Masa Depan Orang Asli - Tanggungjawab Siapa?

 



Ahad lalu saya berkesempatan mengikuti program Da’wah Orang Asli anjuran Alumni Kolej Islam (ALKIS) di Dewan Hadhari Pusat Islam Kuala Lumpur.

Tiga orang ahli panel telah memberi ceramah dan berkongsi pengalaman mereka melakukan da’wah terhadap orang Asli. Mereka ialah Jasop bin Yusof dan Tok Batin Husin dari Kampung Orang Asli Batu 12 Gombak serta Dato’ Dr Abdul Razak (Aktivis Da’wah Orang Asli dengan lebih 30 tahun pengalaman).

Saya sempat merakamkan sesi ceramah tersebut menggunakan telefon bimbit Nokia N70. InsyaAllah saya akan sertakan dalam blog ini pada masa akan datang.

Berikut adalah beberapa catatan yang sempat saya coretkan iaitu

A. Am tentang orang asli

Terdapat 18 Suku kaum orang Asli di Malaysia. Namun hanya 4 suku kaum yang terbesar antaranya Temiar, Temuan, Jakun dan Melayu Asli.

Terdapat lebih kurang 150,000 orang Asli di seluruh Malaysia. Taburan orang Asli terbahagi kepada dua iaitu di Pinggiran (tidak jauh dari kampung orang Melayu) dan juga di Pendalaman (jauh di tengah hutan)

Radio khas untuk orang asli ialah Asyik FM di saluran 91.1 (Liputan hanya dapat diterima di kawasan pinggiran sahaja)

B. Cabaran Da’wah orang Asli

Perlu mengetahui adat resam dan pantang larang mereka. Perlu berbaik-baik dengan mereka terlebih dahulu sebelum berda’wah. Aktiviti sosial seperti membuat jamuan (kena belajar memasak) , memberi kemudahan asas dan lain-lain dapat menarik mereka untuk lebih dekat kepada Islam

C. Mengapa perlu melakukan Da’wah kepada orang Asli

Berdakwah adalah sunnah Rasulullah yang perlu diteruskan di mukabumi ini. Masih ramai orang asli yang tidak mempunyai agama (Animisme). Golongan misionary Kristian berusaha untuk menarik mereka kepada agama Kristian begitu juga Bahai seterusnya akan menjadi duri dalam daging kepada umat Islam di Malaysia.

D. Mengapa orang Asli perlu memilih Islam sebagai Agama mereka.

1. Islam agama rasmi di Malaysia

2. Raja-Raja dan Pemerintah adalah Islam

3. Islam adalah agama yang benar di sisi Allah

4. Kebanyakan masyarakat yang tinggal berhampiran kampung orang Asli adalah Melayu Islam. Justeru suasana akan lebih harmoni apabila mereka sama-sama mengamalkan ajaran Islam serta dapat menyambut hari perayaan yang sama seperti Hari Raya dan lain-lain.

E. Ekspedisi Da’wah Orang Asli

Dato’ Dr Abdul Razak menyeru supaya lebih ramai penda’wah bersama beliau untuk menyertai ekspedisi da’wah orang Asli. Beliau mempunyai aktiviti secara berkala dan menjemput para sukarelawan untuk turut serta.

Berikut adalah jadual ekspedisi dakwah bagi bulan November. Jadual bagi setiap bulan akan dikemaskini bergantung kepada kesesuaian tempat dan cuaca.

November 2008

21 - 23 Nov 2008
POS Brooke, Gua Musang
(Meeting Point - Plaza Tol Simpang Pulai, Perak)

21 - 26 Nov 2008
POS Balar, Gua Musang
(Selepas singgah di POS Brooke. POS Balar terletak lebih jauh ke pedalaman dari POS Brooke)

28 - 30 Nov 2008
Kg Tuel, Gua Musang

Kepada yang berminat dan untuk maklumat lanjut boleh berhubung dengan Firdaus (012-5608693) / Shamsul (014-2298012) / Dr. Razak (013-5840070)

(Arkib 2008)

Ku Simpan Hatimu Dalam Hatiku



Kini hatimu tersimpan dalam hatiku. Selama ini aku memang ingin mencuri hatimu tapi tidak mampu. Mungkin kerana tiada kesungguhan untukku menyimpan hatimu dalam hatiku. Saban minggu ku lafazkan bait-bait ayat dalam hatimu namun hanya di bibir sahaja.

Kini aku bersyukur kepada Allah kerana telah mengizinkan hatimu berada dalam hatiku setiap waktu. Jika aku rindu aku hanya perlu melafazkannya agar hatimu tidak pergi jauh dan lari dari hatiku.

Hatimu yang ku maksudkan ialah hati Al Quran iaitu surah Yaa Sin. Alhamdulillah dengan tekad dan niat yang bulat akhirnya aku mampu menghafaz surah Yaasin. Sebenarnya tidak sukar untuk kita menghafaznya kerana surah Yaasin sering kita baca pada setiap malam Jumaat atau jika ada kenduri doa selamat atau jika ada insan yang sedang nazak yang perlu dibacakan surah Yaa Sin.

Menurut petua Ustaz Muhammad Farhan Abdullah Al Hafiz (bekas mubaligh Kristian) jika kita mengulangi ayat-ayat AlQuran sekurang-kurangnya sepuluh kali insyaAllah ia akan lekat dan ingat di dalam hati dengan syarat ada niat untuk menghafaznya. Justeru untuk surah Yaa Sin rasanya sudah lebih sepuluh kali kita membacanya cuma tiada niat untuk menghafaznya.

Ayuh kita simpan hati Al Qur'an dalam hati kita, mudah-mudahan Al Qur'an akan sentiasa menyuluh hati kita dalam menempuh kehidupan di dunia yang fana dan penuh pancaroba.

Sabda Rasulululah s.a.w yang bermaksud :

Daripada Ma’qal bin Yassar r.a berkata bahawa Nabi s.a.w bersabda:

Hati Al Quran ialah surah Yaa Siin, tidaklah dibaca akan dia oleh seseorang yang semata-mata mengharapkan keredhaan Allah dan hari akhirat melainkan diampunkan oleh Allah segala dosanya; dan bacalah Surah Yaa Siin kepada orang yang hampir akan meninggal dunia dan setelah seseorang itu meninggal dunia.  (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud Dan Nasa’i)



(Arkib 2008)

Aku Ingin Melihat Malaysia Baru



Aku ingin melihat negaraku maju
di bawah pemerintah baru
punya arah tuju
punya matlamat yang jitu
menuju cita yang satu

Aku ingin melihat rakyat negaraku
warna kulitnya berbeza tapi bersatu
bantu membantu agar tidak buntu
menempuh hidup di negara maju

Aku ingin melihat rakyat negara tercinta
akhlaknya mulia
tutur bicara tersusun nada
hormat pada yang tua
sayang pada yang muda
pakaiannya tidak sendat di sini sana
tidak terdedah dan terbuka
hingga mengundang dosa dan zina

Aku ingin melihat rakyat negaraku
cinta pada ilmu akhirat dan dunia
majlis ilmu menjadi agenda
bukan pesta yang tidak terkira
bila senja mula menjelma

Aku ingin melihat pemimpin negara
memimpin rakyat ke arah sejahtera
adil dan saksama
segala tindakan telus dan terbuka
pangkat dan harta bukanlah utama
kepentingan rakyat terus terbela
kerana amanah itu akan ditanya
di dunia dan akhirat sana.



Abu Aslam
Putrajaya
17 Mac 2008

Suka Duka Di Bulan Lima



Bulan lima (Mei) sekali lagi menjelma tahun ini dengan berbagai sambutan antara yang terkenal ialah Hari Ibu (10 Mei) dan Hari Guru (16 Mei).

Bagi diriku dan keluarga bulan lima tahun ini terpaksa kami lalui dengan berbagai ujian dari Allah. Justeru kesempatan untuk menulis agak kurang dan coretan ini merupakan satu-satunya coretan untuk bulan lima.

1 Mei 2009 - Anak ketiga kami.. Asri mengalami demam dan selsema

2 Mei 2009 - Ku terima sms dari Kaklang bahawa bonda dimasukkan ke wad Hospital Columbia Taiping kerana demam dan jangkitan paru-paru. Aku bergegas pulang seorang diri memandu kereta untuk menziarahi bonda yang pertama kali dalam sejarah hidupnya ditahan di wad kerana sakit. Alhamdulillah kesihatan bonda yang menjangkau umur 70 tahun semakin bertambah baik. Bonda kelihatan ceria dengan kehadiran anak dan cucu serta sanak saudara yang tidak putus-putus menziarahi bonda. Keesokan hari bonda dibenarkan keluar dari wad setelah kesihatan semakin pulih.

3 Mei 2009 - Ustaz Mat Som (Guru Tajwid dan Tafsir Al Quran di Surau Loji Air Sg Semenyih) kembali kerahmatullah. Kali terakhir aku bertemu allahyarham ialah kira-kira setahun lalu selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Dengkil semasa pilihanraya umum tahun 2008. Entah mengapa hatiku begitu teringin bertemu Ustaz yang diberitakan semakin uzur. Alhamdulillah Allah mengizinkanku bertemu Ustaz.. namun hatiku begitu sebak.. aku memeluk Ustaz dan air mata mengalir di pipiku.. kini baru terjawab persoalan itu.. rupa-rupanya Ustaz ingin pergi bertemu Ilahi..lebih setahun selepas itu.

Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas roh Ustaz serta menempatkan Ustaz di antara taman-taman syurga di alam sana.. alam yang bakal ku tempuh juga bila tiba masa.

4 Mei 2009 - Aku memulakan kerja di tempat baru di Cyberjaya.. sebuah Suruhanjaya yang mengawal selia industri air di Malaysia. Alhamdulillah setelah beberapa tahun aku buntu di tempat lama.. akhirnya Allah memberikanku peluang untuk berhijrah..mencari sinar baru dalam kembara di dunia yang penuh pancaroba.

4 - 7 Mei 2009 - Anak-anak kami Aslam, Anas dan Yasin mengalami demam batuk dan selsema.

22 - 24 Mei 2009 - Diriku mengalami demam dan selsema.

(Tulisan ini adalah arkib 2009)

Selamat Pergi Dan Kembali Duhai Isteri - Kembara Ke Bumi Perancis



Aku hanya mampu berdoa moga isteriku selamat pergi dan kembali. Petang tadi aku dan anak-anak telah menghantar isteriku ke stesen ERL di Putrajaya untuk ke KLIA.

Isteriku akan memulakan perjalanan malam ini ke Tolouse Peranchis bagi menghadiri seminar berkaitan teknologi satelit (spot image). Setelah lebih 12 tahun, ini kali kedua isteriku tercalon untuk ke luar negara. Sebelum ini ketika kami baru berkahwin beliau telah diarahkan ke Thailand untuk menghadiri seminar bersama seorang rakan.

Kali ini apa yang merisaukanku ialah beliau terpaksa berkelana seorang diri tanpa rakan. Mungkin kerana pihak majikan ingin menjimatkan belanja namun bagi seorang suami arahan tersebut memang menggusarkan. Dalam Islam seorang wanita wajar diringi seorang mahram jika ingin bermusafir atau sekurang-kurangnya seorang rakan sekerja yang boleh dipercayai.

Pada mulanya ada ura-ura isteriku ingin menarik diri setelah kami berbincang panjang. Antara alasan yang ingin diberikan ialah masalah wabak selsema babi yang melanda dunia kini. Namun alasan itu tidak diterima oleh majikan isteriku.

Puas memikirkan persoalan perjalanan ini akhirnya aku berusaha bertanya kepada rakan sealumni KIK iaitu Kak Ros dan Saudara Abdullah Haron yang mempunyai banyak kenalan dan sering melakukan tugas di seluruh dunia.

Alhamdulillah Kak Ros telah memperkenalkan kami dengan pelajar Malaysia yang menuntut di Peranchis melalui e-mel. Setelah berbalas e-mel mereka sudi menghulur bantuan untuk membantu isteriku semasa di sana.

Semoga Allah memudahkan perjalanan dan permusafiran isteriku..selamat pergi dan kembali pada 13 Jun nanti.

Moga Allah juga memberi kesabaran kepadaku semasa menjadi ‘bapa tunggal’ buat sementara menguruskan empat anak lelaki yang berusia 12, 10, 8 dan 3 tahun. Mujurlah perjalanan isteriku di waktu cuti persekolahan maka sekurang-kurangnya tidaklah terlalu kelam kabut untukku menguruskan urusan persekolah mereka.

(Tulisan ini adalah Arkib 2009)

Kehidupan dan Kematian - Moga Panjang Umur Dalam Kebaikan



Semalam 14 Januari 2009 umurku bertambah setahun lagi. Dari 38 tahun kini sudah meningkat kepada 39 tahun Masihi. Diam tak diam sudah hampir umurku kepada 40 tahun (jika mengikut kiraan tahun Hijriah dah masuk 40 tahun). Umur yang sering dikaitkan dengan perubahan besar dalam hidup atau istilah bahasa Inggeris ‘Life begin at fourty’.

Setinggi kesyukuran ku lafazkan kehadrat Allah Taala atas kurniaan nikmat umur yang menjadi modal utama dalam hidup di dunia yang sementara ini.

Semoga Allah terus memanjangkan usiaku hingga suatu masa di mana anak-anakku dapat berdikari dalam hidup mereka. Beberapa orang sahabat seusiaku telah pergi dahulu meninggalkan dunia yang fana. Ada yang meninggalkan anak yang masih kecil yang masih memerlukan belaian mesra ibu dan bapa. Terbaru ialah sahabat seperjuangan semasa di UKM, Halim Hafez Toha telah kembali ke rahmatullah pada akhir Disember 2008 setelah mengalami kanser usus beberapa tahun. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas ruh almarhum Abang Halim Hafez.

Firman Allah :

Katakanlah : ” Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. Ayat 8 Surah Al Jumuah

Ku memohon kepada Allah agar diberi petunjuk dan hidayahNya dalam menempuh hidup yang penuh mencabar terutama di alam kerjaya yang semakin suram. Di kala sahabat-sahabat seusiaku telah berjaya dengan pangkat dan kemewahan aku masih di takuk lama sebagai eksekutif biasa dan hidup secara sederhana ibarat ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’. Semoga Allah memberi kekuatan kepadaku untuk terus berusaha dan tidak mudah putus asa untuk terus mengejar dunia dalam redhaNya.

Moga Allah Yang Maha Berkuasa turut memberi petunjuk, kekuatan dan pertolonganNya untuk aku terus istiqamah di jalanNya dalam mempersiapkan bekalan menuju hari akhirat yang kekal selama-lamanya.

(Tulisan ini adalah arkib 2009)

Kematian Di Bumi Haramain - Rezeki Kak Ngah Sariah



Kak Ngah Sariah Meninggal Subuh tadi di Makkah. Begitulah kandungan SMS bertarikh 25 Disember 2008 dari adik saya Ali. Beliau menerima SMS dari Abang Ya adik kepada allahyarhamah yang merupakan mahram semasa melakukan ibadah haji.

Perasaan bercampur baur antara hiba dan ‘gembira’. Hiba atas pemergian seorang kakak sepupu yang baik hati dan gembira kerana pemergiannya setelah selesai menunaikan Haji dan bakal dikebumikan di tanah suci.

Takziah diucapkan buat semua ahli keluarga terdekat Kak Ngah Sariah iaitu suami allahyarham Abang Yob Sin, Mek Semah (Anak Sulong) serta semua anak-anak dan cucu-cucu.

Kak Ngah Sariah merupakan anak sulong Mak Ngah Kiah (kakak Allahyarham Abah). Saya masih ingat ketika kecil, sekali sekala saya ada mengunjungi rumah almarhum yang terletak di Hulu ijok untuk berkelah kerana terdapat air terjun di sana.

Kali terakhir saya menziarahi rumah almarhum dan keluarga ialah pada tahun 2007 iaitu ketika Kak Ngah Sariah sakit kuat seolah-olah tiada harapan lagi untuk sembuh. Namun Allah memanjangkan usia beliau seterusnya dapat menunaikan ibadah haji pada tahun lalu (2008) dan akhirnya meninggal dunia di bumi para anbiya.

Seingat saya juga allahyarhamah antara sepupu yang baik hati dan penyayang dan tidak pernah mengguris hati saya. Semoga ruh Kak Ngah Sariah tenang dan damai di alam sana, dilimpahkan rahmat oleh Allah yang Maha Esa.

Saya juga berdoa moga dapat menuruti jejak Kak Ngah Sariah suatu hari nanti apabila mencecah usia tua, kembali bertemu Yang Esa dalam keadaan bersih seperti bayi setelah menunaikan ibadah haji di bumi yang penuh mulia, bumi para anbia Makkah Al Mukarramah.

 

(Nota : Tulisan ini adalah arkib 2009)