Allah memanjangkan usia beliau seterusnya dapat menunaikan ibadah haji pada tahun lalu (2008) dan akhirnya meninggal dunia di bumi para anbiya.

Seingat saya juga allahyarhamah antara sepupu yang baik hati dan penyayang dan tidak pernah mengguris hati saya. Semoga ruh Kak Ngah Sariah tenang dan damai di alam sana, dilimpahkan rahmat oleh Allah yang Maha Esa.

Saya juga berdoa moga dapat menuruti jejak Kak Ngah Sariah suatu hari nanti apabila mencecah usia tua, kembali bertemu Yang Esa dalam keadaan bersih seperti bayi setelah menunaikan ibadah haji di bumi yang penuh mulia, bumi para anbia Makkah Al Mukarramah.

 

(Nota : Tulisan ini adalah arkib 2009)

Satu Hari Satu Ayat

 



Apakah azam kita tahun ini??

Biarpun agak terlewat untuk membuat azam khusus tahun ini..namun semalam benak saya terpanggil untuk menanam azam dalam diri.. azamnya ialah satu hari satu ayat Al Quran untuk dihafaz.

Alhamdulillah.. bila disemak azam tersebut ianya masih mampu ditunaikan kerana sehingga hari ke 50 pada tahun 2009 ini (19 Februari 2009) saya sudah berjaya menghazaf 64 ayat Al Quran iaitu ayat 1-53 Surah Al Kahfi dan ayat 6 - 16 dari Surah Al Baqarah.

Jika di hitung secara logik akal dan matematik maka tidak mustahil untuk kita menghafaz Al Quran dalam tempoh lebih kurang 20 tahun jika kita berusaha menghafaznya hanya satu ayat satu hari..360 ayat selama 1 tahun..3600 ayat selama 10 tahun dan 6236 ayat selama 17 tahun.

Apa yang penting ialah keazaman dan kesungguhan untuk menjadi seorang Hafiz biarpun usia sudah meningkat. InsyaAllah jika kena cara dan kaedahnya beserta doa kepada Allah moga kita mampu menghafaz Al Quran suatu hari nanti.

Buat masa ini saya menggunakan kaedah Maahad Tahfiz Bistari berdasarkan buku yang dikarang oleh Pengetuanya Ustaz Muhammad Farhan AL Hafiz (bekas Mubaligh Kristian). Sejak menggunakan kaedah ini saya berjaya menghafaz beberapa surah panjang dalam Juz Amma dan kini dalam proses menghabiskan surah Al Kahfi.

p/s : InsyaAllah jika ada kesempatan saya akan mencoretkan panduan menghafaz Al Qur’an berdasarkan buku tersebut untuk dikongsi bersama pembaca blog ini.

(Tulisan ini adalah arkib Februari 2009)

Moga Hijrah Ini Barakah



Aku akan berhijrah
Ke satu daerah
Kerana di sini terasa payah
Walaupun ku cuba menongkah
Badai dan angin yang penuh gelisah
Harapan di sini terasa punah

Moga di sana nanti
Aku bisa melihat sirna yang cerah
Bisa membuang segala gundah
Mengutip mutiara ilmu dan pengalaman
penuh tabah penuh hikmah

Moga di daerah itu
Aku bisa membuka lembaran baru
Dalam mencari arah tuju
Menuju puncak jaya
Di alam rimba kerjaya

Lebih sedekad telah kuredah
Lebih sedekad lagi
Harus ku tempuhi
Sebelum aku bisa bersara
Jika ada usia..

Ku pohon padaMu Ya Allah
Kurniakan aku cahaya hikmah
Buat menjadi penyuluh
Berikan aku obor semangat
untuk kembali menanam tekad
dalam baki kembara
di alam yang fana

Ku berdoa padaMu Ya Allah
Moga Hijrah ini Barakah

Abu Aslam
Putrajaya
31 Mac 2009

(Puisi ini adalah Arkib 2009 - Sempena penghijrahan saya di alam pekerjaan setelah 14 tahun bekerja di Loji Air Sg Semenyih)

Mengenang Syeikh Ahmad Yassin Dalam Perjuangan Mempertahankan Bumi Palestin



Alhamdulillah kami telah dianugerahkan anak lelaki yang keempat pada  7 Ogos 2006. Saya dan isteri bersetuju untuk menamakan anak keempat kami dengan nama Ahmad Yasin Nazri sempena memperingati pengorbanan Syeikh Ahmad Yassin dalam mempertahankan bumi Gaza Palestin daripada pencerobohon pihak Zionis Israel.

Nama Ahmad Yasin Nazri adalah gabungan empat nama insan hebat iaitu Nabi Muhammad S.A.W, Syeikh Ahmad Yassin, Bapa saya, Haji Najri b. Abu Bakar dan bapa mertua iaitu Haji Ahmad Bin Din.



Berikut adalah kisah tentang Syeikh Ahmad Yassin buat tatapan bersama. Semoga ia menjadi inspirasi kepada anak anak kami (Aslam, Anas, Asri, Yasin) dan kita semua dalam memperjuangkan dan mempertahankan negara Islam.

Mengenang Syeikh Ahmad Yassin (1938-2004)

Syeikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampong bernama al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Dia
telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin. Dia dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.

Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya
beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau
juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, di mana beliau telah
terjatuh ketika sedang beriadah yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.

Keadaannya yang lumpuh itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan
kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti
Islam. Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain
Shams di Kaherah. Pengajiannya di universiti tersebut walaubagaimanapun
tidak sampai ke hujungnya apabila beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966.

Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa
Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak
sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam
pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan Islam dan dakwah Islamiyyah.

Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif
memperjuangkan Islam sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di Masjid
Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di
kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Selain daripada dua tugas utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah
menyaksikan jasa Ahmad Yassin sebagai pekerja kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan Islam. Hasil dari usaha tersebut, sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang hebat di kawasan Gaza.

Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama 'Mujamma al-Islam'.

Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di
Palestin lebih memaksa umat Islam di sana untuk berjihad, beliau dan
beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai 'al-Mujahidun al-Filastiniyun' pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan Kataib Syuyukh yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka.

Bagi Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak menghalang dirinya dari usaha mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.

Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat
Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim
Zionis diatas tuduhan memilki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.

Melihatkan kepada kondisi Negara-Negara Arab yang tidak lagi berminat untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan Islam yang dikenali sebagai HAMAS pada tahun 1987.

HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru, iaitu dengan
mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama 'Atfal Hijarah' (Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis.



Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini
dikenali sebagai 'Intifadah'. Kesan dari 'Intifadah' ini amat hebat, pihak
tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan-tindakan drastik sebagai tindakbalas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.

Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah
merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18.5.1989 beliau bersama ratusan anggota
pergerakan HAMAS yang lain telah dipenjarakan kerana kejayaan
operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam usaha
membunuh tentera-tentera dan komando-komando Israel.

Sekali lagi mahkamah tentera Israel pada 16.10.1991 telah menjatuhkan
hukuman 15 tahun penjara ke atas Syeikh Ahmad Yassin di atas sembilan
pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera-tentera Zionis.

Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga mengalami kehilangan penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masaalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya.

Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga hadapan pada abdomennya. Keadaan kesehatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pada 13.12.1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib
al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan
pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Syeikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur.

Pihak rejim Zionis walau bagaimanapun menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh berserta dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang Palestin telah mati syahid di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.

Pada 1.10.1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara
kerajaan Jordan dengan rejim Zionis, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya
dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Syeikh Ahmad Yassin dibebaskan.

Sejurus pembebasannya, Syeikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya.

Sekali lagi Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat Palestin untuk bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah.

Hasilnya pelbagai usaha dilakukan oleh pihak rejim demi mengekang kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang bandar-bandar, membunuh orang-orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang-pejuang Palestin dan pemimpin- pemimpin mereka.

Hasil dari kegiatan tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah
berjaya menemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab dan lain-lain lagi.

Syeikh Ahmad Yassin juga tidak terlepas dari usaha jahat tersebut, seperti
yang berlaku pada 6.9.2003 bilamana sebuah helikopter Apache milik tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Ahmad Yassin, mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Begitu juga apa yang dialami oleh Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang telah dibedil keretanya ketika beliau di dalam perjalanan.

Namun, pada subuh 22.3.2004, mereka sekali lagi menyerang Syeikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari masjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas Syeikh yang lumpuh itu telah berjaya mengorbankan diri Ahmad Yassin dan empat yang lain termasuk anaknya.

Semoga Allah merahmati ruh al marhum Syeikh Ahmad Yasin dan para pejuang Palestin yang syahid dijalan Allah.

Sumber Rujukan : Pertubuhan Islam  HALUAN Malaysia